Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin (tiga dari kiri) dan Nor Hizwan (kanan) mengagihkan Bantuan Prihatin MRC ketika Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Kampung Kepah, Hulu Terengganu bulan lalu.


Kuala Lumpur: Majlis Getah Malaysia (MRC) memacu peralihan industri produk getah negara supaya serba moden dan mempunyai nilai tambah.
Agensi yang diwujudkan sejak April 2000 diberi nafas baharu pada September 2020 dan kini mengorak langkah menuju kecemerlangan melalui pelbagai inisiatif berkaitan reka bentuk dan pembangunan; automasi dan teknologi digital serta usaha mempromosi produk getah yang berkualiti dan diyakini untuk memperkukuhkan kedudukan produk getah negara dalam rantaian nilai global.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Hizwan Ahmad, berkata inovasi dan teknologi adalah nadi utama sesebuah perniagaan untuk mengadaptasi dan mengharungi cabaran pada masa depan.
"Kita sudah mengenal pasti beberapa inisiatif untuk memacu daya saing penggiat industri seperti memperkenalkan saluran dan ideologi baharu menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa (IDO).
"Peranan MRC ialah mengenal pasti dan menilai prospektif syarikat serta membantu pembangunan kapasiti melalui latihan, bimbingan dan jaringan perhubungan menggunakan program usaha sama IDO.
"Satu lagi pemangkin pertumbuhan ialah 'Program Perintis' yang memberi penekanan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor getah kering.
"Inisiatif baharu dikenali sebagai Dana Global untuk Inovasi Getah (GFRI) pula dilaksanakan untuk mempromosi idea baharu yang mempunyai nilai komersial tinggi dalam industri getah," katanya.
Nor Hizwan berkata, peruntukan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D), diyakini mampu meningkatkan pembabitan antara industri dengan organisasi penyelidikan berkenaan bagi menghasilkan prototaip mengeluarkan produk komersial.
Beliau berkata, geran ini membantu mengenal pasti produk baharu dan teknologi bersesuaian bagi memacu sektor getah kering, sekali gus memangkin penjanaan suntikan pelaburan atau menambah baik rantaian proses pengeluaran yang mencakupi pelbagai peringkat.
"MRC menubuhkan Unit Pengkomersialan dan Pelaburan yang berperanan menyediakan nasihat pakar dan merangka inisiatif khusus untuk mempromosikan aktiviti pengkomersialan serta pelaburan dalam sektor getah Malaysia.
"Pelabur yang mempunyai potensi akan dikenal pasti bagi menyuntik lebih nilai kepada industri dengan mewujudkan peluang pasaran secara meluas.
"Unit Kelestarian pula berperanan merangka dan melaksanakan strategi pengoperasian yang fokus kepada prinsip ekonomi, alam sekitar, sosial dan urus tadbir (EESG)," katanya.
MRC menyediakan nasihat pakar dan merangka inisiatif khusus untuk mempromosikan aktiviti pengkomersialan serta pelaburan dalam sektor getah Malaysia.
Berbekalkan peruntukan sebanyak RM37.7 juta bagi tahun ini, Nor Hizwan berkata, inisiatif kelestarian MRC bertujuan merungkai jurang, isu dan cabaran merentasi pelbagai pertimbangan membabitkan EESG seperti risiko berikutan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, pandemik yang mula melanda negara sejak awal tahun lalu menyaksikan dinamik ekonomi berubah secara ketara sehingga memberikan 'tempias' kepada prestasi perniagaan dan usaha penjanaan nilai.
"Antara lain, peruntukan yang disalurkan termasuk membantu kerajaan dalam membendung wabak COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), hospital dan pusat pemberian vaksin (PPV) di Terengganu, Melaka, Kedah, Kelantan serta Selangor.
"MRC menyalurkan bantuan melalui Rak Amal Kongsi Rezeki bagi membantu rakyat berpendapatan rendah yang kehidupan mereka terjejas berikutan pandemik COVID-19.
"MRC turut mengagihkan bantuan dalam bentuk Program E-Pembelajaran kepada 2,000 pelajar merangkumi peranti digital dengan pelan data internet dan tuisyen percuma bagi 10 subjek, bagi merapatkan jurang pendidikan kanak-kanak keluarga B40 di sektor huluan industri getah," katanya.
Susulan kekurangan tenaga buruh asing pada penghujung 2019, Nor Hizwan berkata, MRC memperuntukkan dana Automasi dan Teknologi Hijau (FAGT) bagi menggalakkan syarikat berkaitan beralih kepada operasi berteraskan kaedah automasi.
Demi memupuk usaha ke arah pengambilan pekerja tempatan, beliau berkata, dana turut disalurkan kepada syarikat dan industri bagi tujuan berkenaan, selain menyediakan bantuan teknikal serta insentif kewangan untuk memacu produktiviti PKS.
"Pekerja asing kekal menjadi komponen penting dalam menjamin kelangsungan industri pengeluaran di Malaysia, justeru Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjalankan penelitian semula terhadap pelbagai program mereka supaya selari dengan Audit Perdagangan Etika Keanggotaan SEDEX (SMETA).
"Ia juga bertujuan memastikan ahlinya terbabit aktif dalam merungkai isu berkaitan pematuhan sosial dan kelestarian dalam industri berkenaan," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/905539/mrc-pacu-industri-getah-negara
Sumber: Berita Harian