JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
SAMBUTAN ULANG TAHUN MAJLIS KAYU-KAYAN MALAYSIA
(MTC) YANG KE-30 DAN PENGUMUMAN PEMENANG ANUGERAH
INDUSTRI PERKAYUAN MALAYSIA 2022


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Willie Anak Mongin hari ini merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) yang ke-30 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian YBhg. Datuk Ravi Muthayah, Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) Puan Hajah Norrida Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif MTC Tuan Muhtar bin Suhaili serta agensi berkaitan dan wakil daripada industri perkayuan.


2. Selama tiga dekad penubuhan MTC, cabaran demi cabaran telah ditempuhi dan pelbagai kejayaan telah diraih oleh agensi ini. MTC memainkan peranan yang penting dalam usaha meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri perkayuan Negara. Malahan, MTC telah banyak membantu industri perkayuan meneroka pasaran-pasaran baru dan dalam masa yang sama mengambil langkah yang responsif terhadap persekitaran global.


3. YB Timbalan Menteri turut berkesempatan merasmikan pelancaran buku Standing Tall – A Malaysian Timber Industry Journey terbitan MTC yang memaparkan evolusi perjalanan, perjuangan dan kemajuan industri perkayuan Malaysia yang telah berusia lebih seabad.


4. Kemuncak majlis ini adalah sesi penyampaian Anugerah Industri Perkayuan Malaysia 2022 atau Malaysian Timber Industry Awards 2022 yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh MTC sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan di atas sumbangan pemain industri yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam membangunkan sektor perkayuan.


5. Sebanyak lima anugerah telah disampaikan iaitu Anugerah Kemampanan dan Alam Sekitar, Anugerah Digitalisasi, Anugerah Kecemerlangan Operasi, Anugerah Produk Kayu Inovatif dan Anugerah Personaliti Industri. Anugerah ini menjadi salah satu suntikan semangat buat pemain industri untuk terus lebih berdaya saing dan maju ke hadapan. Platform sebegini menjadi bukti bahawa Malaysia mempunyai pelbagai bakat yang mampu memacu industri perkayuan ke tahap yang lebih tinggi.


6. Pembangunan Industri Perkayuan akan turut diberi fokus dalam Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 ke arah mempertingkat daya tahan dan daya saing pada peringkat antarabangsa. Ini memerlukan sokongan dan penyertaan daripada industri dan pihak berkepentingannya di sepanjang rantaian nilai dengan keperluan bekalan bahan mentah yang mencukupi, teknologi canggih, produk baharu dan pekerja mahir. Salah satu langkah utama yang perlu diambil untuk mencapai sasaran ini adalah dengan mengoptimumkan proses pembuatan dan rantaian bekalan termasuk merevolusikan perniagaan secara keseluruhan agar terus berkembang maju ke arah Industri 4.0. Kementerian dan MTC akan terus proaktif dalam menjalinkan kerjasama strategik dengan kesemua pemegang taruh dalam usaha untuk memperkasakan industri perkayuan melalui adaptasi penggunaan teknologi dan inovasi yang kompetitif dan cekap.


7. Pasaran kayu-kayan mensasarkan untuk mencatat jumlah eksport yang tinggi pada tahun 2022 dan berjaya mencapai sasaran eksport sebanyak RM24 bilion bagi tahun ini dengan pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi produk kayukayan yang berkualiti dari Malaysia.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI (KPPK)
PUTRAJAYA
10 Januari 2022