KENYATAAN MEDIA
BELANDA BERIKAN KOMITMEN UNTUK TIDAK DISKRIMINASIKAN KELAPA SAWIT


1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa Belanda, TYT Sigrid Kaag pada 9 Februari 2018 di Kuala Lumpur.

2. Semasa pertemuan tersebut, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah membincangkan isu-isu berkaitan perkembangan serta kerjasama di antara Malaysia dan Belanda dalam industri sawit.

3. Berkenaan resolusi Parlimen Kesatuan Eropah (EU) berkaitan minyak sawit, Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan pendirian Kerajaan Belanda untuk menentang diskriminasi terhadap minyak sawit adalah sebuah tindakan yang matang dan rasional.

4. Pendirian terbuka daripada wakil Kerajaan Belanda pada ketika ini adalah penting kerana Belanda merupakan negara pengimport minyak sawit terbesar di kalangan 28 negara-negara EU.

5. Daripada jumlah keseluruhan RM11 bilion eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke semua negara EU tersebut, sebanyak RM6.3 bilion telah dieksport ke negara Belanda sepanjang tahun 2017.

6. Oleh yang demikian perjumpaan dan rundingan berterusan dua hala antara Malaysia dan Belanda perlu ditingkatkan bagi memastikan fakta-fakta yang tepat berkenaan industri sawit dapat disalurkan dengan effektif.

7. Datuk Seri Mah Siew Keong turut mengulangi pendirian teguh kerajaan Malaysia untuk menentang diskriminasi ini bagi memastikan kepentingan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia terpelihara dan Malaysia tidak akan bertoleransi terhadap tindakan pihak tertentu yang bakal menindas punca pendapatan mereka.

8. Selain daripada itu, kedua-dua menteri juga bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama melalui Jawatankuasa Kecil Malaysia-Belanda mengenai Kelapa Sawit (Malaysia-Netherland Sub-Committee on Oil Palm - SCOP) dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

9. Semasa pertemuan tersebut juga, YB Datuk Seri Mah Siew Keong dan TYT Sigrid Kaag turut telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Wageningen Food and Biobased Research of The Netherlands berkenaan Optimisation of Sustainable Use of Oil Palm Biomass.

10. Kerjasama ini antara lain adalah untuk membangunkan program penyelidikan pengeluaran bahan nilai tambah seperti pembungkusan dan plastik bio dari batang pokok sawit.


YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia
9 Februari 2018

Datuk Seri Mah Siew Keong dan TYT Sigrid Kaag turut telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Wageningen Food and Biobased Research of The Netherlands berkenaan Optimisation of Sustainable Use of Oil Palm Biomass.