KENYATAAN MEDIA


SESI PERJUMPAAN YB MENTERI BERSAMA MALAYSIAN FURNITURE COUNCIL (MFC)
ISNIN, 8 JANUARI 2018

1. Pada hari ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah mempengerusikan mesyuarat bersama wakil-wakil daripada Malaysian Furniture Council (MFC) bagi mendapatkan maklum balas berkaitan isu-isu pembangunan sektor industri perabot.

2. Ketika mesyuarat tersebut, isu utama yang dibangkitkan oleh para pemain industri adalah berkenaan beberapa cadangan untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk industri hiliran perabot.

3. Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah memutuskan untuk terus mengekalkan larangan terhadap pengeksportan KGB.

4. Pelaksanaan larangan eksport ini adalah bertujuan untuk terus menggalakkan pembekal KGB untuk memberi keutamaan jualan kepada pasaran domestik dan turut dijangka dapat memberikan harga jualan kayu getah yang lebih baik buat para pekebun kecil getah.

5. Dalam hal ini, Kementerian menegaskan bahawa Kementerian akan terus komited untuk memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk industri perabot, dimana 80% daripada bahan mentah adalah merupakan kayu getah.

6. Bagi mengawal dan memastikan bekalan bahan mentah terutama kayu getah bergergaji (KGB) mencukupi untuk industri perabot, Kementerian telah melaksanakan langkah penetapan kuota eksport nasional dan bulanan serta had pengeksportan bagi setiap syarikat.

7. Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan juga telah menegaskan bahawa jumlah bekalan bahan mentah adalah turut bergantung kepada jumlah penebangan pokok getah.

8. Keadaan cuaca yang tidak menentu telah mengakibatkan aktiviti penebangan pokok getah tidak dapat dijalankan dengan lancar dan menyebabkan bekalan kayu getah berkurangan.

9. Sehingga Oktober 2017, nilai eksport perabot berasaskan kayu dan rotan mencatatkan nilai sebanyak RM6.7 bilion, peningkatan sebanyak 7.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
8 Januari 2018

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong (5 dari kiri) bersama wakil daripada Malaysian Furniture Council (MFC). Turut hadir adalah Presiden MFA, Datuk Chua Chun Chai (4 dari kiri), Ketua Setiausaha MPIC, Datuk K.Yogeesvaran (6 dari kiri), Ketua Pengarah MTIB, Dato’ Dr.Jalaluddin Harun (7 dari kiri) dan Penasihat MFA, Dr. Prof. Jega (8 dari kiri)