KENYATAAN MEDIA


MAJLIS PENYERAHAN INPUT PERTANIAN BERSEMPENA PROGRAM 'AMALAN PERTANIAN BAIK'
PERKAMPUNGAN ORANG ASLI, KG. ERONG, TELUK INTAN

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Input Pertanian bersempena Program 'Amalan Pertanian Baik' bertempat di Perkampungan orang asli, Kampung Erong, Teluk Intan.

2. Program ini adalah kesinambungan daripada program Getah Untuk Pribumi yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan orang asli menerusi peluang penglibatan dalam sektor komoditi getah.

3. Program ini dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). Turut hadir di Majlis ini adakah YB Tan Sri Dato Sri Dr Muhammad Leo Toyad, Pengerusi LGM, YBrs Dr Zairossani Mohd Nor, Ketua Pengarah LGM dan wakil pengurusan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

4. Semasa ucapan perasmian, Datuk Seri Mah Siew Keong telah berkongsi bersama para pekebun serta penoreh getah yang hadir bahawa penanaman getah mempunyai potensi tinggi dan bakal terus berkembang.

5. Oleh kerana itu, kerajaan melalui LGM sedang giat menjalankan kajian berinovasi tinggi bagi menghasilkan klon-klon getah bermutu tinggi, berproduktiviti tinggi, lebih tahan penyakit serta mempunyai waktu matang yang lebih singkat.

6. Program ini memberi peluang kepada MPIC serta LGM untuk turun padang bertemu dengan pekebun kecil dan penoreh getah orang asli yang berkonsepkan “Touch Point Programme”. Ini merupakan usaha untuk membantu pekebun kecil getah dalam pengurusan tanaman getah secara bersistematik untuk meningkatkan produktiviti tanaman.

7. Taklimat ‘Amalan Pertanian Baik' atau Good Agricultural Practices (GAP) yang disampaikan oleh pihak LGM memberi pendedahan mengenai maklumat-maklumat berguna, teknologi terkini, teknik penjagaan, sistem torehan pokok serta input pertanian yang bersesuaian dalam pengurusan tanaman dan kebun getah milik mereka.

8. Dengan mempraktikkan amalan pertanian baik yang telah diajar, pekebun kecil getah akan dapat menikmati hasil getah hanya dalam tempoh yang singkat, iaitu selama 4 tahun. Ini akan menjadi sumber pendapatan baru bagi penduduk orang asli Kampung Erong, yang merupakan satu-satunya perkampungan orang asli di Parlimen Teluk Intan.

9. Inisiatif program ini selari dengan rancangan kerajaan melalui NKEA yang mensasarkan kawasan getah seluas 1.2 juta hektar menjelang tahun 2020. Ini digambarkan dalam Bajet 2018 yang memperuntukkan RM2.3 bilion untuk industri-industri sawah, pekebun kecil, penoreh getah dan nelayan.

10. Bersempena penganjuran ini juga, 63 orang pekebun kecil dan penoreh getah menerima bantuan peralatan pertanian berupa kasut but getah dan pam penyembur bagi kemudahan mereka dalam pengurusan tanaman dengan baik.

11. Seramai 200 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada pekebun kecil dan penoreh getah, persatuan pekebun kecil getah dan masyarakat sekitar Kampung Erong, Perak.

12. Menerusi pelaksanaan program sebegini, MPIC serta LGM berharap agar pekebun kecil dan penoreh getah dapat mempraktikkan amalan pertanian baik yang bersistematik agar dapat meningkatkan produktiviti tanaman yang seterusnya akan menambahbaik taraf hidup golongan orang asli, dan mengurangkan jurang pendapatan di antara penduduk luar bandar dan bandar.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
6 FEBRUARI 2018

Datuk Seri Mah Siew Keong bergambar bersama pekebun kecil dan penoreh getah yang menerima bantuan peralatan pertanian berupa kasut but getah dan pam penyembur semasa di Program 'Amalan Pertanian Baik' di Kampung Erong,Teluk Intan.Turut hadir di Majlis ini adalah Tan Sri Datuk Sri Dr Muhammad Leo Toyad (Pengerusi LGM) , Dr Zairossani Mohd Nor (Ketua Pengarah LGM), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (ADUN Changkat Jong), Datuk M Ramachandran (Ketua MIC Bahagian Teluk Intan) dan wakil pengurusan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).