KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


PELAKSANAAN SKIM EKSPORT MINYAK SAWIT MENTAH TANPA DUTI EKSPORT

 

1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan melaksanakan Skim Eksport Minyak Sawit Mentah (Crude Palm Oil - CPO) Tanpa Duti Eksport bagi tempoh 3 bulan mulai 8 Januari hingga 7 April 2018.

2. Pelaksanaan Skim ini adalah bertujuan untuk mengurangkan stok minyak sawit dan mengukuhkan harga pasaran minyak sawit.

3. Dalam hal ini, harga CPO telah menunjukkan tren penurunan yang ketara semenjak Oktober 2017.

4. Pada bulan Disember 2017, harga purata CPO telah menurun kepada RM2.372.50 sepanjang tempoh minggu ketiga, manakala stok minyak sawit pada bulan November 2017 telah meningkat 16% kepada 2.56 juta tan ekoran peningkatan pengeluaran dan penurunan eksport minyak sawit. Peningkatan stok dijangka berterusan pada tahun 2018.

5. Oleh demikian, pelaksanaan Skim ini adalah satu langkah pre-emptive jangka pendek Kerajaan bagi menangani kejatuhan harga minyak sawit mentah supaya pendapatan pekebun keicl sawit tidak terjejas dan industri sawit negara terus berdaya saing.

6. Pengecualian duti eksport akan diberhentikan lebih awal dari tempoh tiga bulan sekiranya stok minyak sawit menurun kepada paras 1.6 juta tan, yang merupakan paras stok yang bersesuaian untuk menstabilkan harga serta paras yang mencukupi untuk memenuhi keperluan industri sawit.
7. Skim ini terbuka kepada semua syarikat yang mempunyai lesen sah untuk mengeksport CPO.
8. Kementerian akan terus memantau tren harga pasaran dan stok minyak sawit serta akan terus melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian bagi memperkukuhkan harga minyak sawit di pasaran tempatan.

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi
5hb Januari 2018