KENYATAAN MEDIA


MAJLIS PERASMIAN PROGRAM NEGARAKU SAWITKU
SMK SULTAN ABDUL AZIZ
TELUK INTAN, PERAK

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong telah merasmikan Program Negaraku Sawitku di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan.

2. Dalam ucapan perasmian program tersebut, Datuk Seri Mah Siew Keong telah menegaskan kerajaan bakal melipat gandakan usaha untuk memupuk kesedaran berkenaan kepentingan industri sawit negara dikalangan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang latar.

3. Sokongan kolektif yang berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia mestilah dipupuk terlebih dahulu dikalangan kanak-kanak supaya mereka akan meneruskan kegemilangan industri ini, yang dijangkakan akan terus menjadi sumber utama ekonomi negara melampaui aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

4. Dalam hal ini, Datuk Seri Mah Siew Keong juga memaklumkan bahawa Kementerian sedang dalam proses mengubal transformasi industri sawit melalui Pelan TN50 dan oleh itu, sesi “engagement” bersama golongan muda adalah penting bagi memastikan industri sawit akan terus kekal relevan dan berdaya saing, disebalik cabaran hebat yang sentiasa mendatang.

5. Program ini merupakan program siri kedua selepas yang pertama telah diadakan di SMK Convent Kajang, Selangor dan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, program ini akan turut diperluaskan ke sekolah-sekolah lain sebagai usaha pihak Kementerian untuk meningkatkan pendedahan dan pengetahuan para pelajar kepada industri sawit.

6. Kerajaan melalui agensi-agensi berkenaan sawit seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga menawarkan pelbagai latihan dan kursus kemahiran bertaraf sijil dan diploma bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja yang terlatih untuk berkhidmat dalam industri sawit.

7. Industri sawit telah memberi banyak faedah dan manfaat kepada negara serta telah membuka banyak peluang pekerjaan yang merangkumi pekerjaan di sektor huluan dan hiliran sawit. Kemajuan pesat industri sawit telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih tiga juta penduduk Malaysia.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
5 Mac 2018

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong bersama, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Kushairi melihat lukisan mural bertemakan sawit yang dilukis oleh pelajar SMK Sultan Abdul Aziz sempena program Negaraku, Sawitku.