KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


RESOLUSI KESATUAN EROPAH BERKENAAN SAWIT: MALAYSIA MENGALU-ALUKAN SOKONGAN TERBUKA PERANCISz

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Pertahanan Perancis, H.E Florence Parly di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn.

2. Semasa pertemuan tersebut, Menteri Pertahanan Perancis telah menyatakan pendirian negara Perancis untuk tidak menyokong polisi yang bersifat diskriminasi dan Kerajaan Perancis menghargai hubungan baik dua hala yang sedang dinikmati antara Malaysia dan Perancis.

3. Datuk Seri Mah Siew Keong mengalu-alukan sokongan tersebut dan berharap agar pendirian tersebut dapat diterjemahkan kepada penolakan Kerajaan Perancis terhadap Resolusi Parlimen Kesatuan Eropah yang melibatkan komoditi sawit pada sesi rundingan antara Majlis Menteri Negara-negara EU serta ahli Parlimen Kesatuan Eropah akan datang.

4. Walaupun eksport kelapa sawit ke Perancis hanyalah sekitar RM120 juta, sokongan terbuka daripada wakil Kerajaan Perancis terhadap industri sawit mampan adalah penting dan mampu memperbetulkan segala persepsi negatif dikalangan menteri-menteri daripada 28 buah negara Kesatuan Eropah yang akan mengambil bahagian dalam mesyuarat rundingan tersebut.

5. Daripada jumlah keseluruhan 751 orang ahli Parlimen Kesatuan Eropah, negara Perancis mempunyai bilangan wakil ahli parlimen Kesatuan Eropah ke-dua terbanyak selepas negara Jerman, iaitu seramai 74 orang berbanding 96 orang ahli parlimen daripada Jerman.

6. Dalam hal ini, Kerajaan Malaysia berharap agar wakil Kerajaan Perancis dapat memberikan pertimbangan serta sokongan yang sewajarnya dalam menyokong usaha Kerajaan Malaysia untuk membela dan menegakkan keadilan sosial bagi lebih 650,000 para pekebun kecil.

7. Bagi tempoh dari Januari hingga November 2017, Malaysia telah mengeksport barangan berjumlah RM5.3 billion ke Perancis daripada pelbagai sektor, terutamanya sektor barangan elektrik dan elektronik dan barangan berasaskan getah.

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia
30 Januari 2018

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyambut ketibaan Menteri Pertahanan Perancis semasa sesi pertemuan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur