KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


EKSPORT SARUNG TANGAN GETAH PADA TAHUN 2017 MENCECAH PARAS TERTINGGI
19 FEBRUARI 2018, KUALA LUMPUR

1. Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menghadiri “Majlis Makan Malam Bersama Kapten Industri” anjuran Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

2. Eksport sarung tangan getah di Malaysia pada tahun 2017 telah mencecah paras yang tertinggi dalam sejarah, berikutan pemulihan yang berterusan dalam pertumbuhan dan permintaan dunia. Bagi tahun 2017, eksport meningkat dari tahun ke tahun dengan kadar 19.4% iaitu RM 15.9 bilion berbanding RM13.3 bilion bagi tahun 2016.

3. Pada masa ini, Malaysia merupakan pembekal terbesar dunia bagi sarung tangan getah dengan lebih 60% syer dalam pasaran dunia dari segi kuantiti. China merupakan salah satu pasaran eksport yang paling pesat berkembang dengan nilai eksport ke China mencecah RM906.9 juta pada tahun 2017 berbanding RM362.2 juta pada tahun 2016, mencatatkan pertumbuhan cemerlang sebanyak 250%. Selain China, eksport sarung tangan getah Malaysia ke Jerman dan Jepun juga meningkat masing-masing kepada RM1.26 bilion dan RM1.1 bilion berbanding RM1.08 bilion dan RM820 juta pada tahun 2016. Walau bagaimapun, Amerika Syarikat masih kekal sebagai pasaran terbesar Malaysia bagi sarung tangan getah dengan pertumbuhan sebanyak 24% dan nilai eksport mencecah RM5.6 bilion bagi tahun 2017, berbanding dengan RM4.53 bilion pada tahun 2016.

4. Berdasarkan prestasi eksport yang memberangsangkan pada tahun 2017, Malaysia dijangka akan terus mendominasi pasaran dunia bagi sarung tangan getah khususnya untuk kegunaan dalam sektor kesihatan. Pihak industri yakin akan dapat mencapai sasaran 65% syer eksport dunia bagi sarung tangan getah pada tahun 2020. Pada tahun 2017, eksport sarung tangan getah adalah dianggarkan sebanyak 228 bilion unit dan dijangkakan akan meningkat kepada 287 bilion unit pada tahun 2020.

5. Sejajar dengan ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) menerusi Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC), akan meneruskan aktiviti pemasaran yang berkesan untuk meningkatkan kesedaran penggunaan sarung tangan serta mempromosikan sarung tangan yang berkualiti dari Malaysia.

6. Pihak MPIC pada masa ini juga mensasarkan aktiviti promosi di pasaran-pasaran lain yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi seperti negara-negara di rantau ASEAN, khususnya Filipina dan Myanmar. Untuk itu, MREPC telah mengenalpasti beberapa program untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan sarung tangan dalam sektor kesihatan dan mempromosikan sarung tangan getah perubatan berkualiti buatan Malaysia.

Kementerian Perusahaan Perladangan Dan Komoditi
19 Februari 2018

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong telah menghadiri satu perjumpaan bersama dengan pemain industri sarung tangan getah. Turut hadir pada perjumpaan ini termasuk Datuk Zurinah Pawanteh, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Lim Wee Chai, Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd, Dato’ Dr. Ong Eng Long, Presiden Persatuan Pengilang Produk Getah Malaysia, Dr. Supramaniam, Timbalan Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia, En. Kuan Mun Leong, Pengarah Urusan Hartalega Sdn Bhd, En. Lawrence Lim Siau Tian, Pengarah Eksekutif Kossan Rubber Industries Bhd, En. Tan Swee Hua, Pengarah Eksekutif Getahindus (M) Sdn Bhd, dan En. Ong Boon Kee, CEO G.B. Industries Sdn Bhd.