KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

KUALA LUMPUR, Malaysia - Menteri Perladangan Industri dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong mengeluarkan kenyataan berikut berkenaan perhimpunan aman yang dilakukan oleh para pekebun kecil kelapa sawit Malaysia untuk menyuarakan bantahan terhadap cadangan pengharaman biobahan api berasaskan minyak sawit oleh Parlimen Kesatuan Eropah.

“Kerajaan mengambil maklum bahawa para pekebun kecil telah berhimpun untuk membantah cadangan Kesatuan Eropah untuk mengharamkan biobahan api berasaskan minyak sawit dibawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED).

Bantahan ini adalah bukti jelas kepada Parlimen Kesatuan Eropah (termasuk Majlis Kesatuan Eropah) dan Presiden Kesatuan Eropah bahawa para pekebun kecil Malaysia tidak berpuas hati dan tertindas dengan cadangan untuk mengharamkan biobahan api berasaskan minyak sawit di pasaran Eropah. Cadangan ini bakal mengancam kebajikan para pekebun kecil dan bertentangan dengan usaha berterusan Kerajaan Malaysia untuk melindungi kepentingan negara.

Kerajaan Malaysia menyifatkan cadangan pengharaman ini sebagai satu usaha Eropah untuk memperkenalkan "Aparteid Tanaman" terhadap 650,000 pekebun kecil sawit negara. Malaysia akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk melindungi kebajikan lebih daripada 3.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung hidup dengan sektor kelapa sawit.

Cadangan pengharaman ini adalah tidak adil kerana pesaing-pesaing minyak sayuran lain akan terus dibenarkan untuk terus digunakan dibawah RED, manakala minyak sawit akan dikecualikan menjelang tahun 2021. Ini adalah satu diskriminasi yang jelas. Saya menyeru pihak Kesatuan Eropah untuk berhenti mendiskriminasi sektor kelapa sawit.

Kerajaan Malaysia juga ingin mengingatkan rakan-rakan Kesatuan Eropah bahawa minyak sawit Malaysia memenuhi piawaian kemampanan yang ketat, dan juga berupaya untuk mendapatkan pensijilan daripada Skim Pensijilan Mampan Eropah terkemuka termasuklah daripada German ISCC (Pengsijilan Karbon dan Kemampanan Antarabangsa)."

DATUK SERI MAH SIEW KEONG
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia
16 Januari 2018

YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menegaskan bahawa Bantahan Pekebun Kecil Sawit Bukti Bahawa Diskriminasi Sawit Mengancam Kebajikan Pekebun Kecil