mpi
KENYATAAN MEDIA


 

KEMENTERIAN INDUSTRI UTAMA
MPI MEMPERKASA MODAL INSAN SEKTOR KOMODITI UNTUK MENGURANGKAN KEBERGANTUNGAN PEKERJA ASING

1. Sektor komoditi merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada jumlah eksport bersih negara. Pada tahun 2017, eksport produk-produk berasaskan komoditi berjumlah RM140.3 bilion atau 15% daripada keseluruhan pendapatan eksport negara di mana 55% daripada jumlah ini iaitu RM77.8 bilion disumbangkan oleh sektor sawit.

2. Bagi tempoh Januari hingga ke Jun 2017, sektor komoditi telah mencatatkan nilai eksport berjumlah RM63.8 bilion, iaitu penurunan sebanyak 9% berbanding dengan RM70 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

3. Kementerian Industri Utama melalui IMPAC sedang memberi tumpuan terhadap usaha dalam membangun dan memperkasakan pembangunan modal insan terutamanya bagi meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir dan separa mahir. Keperluan tenaga kerja tempatan yang berpengetahuan dan berkemahiran amat diperlukan di sektor perladangan bagi meningkatkan produktiviti dan meneruskan kelangsungan prestasi pendapatan eksport komoditi negara.

4. Program Sayangi Komoditi, merupakan program yang dijalankan oleh IMPAC dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan Pejabat Pendidikan Daerah, Kementerian Pendidikan Malaysia. Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menghebahkan keperluan guna tenaga serta menggalakkan belia menceburi bidang latihan dan kerjaya di sektor perladangan dan komoditi. Program ini mensasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah yang akan menamatkan sesi persekolahan, belia dan beliawanis yang berminat mengikuti latihan dan kerjaya di sektor perladangan dan komoditi dan pihak pengurusan industri dalam sektor perladangan dan komoditi.

5. Pada tahun 2018, program Sayangi Komoditi dilaksanakan di tiga zon iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bagi zon semenanjung, sekolah yang dipilih bagi perasmian program adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Selancar, Rompin Pahang. Sekolah-sekolah menengah dalam Daerah Rompin yang akan terlibat dengan program ini adalah SMK Perwira Jaya, SMK Chanis, SMK Perantau Damai, SMK Keratong, SMK Bandar Tun Razak dan SMK Muadzam Jaya. Program ini juga melibatkan pelajar-pelajar pra-diploma Politeknik Muadzam Shah, Rompin Pahang. Jumlah penyertaan adalah dianggarkan antara 300 hingga 400 peserta.

Kementerian Industri Utama, Malaysia
15 Ogos 2018