KENYATAAN MEDIA 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 


MISI EKONOMI DAN TEKNIKAL 

SAWIT, KAYU-KAYAN DAN GETAH  KE IRAN DAN INDIA 

5 – 9 FEBRUARI 2017

 

YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan mengetuai Misi Ekonomi dan Teknikal  Sawit, Kayu-Kayan dan Getah ke Iran dan India dari 5 hingga 9 Februari 2017. Delegasi misi ini terdiri daripada Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan wakil-wakil sektor swasta. 

2. Objektif misi ini adalah bertujuan untuk:

• menggalak dan memperkukuhkan eksport produk-produk sawit, kayu-kayan dan getah ke Iran dan India;

• memperkukuhkan jaringan perniagaan di antara sektor swasta Malaysia dengan sektor swasta di Iran dan India;

• merasmikan Pejabat Serantau MPOB dan Palm Oil Trade Fair and Seminar (POTS 2017) di Tehran, Iran serta Palm Oil Networking Seminar di Mumbai, India; dan

• mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi Perdagangan, Pertanian dan Kesihatan di Iran. 

3. Semasa di Iran dari 5 hingga 7 Februari 2017, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan mengadakan perbincangan  dua hala dengan sektor swasta di Iran, termasuk Tehran Timber Importers dan pengimport-pengimport utama produk-produk sawit serta kayu-kayan. Ini adalah bertujuan untuk menggalakkan eksport produk-produk sawit, kayu-kayan dan getah di samping memperkukuhkan jaringan sektor swasta. Selain itu, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan merasmikan POTS Iran 2017 yang bertujuan antara lain, menyampaikan maklumat-maklumat terkini mengenai khasiat nutrisi minyak sawit.  

4. YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga akan mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri-menteri Iran termasuklah TYT Mahmoud Hojjati, Menteri Pertanian dan TYT Mohamad Reza Ne’matzadeh, Menteri Industri, Perlombongan dan Perdagangan. Perbincangan dua hala ini akan tertumpu kepada antara lain, isu-isu berkaitan dengan keselamatan dan khasiat nutrisi minyak sawit dan lain-lain bidang untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala. 

5. Semasa lawatan ke India pada 8 Februari 2017, YB Datuk Seri Mah Siew Keong akan merasmikan Palm Oil Networking Seminar dan mengadakan perbincangan dua hala bersama The Solvent Extractor’s Association of India. Perbincangan-perbincangan tersebut akan memberi fokus kepada bidang-bidang untuk memperkukuhkan perdagangan minyak sawit. YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Ketua Menteri Maharastra untuk meninjau bidang-bidang kerjasama. 

6. Bagi tempoh Januari - November 2016, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Iran adalah bernilai RM2.59 bilion. Jumlah eksport bagi tempoh ini adalah bernilai RM1.97 bilion di mana eksport produk-produk komoditi telah menyumbang RM1.55 bilion (78.7% daripada jumlah eksport). Produk-produk komoditi utama yang dieksport ke Iran bagi tempoh Januari – November 2016 adalah minyak sawit bernilai RM1.21 bilion, produk-produk kayu-kayan bernilai RM33.76 juta dan produk-produk getah bernilai RM268.94 juta.  

7. Dalam kes India, bagi tempoh Januari - November 2016, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-India adalah bernilai RM44.18 bilion. Jumlah eksport bagi tempoh ini adalah bernilai RM29.24 bilion di mana eksport produk-produk komoditi telah menyumbang RM9.57 bilion (32.7% daripada jumlah eksport). Produk-produk komoditi utama yang dieksport ke Iran bagi tempoh Januari – November 2016 adalah minyak sawit bernilai RM7.8 bilion, produk-produk kayu-kayan bernilai RM1.42 bilion dan produk-produk getah bernilai RM279.53 juta. 

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
5 Februari 2017