KENYATAAN MEDIA

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG

MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

SESI KONSULTASI BERSAMA INDUSTRI BERKENAAN CADANGAN PELAKSANAAN PENGUATKUASAAN PELESENAN TEMBAKAU DAN KELUARAN TEMBAKAU 

17 FEBRUARI 2017 (JUMAAT)

 

1. Pada 15 Februari 2017 (Rabu), saya telah mempengerusikan sesi konsultasi untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak terutamanya industri tembakau dan wakil pengedar serta peruncit berhubung pelaksanaan penguatkuasaan pelesenan bagi tembakau dan keluaran tembakau sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 [Akta 692]. 

2. Sesi konsultasi bersama pihak-pihak yang berkepentingan telah diadakan sejak 2011. Sesi yang diadakan pada hari ini adalah sesi kick-off pada tahun ini dan ia akan diteruskan ke seluruh negara selaras dengan konsep public engagement. Semua maklum balas yang diterima akan diteliti dengan sewajarnya.  

3. Cadangan pelaksanaan pelesenan bagi tembakau dan keluaran tembakau ini adalah bertujuan bagi mengawal selia industri ini dalam menangani pengedaran keluaran tembakau yang tidak sah di dalam pasaran. Berdasarkan maklumat Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM), dianggarkan jumlah bilangan pengedar rokok di selurah Malaysia adalah 80,000 pengedar.  

4. Aktiviti kawal selia industri akan ditingkatkan bagi memastikan aktiviti pengedaran keluaran tembakau tidak sah dapat dibendung. Sekiranya masalah ini tidak dapat dikawal, adalah dikhuatiri keluaran tembakau seperti rokok tidak sah ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara malah turut mengundang masalah kesihatan, sosial dan jenayah. 

5. Pelaksanaan penguatkuasaan ini bakal menjadi satu mekanisme berkesan dalam mengawal selia industri tembakau negara terutamanya dalam pengedaran keluaran tembakau. Beberapa negara ASEAN seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Vietnam juga telah melaksanakan pelesenan bagi pengedaran keluaran tembakau dan ia terbukti berkesan dalam menangani masalah ini. Langkah ini juga akan membolehkan pemantauan dibuat ke atas para peruncit rokok dan secara tidak langsung boleh mengurangkan masalah penjualan rokok tidak sah.  

6. Penguatkuasaan Peraturan ini adalah selari dengan komitmen Kerajaan di bawah protokol World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO-FCTC). Protokol ini bertujuan untuk membendung penularan masalah yang berkaitan dengan kawalan tembakau termasuk rokok tidak sah.  

7. Pelaksanaan Peraturan ini bakal dapat memastikan Kerajaan mematuhi segala peruntukan di bawah protokol ini dan sekaligus menaikkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang memandang serius isu kawalan tembakau dan rokok di peringkat antarabangsa.  

8. Pelaksanaan penguatkuasaan Peraturan ini dijangkakan juga akan dapat mengurangkan penjualan dan penggunaan keluaran tembakau yang tidak sah serta dapat mengurangkan ketirisan pungutan cukai oleh Kerajaan.  

9. Adalah dimaklumkan bahawa LKTN telah menyediakan kemudahan infrastuktur, logistik serta sistem pelesenan disamping kesiapsiagaan kakitangan dalam menguatkuasakan peraturan ini. Selain itu, LKTN juga akan meneruskan aktiviti kawal selia industri tembakau. Pada masa sama, LKTN turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan dalam usaha menangani kegiatan pengedaran tembakau dan keluaran tembakau tidak sah. 

10. Sesi konsultasi tersebut telah dihadiri oleh seramai 38 orang wakil-wakil daripada Pengilang Tembakau (Philip Moris, British American Tobacco, Ransmark Tobacco Company), Pengusaha Tembakau Tempatan, Persatuan Peruncit dan Restoran;  Badan Bukan Kerajaan (FOMCA & Persatuan Pengguna Pulau Pinang) serta wakil para Pengedar Rokok.

 

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
17 FEBRUARI 2017 

YB Menteri bergambar bersama wakil industri sempena Sesi Konsultasi berkenaan Cadangan Pelaksanaan Penguatkuasaan Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau di bangunan MPIC, Putrajaya pada 15 Februari 2017.  Hadir sama YB Datuk Datu Nasron Datu Mansur (Timbalan Menteri MPIC), YB Dato' Haji Mohd Adhan Kechik (Pengerusi LKTN) dan YBhg Datuk M.Nagarajan (KSU MPIC).