SIARAN SEGERA

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI (MPIC) 


PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2017 

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG 

Putrajaya, 5 Januari 2017 - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bersama-sama dengan agensinya akan terus berusaha untuk mengukuhkan sumbangan industri komoditi negara kepada eksport dan memastikan harga yang stabil agar lebih sejuta pekebun kecil di seluruh negara meraih pendapatan yang stabil. MPIC yakin langkah-langkah strategik yang telah disusun atur sepanjang tahun 2017 akan berupaya mengekalkan momentum pertumbuhan industri komoditi negara yang terdiri daripada produk-produk sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf.

 

2. Pada tahun 2016, pendapatan eksport sektor komoditi dan harga komoditi utama seperti sawit dan getah telah meningkat. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2016, pendapatan eksport sektor komoditi adalah sebanyak RM99.2 bilion, meningkat 2% berbanding tempoh yang sama tahun 2015. Sektor ini juga telah menyumbang 15.6% daripada jumlah eksport barangan negara. Prestasi positif ini adalah hasil kerja dan usaha bersama semua pihak dalam mengharungi cabaran sepanjang tahun 2016.

 

3. Bagi tahun 2017, MPIC telah menyasarkan pertumbuhan pendapatan eksport dari 5% hingga 8% dengan mengukuhkan syer pasaran sedia ada dan juga penerokaan pasaran-pasaran baharu. Ini termasuk melalui rundingan perdagangan bebas dengan Iran dan meninjau pasaran-pasaran baru di negara-negara Asia Barat dan Eropah Selatan. 

 

4. Selain itu, usaha berterusan juga akan dilakukan dengan tumpuan pelaburan kepada aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah penghasilan produk-produk hiliran bernilai tambah tinggi baharu dan pemantapan produk-produk sedia ada. Langkah ini adalah juga dapat meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing produk-produk komoditi negara di pasaran global.

 

5. Tahun 2017 juga adalah sebuah tahun istimewa bagi Malaysia yang akan menyambut ulang tahun ke-100 pengkomersilan tanaman sawit negara. Untuk tempoh 100 tahun yang lalu, industri ini telah terbukti menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara dengan penyediaan pelbagai peluang pekerjaan, pembangunan aktiviti-aktiviti perindustrian di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran dan pelaburan sama ada dalam dan luar negara. Oleh yang demikian, MPIC akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi industri sawit ini supaya sumbangannya kepada negara akan terus kekal penting pada 100 tahun akan datang.

 

6. Dengan sumbangan yang begitu besar kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, sektor komoditi adalah tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara semenjak dulu, kini serta untuk masa hadapan. MPIC yakin bahawa sektor ini akan terus menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kesejahteraan negara pada tahun 2017 dan tahun-tahun seterusnya. Komoditi penjana ekonomi negara. 

 

DATUK SERI MAH SIEW KEONG

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

 

5 Januari 2017