KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 


 

KUNJUNGAN HORMAT MALAYSIA TIMBER ASSOCIATION (MTA) KE ATAS
YB MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
UNTUK MEMBINCANGKAN HASIL BENGKEL MTA 2016

6 JUN 2017, PUTRAJAYA

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, YB Datuk Seri Mah Siew Keong bersama pegawai-pegawai tertinggi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Malaysian Timber Association (MTA) untuk membincangkan hasil penemuan daripada bengkel anjuran MTA yang telah diadakan di Kuching, Sarawak pada akhir tahun lalu.

2. MTA merupakan gabungan persatuan-persatuan industri perkayuan yang telah ditubuhkan pada tahun 1991 dan sebanyak 9 persatuan industri kayu daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah bernaung di bawah MTA. 

3. Industri kayu-kayan merupakan antara penyumbang eksport komoditi negara yang utama. Pada tahun 2016, sektor ini telah menyumbang sebanyak RM21.86 bilion kepada pendapatan eksport negara. Prestasi eksport kayu dan produk kayu bagi suku tahun pertama 2017 meningkat sebanyak 5.4% kepada RM5.9 bilion berbanding RM5.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun 2016.

4. Pada sesi perbincangan dua hala ini, Presiden MTA, YBhg. Dato’ Low Kian Chuan telah menyerahkan sebuah dokumen yang merupakan rangkuman hasil daripada bengkel anjuran MTA kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong.

5. Dokumen tersebut mengandungi pelbagai cadangan serta saranan kepada pihak kementerian yang meliputi aspek dasar, bekalan bahan mentah, pembangunan sektor hiliran, perdagangan dan pemasaran industri perkayuan yang telah diutarakan oleh wakil-wakil industri yang bernaung di bawah MTA.

6. Di antara topik yang mendapat tumpuan ketika sesi perbincangan adalah berkenaan potensi penggunaan kayu yang berasaskan batang kelapa sawit dalam sektor kayu-kayan negara. MTA telah mengiktiraf potensi besar kayu berasaskan batang kelapa sawit dan telah mencadangkan bahawa tumpuan khusus wajar diberikan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan kualiti serta meluaskan aplikasi batang kelapa sawit melalui penyelidikan, sains dan teknologi.

7. Dalam hal ini, YB Datuk Seri Mah Siew Keong memutuskan bahawa pihak kerajaan telah bersetuju untuk mengkaji keperluan penubuhan jawatankuasa khas, Special Committee on Oil Palm Trunk yang bakal dianggotai oleh wakil-wakil daripada kementerian, agensi-agensi kerajaan berkenaan industri sawit dan kayu-kayan, serta para pemain industri.      

8. YB Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan bahawa sinergi antara industri sawit dan kayu-kayan negara mampu melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Lembaga Industri Kayu Malaysia pada tahun 2015, sebanyak 4.6 juta hektar batang sawit matang hasil daripada sasaran penanaman semula berada dalam keadaan yang baik serta berpotensi untuk dijadikan sebagai bahan mentah bagi memenuhi permintaan industri kayu. 

9. Selain daripada itu, YB Datuk Seri Mah Siew Keong turut memberikan jaminan bahawa kementerian akan memberi perhatian yang sewajarnya terhadap cadangan-cadangan tersebut dan mengucapkan tahniah di atas maklum-balas yang telah diberikan oleh MTA.

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG 
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
6  JUN 2017 

Gambar : Kunjungan Hormat ke atas YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi oleh Persatuan Kayu Malaysia (MTA) di MPIC, Putrajaya

Dari Kiri: 

1. YBhg. Dato’ Dr. Jalaluddin Harun (Ketua Pengarah MTIB); 

2. Puan Zurinah Pawanteh (Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi);

3. YB Datuk Seri Mah Siew Keong (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi);

4. YBhg. Dato’ Low Kian Chuan (Pengerusi MTA merangkap Presiden Malaysian Wood Industries Association (MWIA));

5. YBhg. Datuk Andrew Tham Chew Nam (Ahli JK MTA merangkap Presiden Timber Association of Sabah (TAS)); dan

6. YBhg. Datuk Wira Sheikh Othman Rahman (Penasihat MTA merangkap Pengerusi The Malaysian Panel – Products Manufacturers’ Association (MPMA)).