KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


PELAKSANAAN SKIM PENSIJILAN MALAYSIAN SUSTAINABLE PALM OIL (MSPO)
JUMAAT, 4 HB OGOS 2017

Bagi menyokong perkembangan minyak sawit mampan dan memperkukuhkan imej industri minyak sawit di Malaysia, YAB Perdana Menteri ketika merasmikan ulangtahun  ke-100 Industri Minyak Sawit Malaysia pada 18 Mei 2017, telah mengumumkan pelaksanaan mandatori Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) menjelang 31 Disember 2019. MSPO akan dilaksanakan di seluruh negara dan akan menjadi asas bagi penjenamaan minyak sawit Malaysia pada masa akan datang. 

2. Dalam hal ini, berdasarkan statistik terkini daripada Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), sebanyak 1,969,321 hektar ladang sawit yang diusahakan oleh hampir 650,000 para pekebun kecil persendirian dan terancang (FELDA, FELCRA, RISDA dan milik agensi kerajaan negeri) masih belum mendapatkan pensijilan MSPO. 

3. Bagi terus memperkasakan pelaksanaan MSPO, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) mengumumkan bahawa pihak kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan insentif penuh kepada para pekebun kecil untuk menampung yuran pengauditan pensijilan.

4. Malaysia telah melaksanakan Skim MSPO secara sukarela sejak Januari 2015. MSPO telah dibangunkan berdasarkan undang-undang dan peraturan domestik dan amalan terbaik kemampanan. Bagi membantu pelaksanaan MSPO, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) telah ditubuhkan pada tahun 2014. Sehingga hari ini, hanya terdapat 244,622 hektar ladang, termasuk 7,113 hektar di bawah para pekebun kecil serta 22 kilang telah mendapat pensijilan MSPO.

5. Kementerian telah mengadakan beberapa konsultasi dengan pihak berkepentingan industri sawit mengenai isu-isu pasaran minyak sawit dan langkah-langkah untuk mengukuhkan eksport produk sawit ke pasaran global. Kementerian akan terus mempromosikan MSPO ke pasaran antarabangsa melalui jaringan kerjasama dengan skim pensijilan luar negara seperti Roundtable Sustainable Palm Oil (RSPO) dan International Sustainable Carbon Certification (ISCC).

6. Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pelaksanaan pensijilan MSPO secara mandatori terhadap seluruh rantaian industri tidak membebankan para pekebun kecil persendirian dan terancang. Maklumat lanjut berkenaan insentif serta langkah-langkah permohonan akan dimuat naik di laman web MPOB dalam waktu yang terdekat.

 

YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
4HB OGOS 2017