KENYATAAN AKHBAR
TAKLIMAT SKIM PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN (MSPO)


29 APRIL 2017 (SABTU) 
HOTEL GRAND COURT, TELUK INTAN, PERAK

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Mah Siew Keong telah merasmikan sesi Taklimat Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di Hotel Grand Court di Teluk Intan. Sesi taklimat ini yang julung kali diadakan di Teluk Intan telah dihadiri oleh lebih daripada 200 peserta yang terdiri daripada para pekebun kecil, pemilik estet, syarikat-syarikat perladangan dan kilang sawit. 

2. Taklimat adalah bertujuan untuk menerangkan elemen-elemen penting di bawah MSPO yang merupakan skim pensijilan minyak sawit mampan negara. Selain itu, acara ini juga menyediakan landasan untuk mendapatkan maklumbalas berhubung dengan pelaksanaan MSPO dan lain-lain perkara yang berkaitan. 

3. MSPO yang mula dilaksanakan pada tahun 2015 telah digubal dengan mengambil kira undang-undang dan peraturan-peraturan dalam negara termasuklah kriteria kemampanan. Langkah ini adalah bertujuan untuk meningkatkan imej minyak sawit negara dari perspektif kemampanan di samping memenuhi permintaan pasaran bagi minyak sawit yang disijilkan. Pada tahun 2016, Malaysia yang merupakan pengeluar kedua terbesar dunia telah mengeksport produk-produk sawit bernilai RM67.6 bilion dan menyumbang sebanyak 8.6% daripada keseluruhan eksport barangan negara.

4. Buat masa ini, tanaman sawit seluas 5.74 juta hektar juga dipelopori oleh para pekebun kecil di mana hampir 40% daripada tanaman ini adalah diusahakan oleh golongan ini. Di samping itu, industri sawit juga telah banyak menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian dan meningkatkan pendapatan para penduduk luar bandar. 

5. Bagi kawasan Teluk Intan, tanaman sawit adalah seluas 108,538 hektar dan diusahakan oleh lebih kurang 10,000 orang pekebun kecil sawit. Bagi membantu pekebun kecil mendapatkan pensijilan MSPO, Kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Negara (MPOB) telah mewujudkan SPOC Hilir Perak di kawasan ini. 

6. Sehingga Mac 2017, jumlah kawasan tanaman sawit di seluruh negara yang telah disijilkan di bawah MSPO adalah seluas 245,754 hektar. Ini termasuk kawasan seluas 238,545 hektar syarikat-syarikat perladangan yang meliputi 74 buah estet, 3,868 hektar di bawah 2 kluster penanam sawit terancang (PKT) dan 3,341 hektar di bawah 15 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC). 

7. Taklimat seumpama ini akan diteruskan di seluruh negara pada tahun 2017 di mana tumpuan akan diberikan kepada kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan pekebun kecil yang tinggi. Ini termasuk taklimat di Johor pada bulan Mei (Segamat dan Kluang), Selangor pada bulan Jun (Shah Alam dan Bestari Jaya), Pahang, Kelantan, Terengganu dan Sarawak pada bulan Julai (Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu), Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Sabah pada bulan Ogos (Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu).

8. Bagi memudahkan pensijilan di bawah MSPO, Kementerian telah pun menubuhkan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) pada tahun 2015. Selain itu, Kementerian juga akan mengkaji langkah-langkah yang bersesuaian termasuk insentif untuk menggalakkan dan mempercepatkan pensijilan di bawah MSPO. 

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
29 April 2017