KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG TAHUN 2016
“PRODUKTIVITI DIJULANG, PRESTASI TERBILANG”

 

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) yang bertemakan “Produktiviti Dijulang, Prestasi Terbilang” telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

2. Seramai 21 orang penjawat awam Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah menerima anugerah tersebut. Semua penerima APC ini telah melalui proses akhir penilaian oleh panel pembangunan sumber manusia yang diketuai oleh Ketua Bahagian masing-masing. Penghargaan ini adalah merupakan insentif yang diberikan oleh MPIC kepada mereka yang telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang sepanjang tahun 2016 serta sumbangan tenaga, masa dan komitmen ke atas kerja-kerja yang diamanahkan.

3. Dalam tempoh Januari hingga Februari 2017, sektor komoditi dan produk berasaskan komoditi telah menyumbang sebanyak RM22.84 bilion dari jumlah pendapatan eksport negara, meningkat sebanyak 28.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016. Sektor komoditi juga telah menyumbang 16.1 peratus jumlah eksport barangan di Malaysia dalam jangka masa tersebut.  Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga MPIC dan agensi-agensinya atas sumbangan mereka kepada pencapaian ini. 

4. YB Datuk Seri Mah Siew Keong juga berkongsi berkenaan Majlis Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara yang akan diadakan dalam masa 21 hari lagi iaitu pada 18 Mei 2017. Majlis sambutan yang julung kali diadakan ini akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak di Ladang Tennamaram, Sime Darby, Bestari Jaya, Selangor. YB Datuk Seri Mah Siew Keong mengharapkan dengan perasmian Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara pada 18 Mei 2017 nanti merupakan titik permulaan industri sawit melangkah ke arah yang lebih cemerlang dan gemilang dengan peningkatan di dalam nilai eksport negara yang mencecah RM63 billion pada tahun 2016, dan dijangka mencatat angka RM70 billion pada tahun 2017. Ini mencerminkan sektor komoditi merupakan salah satu sektor yang mampu menjana hasil yang tinggi kepada kerajaan dan bukanlah sebagai sunset seperti yang digembar-gemburkan oleh golongan tertentu.

5. YB Datuk Seri Mah Siew Keong menyatakan rasa bangga beliau terhadap pegawai-pegawai MPIC yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dan berharap penganugerahan ini akan dapat menjadi pembakar semangat dan aspirasi kepada warga MPIC yang lain untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik pada tahun ini dan tahun yang mendatang.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Malaysia
26 April 2017