KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

MAJLIS PELANCARAN DAN PERASMIAN SISTEM PRA-PEMBERSIHAN BAHAN MAKANAN TERNAKAN
OLEH YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG, MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
DI KILANG 
SIME DARBY PLANTATION SDN BHD KERNEL CRUSHING 

SELASA, 25 APRIL 2017 

1. YB Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah melancar dan merasmikan sistem pra-pembersihan bahan makanan ternakan dan produk premium PURAFEX yang dihasilkan di Kilang kernel crushing milik Sime Darby Plantation Sdn Bhd yang terletak di Pulau Carey, Selangor.

2. Sistem pra-pembersihan bahan makanan ternakan dibangunkan dengan teknologi dan kerjasama antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Sime Darby Plantation Sdn Bhd serta telah beroperasi pada 14 Oktober 2016.  Teknologi yang dibangunkan membolehkan bahan makanan ternakan bagi industri penternakan ayam dan akua kultur terhasil.   

3. Industri palm kernel oil (PKO) selama ini berperanan sebagai pendokong kepada sektor pengeluaran bahan makanan ternakan.  Melalui PKO juga menghasilkan produk sampingan yang dikenali sebagai palm kernel cake (PKC) yang telah digunakan oleh pihak industri sebagai salah satu komponen dalam menghasilkan bahan makanan ternakan untuk kegunaan dalam sektor penternakan. Terdapat sebanyak 45 kilang seumpama ini beroperasi di Malaysia. Pada tahun 2016, Malaysia telah menghasilkan 2.17 juta tan PKC. Melalui kajian yang dijalankan oleh MPOB, penggunaan palm kernel cake (PKC) dalam sektor penternakan ayam mampu mencapai sehingga 25% manakala 80% bagi sektor penternakan lembu. 

4. Kualiti ternakan ayam terbukti lebih sihat dan kadar kandungan lemak yang lebih rendah dengan pemberian bahan ternakan makanan yang mengandungi (PKC).  Di samping itu, kadar kematian (mortality rate) yang dicatatkan oleh sektor penternakan ayam adalah di bawah 3% di mana lebih rendah daripada paras industri iaitu sekitar 4 hingga 5 %.   

5. Namun begitu, cabaran yang dihadapi oleh industri penternakan di Malaysia adalah kos pengeluaran yang perlu ditanggung.  Secara umum,  bahan makanan ternakan mewakili 25% daripada jumlah kos pengeluaran industri penternakan.  Keadaan ini lebih ketara  terutamanya kepada sektor penternakan ayam.  Pada masa kini, negara terpaksa import bahan makan ternakan yang mengandungi cereal daripada Argentina dan Brazil masing-masing bernilai  415 juta AS Dolar dan 321 juta AS Dolar yang dicatatkan pada tahun 2015.  

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
25 April 2017