KENYATAAN MEDIA
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI


 

MAJLIS SUMBANGAN SEJUTA SARUNG TANGAN GETAH KEPADA
JABATAN KESIHATAN PERAK
21 MEI 2017
DATARAN MENARA CONDONG, TELUK INTAN, PERAK

1. Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini merasmikan program sumbangan ‘1 Juta Sarung Tangan Getah Perubatan” anjuran Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Hospital Teluk Intan.

2. Pada majlis tersebut, Datuk Seri Mah telah menyerahkan replika cek       1 juta sarung tangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak, disaksikan oleh lebih 200 tetamu jemputan terdiri daripada warga pejabat kesihatan negeri. Acara ini yang berlangsung di Dataran Menara Condong Teluk Intan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang awam yang telah turut menyertai saringan kesihatan dan program menarik lain yang disediakan oleh MREPC.

3. Sumbangan 1 juta sarung tangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan disalurkan ke hospital, klinik kesihatan, klinik pergigian dan pusat penjagaan kesihatan di seluruh negeri Perak. MREPC berharap inisiatif ini akan membantu Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan di seluruh negeri Perak. Sumbangan sarung tangan getah ini merupakan siri sumbangan MREPC yang kedua, selepas siri pertama yang berjaya dilaksanakan tahun lepas di Kuching, Sarawak. Sebanyak 1 juta sarung tangan getah telah diedarkan ke hospital dan klinik di Sarawak.

4. Barangan getah Malaysia kini dieksport ke lebih 195 negara di seluruh dunia dengan nilai eksport meningkat tiga kali ganda daripada RM5.4 bilion pada tahun 2000 kepada RM18.2 bilion pada tahun 2016. Daripada jumlah eksport pada tahun 2016, sebanyak 73% atau RM13.3 bilion disumbangkan oleh sarung tangan getah perubatan. 

5. Sejak dua dekad yang lalu, Malaysia kekal mendominasi eksport sarung tangan getah dengan menguasai lebih daripada 60% pasaran dunia. Bagi tempoh 2012 hingga 2016, eksport sarung tangan perubatan meningkat dengan kadar purata 6% setiap tahun. Momentum peningkatan ini dijangka akan berterusan pada tahun 2017 dengan jumlah eksport dijangka mencecah RM14.1 bilion.

6. Walau bagaimanapun, penggunaan sarung tangan getah per kapita di negara-negara Asia, masih berada pada tahap yang rendah iaitu sebanyak 5.5 pasang setahun secara purata berbanding 75 pasang di Amerika Syarikat dan 50 pasang di Eropah. Penggunaan sarung tangan getah di negara China kini berada pada tahap 3 pasang per kapita, manakala di Malaysia ia adalah 10 pasang setahun. Potensi pasaran untuk negara-negara Asia, khususnya negara China, adalah sangat besar.

7. Program kesedaran dan pendidikan merupakan antara langkah penting bagi meningkatkan penggunaan sarung tangan getah dalam negara. Ini bertujuan bagi menjaga keselamatan pesakit serta melindungi kakitangan kesihatan daripada jangkitan penyakit. Sehubungan itu, MREPC telah menjalankan pelbagai program menerusi “Glove Awareness Programme” (GAP) bagi meningkatkan kesedaran kakitangan kesihatan dan orang awam mengenai kepentingan penggunaan sarung tangan. Ini sekaligus dapat menambah kadar penggunaan per kapita di Malaysia dan di negara-negara Asia yang lain kepada tahap 50 pasang seperti di Eropah menjelang tahun 2050.

 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
21 Mei 2017