faqcontact complaintssitemapintranet pdpk 

Pengumuman Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) pada 30 September lalu bahawa minyak dan produk sawit Felda Global Ventures (FGV) yang kini dikenakan Perintah Pelepasan Tahan (WRO), mengejutkan Malaysia - yang pada dasarnya menghalang kemasukannya di pelabuhan.
Menurut CBP, WRO dikenakan susulan 'hasil penyelidikan selama setahun yang menunjukkan penggunaan buruh paksa, termasuk penyalahgunaan kerentanan, unsur tipu muslihat, pembatasan pergerakan, pengasingan, kekerasan fizikal dan seksual, ugutan serta ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, perhambaan hutang, keadaan kerja dan kehidupan yang ditindas serta kerja lebih masa yang keterlaluan.
Siasatan juga menimbulkan kebimbangan bahawa ada potensi buruh paksa kanak-kanak yang digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV.
Sebelum WRO dikenakan, CBP sudah menerima petisyen daripada gabungan badan bukan kerajaan (NGO) pada 2019 yang mengandungi beberapa tuduhan terhadap FGV. Tuduhan dibuat bersandarkan petikan beberapa sumber, termasuk satu artikel Wall Street Journal yang diterbitkan pada 26 Julai 2015.
FGV mengakui beberapa tuduhan terbabit adalah fakta pada masa itu. Namun, kebanyakannya diperbaiki mulai Disember 2018 dengan satu isu utama berkaitan regulasi pekerja asing di Sabah yang sepatutnya diselesaikan pada akhir 2019.
FGV secara tegas menyatakan, dalam kes Semenanjung, amalan menggunakan tenaga kerja yang disediakan kontraktor dilarang pada November 2018 dan seterusnya.
Oleh itu, semua pekerja asing dalam operasi FGV di Semenanjung diperoleh secara langsung dari negara asal mereka menggunakan agensi pengambilan yang diiktiraf dan diluluskan kerajaan masing-masing.
Sekarang, sebagai tindak balas kepada WRO, FGV harus menyoroti dan mengulangi tindakan pemulihan dan pembetulan yang dilakukannya selama lima tahun terakhir, iaitu sejak isu buruh paksa muncul dalam wacana umum. Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada:
Pertama, tiada pengambilan pelarian. Mulai tahun ini, FGV merekrut pekerja migrannya terutama dari India dan Indonesia melalui saluran dan proses yang sah di sisi undang-undang dan diluluskan pihak berkuasa Malaysia dan negara sumber.
Kedua, penyimpanan pasport pekerja tidak lagi diamalkan dan diperkuat dengan pemasangan 32,250 kotak keselamatan di seluruh 68 kompleksnya. Ia sebagai pilihan bagi pekerja migran untuk menyimpan pasport mereka dengan selamat.
Ketiga, penyediaan perumahan yang mencukupi. Selama tiga tahun terakhir, FGV melabur kira-kira RM350 juta untuk meningkatkan kemudahan perumahan bagi pekerjanya dengan membina kediaman baharu di ladang seluruh negara.
Keempat, penyediaan faedah penjagaan kesihatan. Ia meliputi perbelanjaan tahunan untuk rawatan pesakit luar dan peruntukan tidak terhad untuk rawatan pesakit dalam.
Kelima, keahlian Persatuan Buruh Adil (FLA). FGV kini melaksanakan rancangan tindakan jangka panjang dan menyeluruh yang merangkumi sejumlah inisiatif untuk memperkukuhkan lagi pelbagai aspek amalan pekerjanya seperti proses pengambilan pekerja, program latihan hak asasi manusia, keadaan kerja dan kehidupan serta mekanisme aduan antara lain.

Walaupun bahagian eksport FGV ke AS hanya lima peratus, yang penting bukan kos ekonomi dan kewangan, tetapi juga kesan reputasinya di luar negara dengan kesan seterusnya terhadap FELDA sendiri dan secara amnya, pekebun kecil FELDA.
Oleh itu, pertama sekali, tuduhan harus diaudit dan disahkan dengan teliti berdasarkan bukti oleh pihak ketiga – yang dilantik CBP (dengan persetujuan NGO yang berpusat di AS, sebagai kepastian, jika perlu) dan FGV.
Kini, ia sangat sukar untuk mengesahkan dakwaan CBP bersama NGO yang berpusat di AS adalah mutakhir dan konklusif.
Jika CBP menolak permintaan FGV untuk menyerahkan laporan dibuat NGO berpusat di AS, maka pengenaan WRO boleh dianggap tidak adil dan berat sebelah. Asas bukti keputusan mengeluarkan WRO tidak dapat ditentukan secara objektif.
Apa lagi dapat dilakukan FGV untuk meredakan kebimbangan yang ditimbulkan NGO berpusat di AS dan 'menyelamatkan' reputasinya? Ini membawa kita kepada ulasan kedua.
FGV harus melabur bersama dalam pembuatan dokumentari yang dapat disahkan secara bebas oleh pihak NGO mengenai keadaan pekerja asing di ladangnya.
Pegawai CBP dan NGO yang berpusat di AS juga harus diundang untuk melihat sendiri kemajuan dan penambahbaikan dilakukan untuk mengatasi kekurangan dalam pemerolehan tenaga kerja dan juga penjagaan pekerja asing di ladang milik FGV.
Akhir sekali, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri harus mendampingi rakan sejawat masing-masing di AS.
Usaha juga harus digerakkan kedua-dua kementerian itu untuk menyelesaikan masalah yang melanda ini mengguna pakai saluran kerajaan-ke-kerajaan (G2G).
Penulis adalah Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi di EMIR Research

 

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2020/10/740344/fgv-perlu-segera-perbetul-tuduhan-negatif-industri-sawit
Sumber : Berita Harian Online