BERITA GETAH 2022

PETALING JAYA: Nilai eksport getah dan produk getah Malaysia susut 52.8 peratus kepada RM10.298 bilion bagi suku pertama 2022 daripada RM21.839 bilion dalam tempoh sama pada 2021, sebahagian besarnya berikutan penurunan eksport barangan lateks iaitu sarung tangan dan peralihan negara ke fasa endemik.

Majlis Getah Malaysia (MRC) berkata, barangan lateks menyumbang 83.1 peratus daripada jumlah eksport produk getah, dengan subsektor sarung tangan kekal sebagai penjana pendapatan eksport terbesar untuk industri getah.

Subsektor sarung tangan bagaimanapun menunjukkan penurunan sebanyak 66.2 peratus bersamaan RM6.04 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2022, daripada RM17.86 bilion dalam tempoh sama pada 2021.

“Sarung tangan pembedahan kekal sebagai pendapatan tertinggi dengan pendapatan eksport hampir RM561.7 juta, meningkat hampir 13.3 peratus daripada tahun sebelumnya manakala benang lateks naik 21.8 peratus kepada RM240 juta berbanding RM197.1 juta pada tahun lepas.

“Kateter mencatatkan peningkatan sebanyak 66.5 peratus kepada RM113 juta dan produk buih menunjukkan kenaikan yang ketara sebanyak 204.2 peratus kepada RM106.1 juta,” menurut kenyataan itu.

Terbesar
Bagi prestasi eksport produk getah kering pada suku pertama 2022, tayar yang merupakan eksport terbesar dalam sektor produk getah kering mencatatkan peningkatan sebanyak 4.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2021, naik daripada RM429.9 juta kepada RM449.1 juta.

Aspek ketara lain termasuk barangan getah perindustrian, yang terdiri daripada produk untuk sektor automotif, perlombongan dan pembinaan, mencatatkan RM377.2 juta (23.2 peratus), diikuti barangan getah am sebanyak RM375 juta (9.7 peratus) dan kasut sebanyak RM150.1 juta (4.1 peratus).

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pengimport utama negara untuk tayar, meningkat sebanyak 17.6 peratus berjumlah RM 193.6 juta, berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad berkata, pengeluar sarung tangan perlu menukar tumpuan mereka kepada pemain industri bukan perubatan sebagai pelanggan berpotensi dan utama mereka untuk menjadikan industri itu lebih menguntungkan dan terus berkembang maju daripada memberi tumpuan kepada sektor penjagaan kesihatan.

“Pemain industri perlu mengkaji cara dan kaedah dengan kreatif untuk menjadikan industri sarung tangan menguntungkan dan berkembang semula.

“Ini kerana, sarung tangan gred bukan perubatan pakai buang terdapat dalam pelbagai saiz, warna, ketebalan dan tekstur. Penggunaan sarung tangan sedemikian wujud dalam perniagaan dari pusat tatu hingga ke makmal dan malah, pusat jagaan kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN

https://www.utusan.com.my/ekonomi/2022/05/eksport-getah-dan-produk-getah-malaysia-susut-52-8/

SUMBER: UTUSAN



PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia turun 2.7 peratus kepada 28,030 tan metrik pada Mac lalu daripada 28,817 tan metrik bulan sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jelasnya, pengeluaran getah asli pada suku pertama 2022 menunjukkan penurunan sebanyak 7.3 peratus kepada 106,923 tan metrik daripada 115,310 tan metrik pada suku keempat 2021.




PUTRAJAYA: Pengeluaran getah asli berkurangan 2.7 peratus kepada 28,030 tan metrik pada Mac 2022 berbanding 28,817 tan metrik pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Mac 2022 yang dikeluarkan hari ini, perbandingan tahunan turut menunjukkan penurunan 22.3 peratus berbanding 36,068 tan metrik pada Mac 2021.



KUALA LUMPUR – Tiada pembayaran Insentif Pengeluaran Getah (JPG) di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi bulan April 2022.

Lembaga Getah Malaysia berkata, ini kerana harga purata peringkat ladang bagi cuplump adalah RM2.95 sekilogram (Semenanjung), RM2.60 kg (Sabah) dan RM2.75 (Sarawak).


KUALA LUMPUR: Langkah Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) memandang industri bukan perubatan sebagai pemacu permintaan masa depan bagi sarung tangan gred bukan perubatan disifatkan sebagai tepat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata pembukaan semula sempadan Malaysia sejak April 1 lalu juga akan merangsang pemulihan ekonomi dengan kesan limpahan ke atas sektor seperti pelancongan, pembuatan dan makanan dan minuman (F&B).

Memetik kenyataan Presiden MARGMA, Dr Supramaniam Shanmugam, katanya pembuat sarung tangan sedar terdapat industri yang sangat memerlukan bahan itu, tetapi langkah ke arah ini tidak diutamakan masa kini.

"Pengeluar sarung tangan patut menukar fokus mereka bukan hanya bekerjasama dengan industri berkenaan, tetapi juga menjadikan mereka pelanggan memandangkan COVID-19 mencetuskan kesedaran tentang kepentingan kebersihan untuk mencegah pencemaran atau membendung penularan penyakit

Sarung tangan pakai buang bergred bukan perubatan terdapat dalam pelbagai saiz, warna, ketebalan dan tekstur. Ia juga wujud dalam pelbagai perniagaan seperti dalam bisnes tatu, makmal dan pusat jagaan kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, permintaan dalam industri F&B sangat terhad, namun dalam tempoh lapan hingga 10 tahun ini, ia menyaksikan peningkatan pada tahap kesedaran dalam kalangan pemain industri dan pengguna berkisar kepada tahap kebersihan.

Sarung tangan juga digunakan dalam industri elektronik semikonduktor untuk melindungi komponen elektrik atau elektronik daripada pencemaran," katanya.

Zuraida berkata, semua harus menerima hakikat bahawa tidak lagi mungkin untuk setiap stok sarung tangan yang disentuh untuk bertukar menjadi emas seperti berlaku pada kemuncak pandemik COVID-19 pada 2020.

"Senario semasa kemuncak pandemik mendorong pertumbuhan industri ini dengan pemain baharu, tetapi ini tidak mungkin berulang terutamanya apabila dunia beransur beralih ke fasa endemik.

"Walaupun begitu, kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan peluang yang ada berlalu begitu sahaja. Kita perlu menjadi kreatif untuk meneroka cara dan kaedah baharu untuk menjadikan industri ini berkembang semula dan mencatatkan keuntungan walaupun bukan pada kadar apabila permintaan melonjak naik dan harga jualan purata mencapai paras rekod tertinggi," katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman melawat 10 negara termasuk Mesir, Qatar, Pakistan dan Turki untuk mempromosikan komoditi negara dan membuka pasaran baharu.

"Semasa lawatan ini, beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani dan saya juga mengambil kesempatan menepis beberapa dakwaan terhadap komoditi negara dan memberi fakta yang betul.

"Kementerian juga akan melakukan segala yang mampu untuk membantu pengeluar tempatan mendapatkan pasaran baharu dan melebarkan sayap mereka kepada sektor bukan perubatan, termasuklah bekerjasama rapat dengan pemain industri tempatan," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/951975/teroka-pasaran-sarung-tangan-getah-dalam-industri-bukan-perubatan
SUMBER: BERITA HARIAN