NILAI: Industri getah negara berpotensi untuk terus berkembang tahun ini selepas merekodkan nilai eksport meningkat untuk mencecah RM71 bilion tahun lalu.


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata potensi industri getah positif tahun ini turut disokong permintaan yang semakin meningkat daripada pasaran utama, sejajar dengan peralihan Malaysia ke fasa endemik mulai 1 April lalu.

"Pelbagai program telah dilaksanakan oleh Kementerian menerusi Lembaga Getah Malaysia (MRC) bagi membantu peserta industri getah, antaranya penyediaan pakej insentif yang bertujuan untuk menyokong pengeluar produk getah dan mengukuhkan syarikat bagi memastikan kehadiran mereka di peringkat antarabangsa.

"Pakej Rangsangan COVID-19 turut diperkenalkan pada 2020 bagi menyokong dan memudahkan industri produk getah meneruskan aktiviti promosi pasaran di bawah senario norma baharu.

"KPPK juga berusaha untuk menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram bagi membantu pekebun kecil," katanya ketika mengadakan lawatan ke Meditech Gloves Sdn Bhd di sini, hari ini.

Zuraida berkata, KPPK dengan kerjasama MRC turut memperkenalkan Industry Linkage Fund (ILF) untuk menggalakkan kerjasama antara industri dan universiti/institusi penyelidikan dalam projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang akan menyumbang kepada pembangunan industri getah di Malaysia.

"Kementerian yakin bahawa industri getah menjadi antara penyumbang pemulihan ekonomi negara dan komited dalam usaha meningkatkan nilai tambah getah pasca COVID-19," katanya.

Malaysia adalah antara pengeksport getah dan produk getah utama dunia dan peningkatan nilai eksport getah negara menjangkau RM71 bilion pada tahun 2021, melonjak 46.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/04/945837/permintaan-tinggi-lonjak-industri-getah-negara
Sumber: Berita Harian