PETALING JAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia turun 2.7 peratus kepada 28,030 tan metrik pada Mac lalu daripada 28,817 tan metrik bulan sebelumnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jelasnya, pengeluaran getah asli pada suku pertama 2022 menunjukkan penurunan sebanyak 7.3 peratus kepada 106,923 tan metrik daripada 115,310 tan metrik pada suku keempat 2021.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku pertama 2022 turut mencatatkan penyusutan 18.8 peratus berbanding suku pertama 2021 (131,643 tan metrik).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli negara pada Mac disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil sebanyak 88.3 peratus, manakala baginya sektor estet sebanyak 11.7 peratus.

Kata beliau, jumlah stok getah asli pada Mac turun sebanyak 4.4 peratus kepada 310,332 tan metrik daripada 324,659 tan metrik pada Februari 2022.

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 93.2 peratus diikuti kilang pengguna getah (6.7 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, eskport getah Malaysia pada Mac meningkat sebanyak 12.5 peratus berjumlah 53,328 tan metrik daripada 47,386 tan metrik bulan sebelumnya.

China katanya, kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu berjumlah 50.6 peratus diikuti Finland (5.9 peratus), Iran (4.1 peratus), Jerman (3.4 peratus) dan Turki (3.2 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.1 billion pada Mac 2022, meningkat 9.1 peratus berbanding Februari 2022 (RM2.0 billion),” jelas beliau.

Menurut Mohd. Uzir, pengeluaran getah asli dunia pada tahun ini dijangka tumbuh pada kadar perlahan itiu 1.9 peratus manakala penggunaan pula pada kadar 1.2 peratus ekoran perang Russia-Ukraine yang masih berterusan, serta kekurangan tenaga kerja seperti dinyatakan oleh Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) dalam laporan bulanan terbitan 22 April 2022.

Beliau berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu sebanyak 3.9 peratus (Mac 2022: 683.57 sen sekilogram, Februari 2022: 658.14 sen sekilogram), manakala jenis Sekerap turun 2.5 peratus (Mac 2022: 591.02 sen sekilogram, Februari 2022: 606.41 sen sekilogram).

“Pergerakan harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) mengalami peningkatan antara 3.8 peratus hingga 3.9 peratus dan menurun antara 2.2 hingga 2.3 peratus.

“Harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/ Malaysia) masing-masing menurun 2.5 peratus (daripada AS$1.79/kg kepada AS$1.75/kg) dan meningkat 0.5 peratus (daripada AS$2.11/kg kepada AS$2.12/kg) seperti yang dilaporkan oleh World Bank Commodity Price Data,” katanya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/ekonomi/2022/05/pengeluaran-getah-asli-turun-2-7-peratus/
Sumber: Utusan