PUTRAJAYA: Pengeluaran getah asli berkurangan 2.7 peratus kepada 28,030 tan metrik pada Mac 2022 berbanding 28,817 tan metrik pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Mac 2022 yang dikeluarkan hari ini, perbandingan tahunan turut menunjukkan penurunan 22.3 peratus berbanding 36,068 tan metrik pada Mac 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Mac 2022 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 88.3 peratus berbanding sektor estet sebanyak 11.7 peratus.

Jumlah stok getah asli pada Mac 2022 susut sebanyak 4.4 peratus kepada 310,332 tan metrik berbanding 324,659 tan metrik pada Februari 2022.

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 93.2 peratus diikuti oleh kilang pengguna getah (6.7 peratus) dan estet getah (0.1 peratus)," katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Mohd Uzir berkata, eksport getah asli Malaysia meningkat sebanyak 12.5 peratus kepada 53,328 tan metrik pada Mac 2022 berbanding 47,386 tan metrik pada Februari 2022.

"China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli sebanyak 50.6 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mac 2022 diikuti oleh Finland (5.9 peratus), Iran (4.1 peratus), Jerman (3.4 peratus) dan Turki (3.2 peratus)," katanya.

Prestasi eksport pula disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Menurut Mohd Uzir, produk sarung tangan getah adalah eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.1 bilion pada Mac 2022, meningkat 9.1 peratus berbanding RM2 bilion pada Februari 2022.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengeluaran getah asli dunia 2022 dijangka tumbuh pada kadar perlahan iaitu 1.9 peratus manakala penggunaannya pada 1.2 peratus berikutan perang Russia-Ukraine yang berterusan serta faktor kekurangan tenaga kerja seperti dinyatakan oleh Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) dalam laporan bulanan yang diterbitkan pada 22 April lepas.

"Secara keseluruhannya, prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku pertama 2022 mencatat penyusutan 18.8 peratus berbanding 131,643 tan metrik bagi tempoh sama pada 2021," katanya.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/05/954169/pengeluaran-getah-asli-negara-merosot
Sumber: Berita Harian