KUALA LUMPUR: Peneroka getah dan pekerja ladang FELDA bakal menerima bantuan dan sumbangan khas sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

FELDA dalam kenyataan hari ini, memaklumkan sejumlah RM1.6 juta diperuntukkan untuk menyalurkan bantuan bersasar itu bagi meringankan beban peneroka yang terjejas dengan hasil tanaman getah, selain menghargai sumbangan pekerja ladang FELDA.

Katanya, bantuan bersasar berupa sumbangan duit raya RM200 bagi peneroka getah yang menghantar hasil kepada FELDA dan memperoleh pendapatan hasil kurang RM2,000 pada bulan Mac lalu.

"Sumbangan duit raya dan barangan asas berjumlah sehingga RM200 pula akan diterima oleh pekerja ladang FELDA di seluruh negara.

"Bayaran bagi sumbangan duit raya ini akan mula dibuat pada 28 April (esok)," katanya.

Dalam pada itu, FELDA turut mengumumkan penangguhan potongan bayaran kembali peneroka getah bagi pendapatan bulan Mac 2022.

"Peneroka getah yang layak menerima penangguhan ini adalah mereka yang memperoleh pendapatan hasil bulan Mac kurang RM2,000.

"Bantuan bersasar ini adalah manifestasi keprihatinan FELDA terhadap peneroka getah yang menerima pendapatan kurang RM2,000," katanya.

Kata kenyataan itu, FELDA turut berharap bantuan berkenaan akan dapat meringankan beban warga peneroka yang terjejas dan membolehkan mereka menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/950178/bantuan-bersasar-peneroka-getah-pekerja-ladang-felda-sempena
Sumber: Berita Harian