SHAH ALAM - Pusat latihan Akademi Hevea Malaysia Langkawi (AHML) di Langkawi, Kedah merupakan bangunan menara pertama di Malaysia yang menggunakan galas getah seismik rekaan khas Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam kenyataan memaklumkan, penggunaan galas getah seismik itu mampu memberi perlindungan maksimum daripada kerosakan akibat gegaran gempa bumi.


Menurut kenyataan itu, AHML yang dirasmikan oleh Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin pada Selasa, dibangunkan sebagai pusat sumber pengetahuan berkaitan pembangunan getah huluan dan hiliran bagi penggiat industri getah, penjawat awam dan penyelidik.
Dalam pada itu menurutnya, pembinaan tersebut merupakan antara usaha LGM dalam melaksanakan pelbagai kursus berkaitan aktiviti huluan, pemprosesan dan hiliran bagi kemajuan getah negara.
KPPK katanya yakin potensi getah huluan dan hiliran dapat dipertingkatkan seterusnya menyumbang kepada fasa pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.
Sebagai rekod, galas getah seismik menggunakan konsep pemencilan tapak yang mana galas getah akan mengasingkan frekuensi gempa bumi, sekali gus mengelakkan tenaga gempa bumi memasuki struktur.
Ciri rendaman dalam galas getah seismik berfungsi untuk mengawal respons struktur.
Aplikasi dan penggunaan galas getah seismik turut digunakan pada bangunan Anjung Getah Lahad Datu, Sabah dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Pulau Pinang.

https://www.sinarharian.com.my/article/197557/BERITA/Nasional/AHML-bangunan-menara-pertama-guna-galas-getah-seismik
Sumber: Sinar Harian