KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang untuk mengambil lebih ramai tenaga buruh asing dari negara luar selain Indonesia, bagi mengatasi isu kekurangan pekerja dalam sektor perladangan dan komoditi.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, berkata ini kerana permintaan terhadap pekerja asing dari Indonesia adalah tinggi, terutama oleh peladang dan pengusaha berkaitan.

Sebagai contoh bagi industri kelapa sawit di negara ini, beliau berkata, ramai pekerja asing terbabit adalah dari Indonesia.

"Selama ini, pengusaha kita suka menerima pekerja asing dari Indonesia sebab mereka ada pengalaman. Ini kerana Indonesia sendiri adalah negara pengeluar utama sawit dan mempunyai ramai pekerja.

"Setakat ini, mereka (pengusaha ladang) tidak begitu berminat dengan (pekerja asing) negara lain. Pekerja asing yang dibawa ke dalam bidang ini mestilah ada minat dan pengetahuan," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan), beliau berkata, kemasukan pekerja asing adalah bergantung pada negara sumber, dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin, sudah mengadakan lawatan ke Indonesia bagi membincangkan isu itu.

"Setakat ini, Kerajaan Indonesia masih dalam pertimbangan walaupun mereka bersetuju (menghantar warga negara itu untuk bekerja di Malaysia). Keutamaan Indonesia adalah memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) berhubung perkhidmatan domestik Indonesia terlebih dulu.

"Kita bukan saja bergantung pada pekerja asing tetapi juga negara sumber yang memberi persetujuan untuk menghantar pekerjanya. Kerajaan amat berharap kemasukan pekerja asing dapat dipercepatkan untuk mengatasi masalah itu," katanya.

Menyentuh isu pengeluaran baja tempatan pula, Jeck Seng bersetuju bahawa usaha perlu digandakan supaya pengeluaran baja domestik dapat dipertingkatkan, sekali gus mengelak kebergantungan pada negara luar.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/896318/pekerja-indonesia-tampung-keperluan-sektor-perladangan
Sumber: Berita Harian