KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service (Moody's) menyemak naik julat sensitiviti harga minyak sawit mentah (MSM) bagi sepanjang tahun hadapan kepada RM2,800 hingga RM3,200 satu tan daripada RM2,200 hingga RM2,600 satu tan.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanannya Maisam Hasnain berkata semakan itu dibuat berdasarkan faktor gangguan bekalan, paras inventori yang rendah serta harga minyak saingan yang kukuh.

Menurutnya, biarpun harga MSM tidak akan susut secara ketara dalam masa terdekat, harga komoditi itu juga dijangkakan tidak dapat bertahan dalam jangka panjang.

"Harga MSM meneruskan aliran yang bermula pada pertengahan tahun lepas. Malah, kekangan bekalan termasuk kekurangan tenaga kerja di negara pengeluar utama seperti Malaysia (A3, stabil), akan menyaksikan harga MSM kekal meningkat sepanjang 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasnain berkata biarpun Malaysia berhasrat membenarkan kemasukan semula 32,000 pekerja asing bagi sektor perladangan, usaha-usaha untuk menampung kerja terbabit akan memakan masa dan kekangan bekalan itu dijangka terus wujud bagi tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Menurutnya, masalah kekurangan pekerja bagi kerja-kerja menyelenggara serta penuaian, turut menjejaskan pengeluaran serta hasil tandan buah segar (TBS).

Malah, katanya, paras purata inventori akhir bulan di Malaysia setakat tahun ini juga lebih rendah berbanding 2020.

Paras inventori akhir bulan di Indonesia (Baa2 stabil), juga telah berkurangan setakat Ogos 2021 kepada 3.4 juta tan metrik berbanding 4.4 tan metrik pada Ogos 2020 apabila penggunaan dan eksport domestiknya adalah melebihi pengeluaran.

Selain itu, Hasnain berkata harga minyak saingan yang kukuh seperti minyak sayuran selain perkembangan membabitkan minyak mentah, turut memberi sokongan terhadap harga-harga MSM.

"Minyak kacang dan MSM adalah minyak gantian manakala harganya juga amat berkaitan. Harga MSM serta minyak mentah juga berkaitan secara positif memandangkan MSM adalah bahan mentah bagi biodiesel," katanya.

Moody's menggunakan julat harga MSM dalam unjuran kewangan terhadap syarikat-syarikat yang diberi penilaian dalam usaha menilai prestasi unjuran syarikat terbabit bagi tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang.

Semakan naik pertengahan RM3,000 bagi julat harga MSM itu adalah 25 peratus lebih tinggi berbanding RM2,400 sebelum ini, kata Hasnain.

– Bernama

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/11/882916/moodys-investors-naikkan-unjuran-harga-sawit-sehingga-rm3200
Sumber: Berita Harian