Foto AGENSI


KUALA LUMPUR: Duta Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi berkata diplomasi budaya memainkan peranan penting untuk memupuk persefahaman dan memartabatkan hubungan dua hala Iran-Malaysia.
Mohammadi berkata banyak yang boleh ditawarkan oleh kedua-dua negara, contohnya Putrajaya dan Isfahan masing-masing mempunyai keunikan tersendiri yang boleh dipromosikan kepada rakyat kedua-dua negara.


Jambatan Putra, satu daripada jambatan terkenal di Putrajaya yang menghubungkan Dataran Putra dengan Persiaran Perdana, yang reka bentuknya bercirikan seni bina Islam diilhamkan daripada Jambatan Khaju yang popular di Isfahan.
"Tradisi dan perayaan di negara ini, saya fikir ini adalah sesuatu aspek yang perlu kita pelajari antara satu sama lain. Kita (Iran) juga ada pelukis berbakat yang datang ke Malaysia, mereka mempunyai lukisan dan kaligrafi yang sangat bagus," katanya kepada Bernama ketika kunjungan hormatnya kepada Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Wisma Bernama di sini, baru-baru ini .
Dari segi politik, Mohammadi berkata Iran dan Malaysia bergerak ke arah yang sama dan kedua-dua negara dijangka bekerjasama lebih rapat menerusi pelbagai platform antarabangsa seperti Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Mengenai hubungan ekonomi, beliau berkata Iran adalah satu daripada pengimport terbesar minyak sawit Malaysia dalam kalangan negara di Timur Tengah dan bersedia untuk terus meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia.
Tahun lalu, eksport minyak sawit Malaysia ke Iran dianggarkan sebanyak 320,000 tan dan sehingga Mei tahun ini, sejumlah 238,683 tan minyak sawit bernilai lebih RM970 juta telah dieksport ke negara itu.
Duta itu berkata Iran turut berharap dapat menggalakkan kerjasama antara Bernama dan organisasi media Iran untuk mengukuhkan lagi hubungan rakyat dengan rakyat.
"Mereka (organisasi media Iran) sudah bersedia dan malah menerima apa jua cadangan atau program bersama yang memberi manfaat bersama walaupun menerusi dalam talian," katanya.
Mohammadi berkata media boleh memainkan peranan dalam mengubah tanggapan salah mengenai negara Islam seperti ketidaksamaan jantina dalam pendidikan, kerana pelajar perempuan mewakili 60 hingga 65 peratus daripada jumlah kemasukan di institusi pengajian tinggi di Iran.
"Saya gembira dan rasa syukur kerana meskipun ada sedikit sebanyak salah faham, kita menuju ke arah yang betul. Dan memang kita belajar daripada Malaysia dan begitu juga sebaliknya.
"Ini menjadi satu bidang yang kita perlu usahakan iaitu bagaimana negara Islam dan pertubuhan hal ehwal wanita dapat bekerjasama kerana kita seakan menjadi mangsa terhadap nilai Barat dan kita mengabaikannya (isu ini)," katanya. – BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/11/884537/iran-malaysia-perlu-bekerjasama-dalam-diplomasi-budaya-%E2%80%93-duta
Sumber: Berita Harian