KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk kerja-kerja penuaian di ladang kelapa sawit, kata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC).

Setiausaha Bahagian Penggalakan Inovasi dan Modal Insan Industri (PIMI) KPPK, Syahnaz Akhtar Mat Ali berkata, usaha kementerian untuk menarik pekerja tempatan bagi kerja-kerja menuai terhalang oleh skop pekerjaan yang disifatkan tidak menarik bagi penduduk tempatan.

Persepsi negatif telah menjejaskan industri, menyebabkan industri terpaksa mencari lebih banyak tenaga kerja asing.

"Selepas meminta kerajaan memberikan kelulusan khas, kami berjaya mendapatkan 32,000 (pekerja asing) sejak beberapa minggu lalu, tetapi saya rasa ini masih tidak mencukupi untuk pemain industri," tambahnya.

Syahnaz Akhtar berkata demikian semasa sesi soal jawab pada pelancaran ‘Projek Pemerdagangan Orang (TIP) Berkaitan dengan Industri Pembuatan/Minyak Sawit’ Nottingham University yang diadakan secara maya pada Rabu.

Mengenai buruh asing di Sabah dan Sarawak, beliau berkata kedua-dua negeri itu mempunyai ordinan buruh yang berbeza.

“Disebabkan peraturan yang berbeza, tiada banyak yang boleh kami lakukan kerana ia berlaku di Sabah dan Sarawak,” kata Syahnaz Akhtar.

Sementara itu, Nottingham University telah memulakan projek penyelidikan selama lima bulan yang bermula pada 30 Ogos 2021 dan akan berakhir 31 Januari 2022, dengan mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Tinggi British.

Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan juruaudit dalaman dan pihak ketiga dalam mengesan dan melaporkan insiden buruh paksa di industri perkilangan dan kelapa sawit di Malaysia.

Ia juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada majikan tentang proses pengambilan pekerja asing dan pematuhan kepada piawaian buruh bagi mengelak daripada terlibat dalam pemerdagangan manusia.

Melalui projek itu, juruaudit dalaman dan pihak ketiga akan dilatih tentang apakah itu buruh paksa daripada perspektif undang-undang buruh Malaysia, Akta Antipemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 dan standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa. - Bernama

https://www.sinarharian.com.my/article/171596/BERITA/Nasional/Industri-sawit-Malaysia-terjejas-tenaga-kerja-tidak-mencukupi?ref=rss&format=simple&link=link
Sumber: Sinar Harian