Abdullah Abu Bakar

KUANTAN: Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang mengehadkan hanya 15 tan buah tandan sawit bersih (BTB) boleh dihantar oleh seorang peneroka ke kilang-kilang Felda disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Belum pun selesai bebanan warga peneroka ekoran kekurangan tenaga buruh asing penuai sawit hingga mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM3,000 seorang sebulan, kini mereka semakin terbeban ekoran peraturan tersebut.

Bagaimanapun difahamkan, tidak semua kilang sawit Felda melaksanakan peraturan itu yang disifatkan seperti mahu menyekat pendapatan peneroka.

Timbul persoalan, adakah disebabkan harga BTB ketika ini sekitar RM1,140 satu tan mengikut kadar perahan menyebabkan MPOB melaksanakan peraturan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM) Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, peraturan MPOB itu seolah-olah tidak menggalakan peneroka Felda mendapat pulangan tinggi terutama harga BTB yang meningkat ketika ini.

Menurutnya, peraturan itu juga merugikan pendapatan kilang-kilang sawit Felda kerana peneroka akan menjual hasil sawit mereka ke kilang milik swasta.

“Menjual hasil sawit ke kilang swasta risiko buat peneroka kerana urusan timbang yang meragukan sekali gus boleh menjejaskan pendapatan mereka.

“Selain itu, ia (peraturan) tersebut juga mewujudkan suasana yang mengelirukan warga peneroka Felda kerana terdapat kilang sawit Felda tidak mengikut amalan ini,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, peraturan sedemikian tidak adil kepada peneroka yang setiap bulan konsisten hasil sawit mereka melebihi 15 tan.

“Kita tidak faham kenapa MPOB melaksanakan peraturan tersebut. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Saya terima jika peraturan ini untuk membendung kecurian sawit dalam kalangan peneroka dan mengawal manipulasi pengeluaran hasil, tetapi Felda perlu memikirkan pendekatan terbaik bagi membendungnya, bukan dengan cara mengehadkan penghantaran hasil peneroka ke ladang Felda,” katanya.

Beliau memohon pihak Felda membincangkan perkara itu dengan MPOB dan membatalkan peraturan yang dianggap mengelirukan peneroka.

Sementara itu, peneroka Felda Lembah Klau, Raub, Alias Ismail berkata, dia hairan kenapa arahan tersebut dikeluarkan pada ketika ini sewaktu harga sawit melonjak melebihi RM1,000 satu tan.

“Saya harap pihak Felda dan juga MPOB mengkaji semula arahan ini, ia tidak masuk akal seolah-olah mahu menyekat peneroka memperoleh hasil lumayan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2021/11/had-15-tan-sawit-tidak-masuk-akal/
Sumber: Utusan Malaysia