JANUARI 2020 SEHINGGA DISEMBER 2020

1. HARGA MINYAK SAWIT TERTINGGI SEJAK MEI 2012

Harga minyak sawit pada 6 November 2020 telah mencatatkan pencapaian tertinggi sejak Mei 2012 pada kadar RM3,429.50 satu tan. Aliran positif ini didorong permintaan tinggi daripada pembeli termasuk India dan China. Kenaikan harga harga MSM bukan sahaja menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, malah memberi manfaat kepada pekebun dan pemain industri sawit Malaysia yang berdepan dengan kemelut kewangan kesan daripada pandermik Covid-19.

Capture9

2. PEMBINAAN SURAU BULUH MENJADI SEBAGAI RUJUKAN PEMBINAAN STRUKTUR BERASASKAN BULUH DAN SEBAGAI TARIKAN PELANCONGAN DI TERENGGANU

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sedang dalam pembinaan sebuah surau berasaskan buluh di Dataran Tembesu di Kuala Nerus. Pembinaan surau tersebut melibatkan kos RM400,000 merangkumi kos pembangunan dan penyelidikan dan mengambil masa 9 bulan untuk disiapkan. Surau tersebut berkeluasan 3,000 kaki persegi akan dijadikan contoh penyelidikan dalam bidang buluh dan proses pembinaannya akan direkodkan untuk dijadikan bahan kajian. Surau buluh ini akan turut menjadi ikon pelancongan terbaru di Terengganu

Projek tersebut dilaksanakan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Pejabat Darerah dan Tanah Kuala Nerus serta Bamboo Jungle Adventures Sdn Bhd (BJA). Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Perjanjian (MoA) di antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Bamboo Jungle Adventure Sdn Bhd (BJA) dan Golden Pharos Berhad di Hotel Paya Bunga di Kuala Terengganu yang disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi, YB Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. MoA tersebut membabitkan pembangunan manual aplikasi buluh dalam industry pembinaan yang akan menjadi rujukan kepada sesiapa sahaja yang ingin mendirikan bangunan menggunakan buluh.

3. PENSIJILAN MINYAK SAWIT MAMPAN MALAYSIA (MSPO) PEKEBUN KECIL SAWIT

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) giat melaksanakan pensijilan MSPO bagi memastikan pengeluaran minyak sawit mampan Malaysia. Pensijilan MSPO telah dilaksanakan secara mandatori meliputi sektor ladang, kilang kelapa sawit dan pekebun kecil. Sehingga 2020, pelaksanaan Pensijilan MSPO bagi pekebun kecil tersusun telah berjaya mencapai sasaran penuh 100 peratus. Pensijilan MSPO pekebun kecil yang dilaksanakan MPOB bersama agensi kerajaan persekutuan dan negeri melibatkan keluasan tanaman sawit 724,633.32 hektar. Bagi pensijilan sektor ladang dan kilang kelapa sawit juga hampir mencapai sasaran sepenuhnya. Seluas 5.20 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan tanaman sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO. Manakala, 434 kilang kelapa sawit atau 96.02 peratus daripada 452 buah kilang kelapa sawit telah memperoleh sijil MSPO. Bagi pekebun kecil persendirian, seluas 311,739.51 hektar atau 31.61 peratus kawasan tanaman sawit telah dipersijilkan MSPO. MPOB mengambil inisiatif menubuhkan Kelompok Pensijilan Minyak Sawit Mampan (SPOC) bagi melaksanakan pensijilan MSPO pekebun kecil persendirian yang mengusahakan kebun sawit. Sebanyak 162 SPOC yang telah ditubuhkan di seluruh negara telah memperolehi pensijilan MSPO.

4. CUPLUMP MODIFIED BITUMEN (CMB) (JALAN RAYA GETAH)

Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah memenangi Anugerah Keseluruhan sempena Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersilan Malaysia (MCY) 2020 anjuran MOSTI, menerusi inovasi Cuplump Modified Bitumen (CMB). CMB ialah produk inovasi campuran getah sekerap dan bitumen bagi kegunaan turapan jalan dan telah diusahakan oleh penyelidik LGM sejak tahun 2014.
Pembangunan produk inovasi ini juga bertujuan untuk menstabilkan harga getah dan mengatasi lebihan bekalan serta mengurangkan impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan hampir 450,000 orang pekebun kecil getah di Malaysia.
LGM juga telah bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menurap semula Jalan Parlimen sepanjang 1.5 km dengan menggunakan CMB, dan ini adalah satu lokasi sesuai bagi memperlihatkan keberkesanan teknologi ini.

 5. Aplikasi RRIMniaga


Lembaga Getah Malaysia telah memperkenalkan aplikasi telefon pintar ‘RRIMniaga’ pada tahun 2020 untuk memperkasakan program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan sejak tahun 2015. RRIMniaga diperkenalkan untuk mempercepatkan proses pembayaran insentif kepada pekebun kecil yang layak, dan penggunaanya telah diwajibkan mulai 1 Januari 2021. Aplikasi ini telah dilancarkan oleh YB Menteri KPPK pada 27 Jun 2020, di Kg Ibok, Terengganu.

6. PELANCARAN PENGGUNAAN BIODIESEL B20 UNTUK SEKTOR PENGANGKUTAN

Seiring perkembangan global, Malaysia melaksanakan penggunaan adunan biodiesel bersama diesel petroleum sebagai bahanapi mesra alam untuk sektor pengangkutan sejak 2011. Bermula dengan adunan lima peratus biodiesel sawit B5, penggunaan biodiesel sawit dipertingkatkan kepada B7, B10 dan seterusnya B20. Pelancaran penggunaan B20 untuk sektor pengangkutan telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 20 Februari 2020 di Kuala Lumpur.

Pelaksanaan Program Biodiesel B20 adalah antara usaha untuk meningkatkan permintaan sawit secara domestik. Menerusi pelaksanaan adunan biodiesel B20, penggunaan minyak sawit dianggarkan meningkat sebanyak 534,000 tan kepada 1.3 juta tan setahun. Peningkatan penggunaan minyak sawit menerusi pelaksanaan program biodiesel menyediakan sokongan mampan ke atas permintaan minyak sawit, seterusnya memastikan harga komoditi sawit terus kukuh.

7. PELANCARAN HAB COKLAT LANGKAWI

YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan dan Pelancaran Hab Cokat Langkawi di Kuah, Langkawi Kedah, pada 16 Ogos 2020.

Selari dengan pertumbuhan industri hiliran koko di Malaysia, kerjasama strategik dari kementerian, jabatan dan pihak swasta yang berkaitan adalah amat penting dalam mewujudkan pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor nilai tambah pembuatan produk-produk akhir koko terutamanya coklat. Sehubungan dengan itu, inisiatif Kementerian untuk membangunkan Hab Coklat di Langkawi dilihat sebagai pemangkin kepada pertumbuhan semula industri koko dan mempromosikan produk coklat keluaran tempatan serta diyakini dapat memulihkan industri ini seterusnya membawa Malaysia ke era kegemilangan koko yang pernah dicapai pada dua dekad yang lalu.

Antara impak membangunkan Hab Usahawan Coklat seperti yang dicadangkan tersebut adalah berupaya menjana pendapatan dan peningkatan hasil jualan usahawan coklat dan produk-produk koko sedia ada, peningkatan bilangan pengusaha dan pengeluar produk-produk koko tempatan, peningkatan penggunaan koko di kalangan penduduk tempatan serta peningkatan peluang pekerjaan terutamanya di sektor pembuatan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

8. PELANCARAN BANTUAN PRIHATIN KOKO 2020

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Lanjutan Teknologi Koko Pasca Tuai anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) pada 21 - 22 Ogos 2020 di Hotel Perkasa Mount Kinabalu, Ranau, Sabah yang dihadiri 100 orang pekebun kecil koko dari seluruh negeri ini. Sempena majlis YB Menteri turut menyerahkan Bantuan Prihatin Koko 2020.

YB Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin menyerahkan Bantuan Prihatin Koko 2020 berbentuk insentif input pertanian kepada 2,725 orang pekebun kecil koko di negeri itu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE) PRIHATIN 2020 sebanyak RM1.6 juta.

Pemberian bantuan input pertanian ini bertujuan untuk membantu pekebun kecil koko yang terkesan daripada penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam hal ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM2.69 juta di bawah PRE PRIHATIN 2020 bagi 3,134 hektar dalam bentuk bantuan input pertanian kepada 4,566 orang pekebun kecil koko di seluruh negara.

9. BANTUAN PRIHATIN KENAF- RM 968,680 UNTUK PENANAM KENAF TERKESAN AKIBAT COVID-19

Sejumlah RM 968,680 telah diperuntukkan oleh kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebagai Bantuan Prihatin Kenaf 2020 khusus kepada penanam - penanam kenaf di negara ini yang terkesan akibat pandemik covid -19.

Peruntukan yang disalurkan melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini diberikan dalam bentuk input pertanian pada kadar RM500 bagi setiap hektar tanaman.
Kerajaan amat prihatin terhadap rakyat termasuk penanam kenaf atas musibah pendemik covid - 19 yang melanda sekarang serta perintah kawalan pergerakan yang mengekang aktiviti ekonomi mereka.
Menurut YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, seramai 1,357 orang penanam kenaf yang melibatkan keluasan tanaman sejumlah 1,937.36 hektar telah dikenalpasti terkesan akibat pandemik ini termasuk tidak dapat meneruskan akiviti penanaman walaupun penyediaan ladang telah dibuat. Ini menyebabkan penanam - penanam berkenaan menanggung kerugian hasil serta input pertanian serta perkhidmatan ladang yang telah disediakan.

Majlis penyampaian replika cek sumbangan bagi penanam - penanam kenaf negeri-negeri yang terlibat (Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang dan lain-lain) telah disempurnakan oleh YB Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali pada tahun 2020.

10. Majlis Penyerahan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN dan Skim Tanaman Baharu Lada.

Pada tahun 2020, kerajaan telah meluluskan Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) Prihatin 2020 bagi membantu pekebun kecil lada yang terkesan disebabkan penularan wabak covid-19 dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM16.1 juta. Melalui PRE ini, pekebun kecil lada telah dibantu dengan penyaluran baucar input pertanian dan peralatan ladang bagi meringankan beban yang dihadapi oleh pekebun kecil lada.

Beberapa Majlis Penyerahan Bantuan PRE Prihatin dan Skim Bantuan Tanaman Baharu Lada telah diadakan seperti berikut :

28 September 2020 Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia, Kuching.
02 Oktober 2020 Dewan Serbaguna Teng Bukap, Padawan.
28 Oktober 2020 Rumah Chunggat, Munggu Ubah, Kabo, Saratok.

Kesemua majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan dengan jayanya oleh YB Datuk Willie Mongin, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (YBTM, KPPK). Sepanjang majlis tersebut beliau turut diiringi oleh Ketua Pengarah MPB, Encik Stanley Liew.

11. Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH)

Program Pembangunan Ladang Hutan bertujuan bagi membangunkan ladang hutan bagi memastikan pengeluaran bekalan bahan mentah yang berkualiti dan berterusan kepada industri perkayuan negara. Sehingga 31 Disember 2020, seluas 126,457.99 hektar ladang hutan telah diluluskan yang melibatkan 82 perjanjian dari 70 syarikat peminjam dari seluruh Malaysia merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Bagi tempoh Januari – Disember 2020, lima (5) syarikat baru telah diluluskan nilai pinjaman RM14,737,440.00 dengan keluasan 1,691.18 hektar. Lokasi kawasan adalah di negeri Kelantan dan Perak dengan tanaman spesies Getah (Hevea brasiliensis) dan Batai (Paraserienthes falcataria).

Dua spesies baru juga telah diluluskan iaitu Paulownia dan Eucalyptus yang menjadikan 11 spesies disenaraikan di bawah PPLH.
Pada tahun 2020 juga, seluas 1,020 hektar ladang hutan telah dibangunkan RM2,309,146.47 telah diterima dari bayaran kutipan hasil lateks syarikat peminjam.

 

12. KEMPEN SAWIT ANUGERAH TUHAN

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil inisiatif untuk melancarkan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kempen ini bertujuan untuk menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini, di samping meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat. Sebagai permulaan pra-pelancaran kempen telah diadakan pada 19 November 2020.
KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) melaksanakan kempen ini dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi negara. Selain itu, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan.
Pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform. Pelaksanaan program secara bersepadu merangkumi aktiviti fizikal dan maya akan dijalankan. Penggunaan media baru dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.
Sempena pra-pelancaran kempen, KPPK mengedarkan sebanyak 550 pelitup muka dengan logo rasmi kempen kepada semua Ahli Parlimen, kenamaan dan media sebagai simbolik kesepaduan kempen ini dengan usaha memerangi pandemik wabak COVID-19 selain menzahirkan pelaksanaan kempen dengan norma baharu. Usaha promosi ini diteruskan dari peringkat akar umbi kementerian.
KPPK turut mempromosikan kempen Sawit Anugerah Tuhan selari dengan usaha membudayakan norma baharu dalam kalangan warga Kementerian. Usaha tersebut dizahirkan melalui edaran pelitup muka dan cecair pembersih tangan bersama bahan maklumat kempen. Ini secara tidak langsung menerapkan nilai kebersamaan sebagai tanda sokongan serta simbolik bermulanya kempen.