BERITA AGRIKOMODITI 2023

KUALA LUMPUR – Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan dibayar kepada pekebun-pekebun kecil di Semenanjung, Sabah dan Sarawak mulai 1 hingga 31 Julai 2023 berdasarkan pengeluaran getah pada bulan Jun 2023.
Lembaga Getah Malaysia berkata, IPG diaktifkan sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah cuplump berada di paras RM2.70 sekilogram ke bawah.


Peningkatan paras harga pengaktifan (PHP) yang baharu merupakan inisiatif kerajaan melalui pengumuman Belanjawan 2023.


Pada Jun 2023, LGM berkata purata harga di peringkat ladang untuk getah cuplump ialah RM2.40 sekilogram untuk Semenanjung Malaysia, RM2.05 sekilogram untuk Sabah dan RM2.10 sekilogram untuk Sarawak.
IPG getah cuplump dan lateks teraktif bagi Jun 2023 di Semenanjung Malaysia ialah 30 sen sekilogram untuk 50 peratus kandungan getah kering (KGK) dan 60 sen sekilogram untuk 100 peratus KGK.


Di Sabah, kadarnya ialah 65 sen sekilogram bagi 50 peratus DRC dan RM1.30 sekilogram bagi 100 peratus KGK dan Sarawak kadarnya ialah 60 sen sekilogram bagi 50 peratus KGK dan RM1.20 sekilogram bagi 100 peratus KGK.
Manakala, kadar IPG bagi lateks ialah 90 sen sekilogram bagi 100 peratus KGK. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2023/07/02/pekebun-kecil-sabah-sarawak/
Sumber : Malaysia Gazette

ROMPIN – Pekebun kecil sawit seluruh negara mengalami kerugian RM100 juta setahun ‘diserang’ ulat bungkus yang menjejaskan pengeluaran dan produktiviti pokok sawit antara 15 hingga 20 peratus.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan kajian dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kira-kira 30,000 hektar ladang kelapa sawit milik pekebun kecil komoditi itu berdepan ancaman serangan serangga perosak terbabit.


Sehubungan itu katanya, kerajaan menerusi MPOB memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk tempoh lima tahun bagi pelaksanaan kawalan ulat bungkus secara bersepadu.


“Kerajaan melalui MPOB berusaha sedaya upaya untuk mengawal serangan serangga perosak tanaman sawit daripada terus merebak. Saya dimaklumkan MPOB sudah membangunkan kaedah kawalan ulat bungkus melalui sistem kawalan perosak bersepadu (IPM).


“Teknik IPM melibatkan pelbagai kaedah kawalan seperti semburan udara atau darat menggunakan biopestisid berasaskan Bacillus thuringiensis (Bt), pemasangan perangkap feromon semulajadi dan penanaman tanaman bermanfaat untuk meningkatkan populasi serangga bermanfaat di ladang-ladang sawit bagi mengawal pembiakan ulat bungkus.


“Melalui peruntukan disediakan kerajaan, MPOB sudah menjalankan inisiatif kawalan semburan udara menggunakan dron semenjak 2017. Bermula tahun ini, buat pertama kalinya, MPOB memperkenalkan kaedah semburan udara produk Bt untuk kawalan ulat bungkus menggunakan helikopter,”katanya hari ini.


Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Penggunaan Helikopter bagi Kawalan Bersepadu Serangga Perosak Ulat Bungkus dan Pecah Tanah Kilang Sawit Pintar di Pusat Latihan Sawit Malaysia (Plasma) MPOB di sini hari ini.


Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pemantauan dan bancian populasi ulat bungkus secara berterusan di ladang sawit adalah penting dalam memastikan populasi serangga perosak itu dapat dikawal.


Katanya, MPOB akan terus melakukan pemantauan dan kawalan ulat bungkus terutama di ladang-ladang milik pekebun kecil persendirian.


“MPOB juga bersedia memberi khidmat nasihat serta tunjuk ajar kepada pihak estet dan pekebun kecil sawit dalam menangani serangan ulat bungkus termasuk pemantauan dan langkah-langkah kawalan pembiakan,” katanya.


Menurutnya, beliau dimaklumkan usaha kerajaan melalui MPOB dalam menangani ancaman ulat bungkus berjaya mengurangkan populasi serangga itu di ladang sawit.


“Melalui bancian terkini di Johor, serangan ulat bungkus melibatkan 19,000 hektar kawasan tanaman sawit telah berkurangan kepada 4,000 hektar pada tahun ini. Di Perak, ancaman ulat bungkus juga telah berjaya dikurangkan dengan penurunan populasi ulat bungkus melebihi 95 peratus,” katanya.


Sementara itu, industri sawit negara yang berusia lebih seabad sejak mula ditanam secara komersial pada 1917 terus berdepan pelbagai cabaran yang boleh menggugat kemajuan dan pertumbuhan secara mampan.


Antaranya cabaran ialah serangan perosak tanaman sawit khususnya ulat bungkus yang merosakan pokok sawit matang diusahakan syarikat perladangan dan pekebun kecil.


“Memandangkan ancaman serius serangan ulat bungkus yang menggugat sektor perladangan sawit, ulat bungkus diwartakan sebagai makhluk perosak berbahaya. Impak serangan ulat bungkus kepada pokok sawit telah menjejaskan pengeluaran hasil sawit dan pendapatan pengusaha ladang,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

 

https://www.kosmo.com.my/2023/06/26/pekebun-kecil-sawit-rugi-rm100-juta-setahun-diserang-ulat-bungkus/

Sumber : Kosmo

KUCHING: Perbincangan bagi menyelaraskan isu berkaitan hasrat Sarawak untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan akan diperincikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada awal Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 berkata inti pati taklimat mengenai perancangan untuk menukar status pelabuhan itu oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang diadakan semalam juga akan diusulkan dalam mesyuarat itu.


“Hasrat Sarawak supaya pelabuhan itu dijadikan ‘single entity’. Jadi, saya akan bawa (inti pati) taklimat (oleh Uggah) semalam dan akan memanggil jawatankuasa untuk bermesyuarat serta mendapat panduan arah daripada Perdana Menteri. Mesyuarat akan diadakan pada minggu pertama atau kedua Julai ini.


“Isu pengambilalihan pelabuhan ini dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) tetapi belum ada mesyuarat dilakukan berkaitan perkara tersebut jadi saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 akan mengadakan mesyuarat bagi selaraskan hasrat kerajaan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘MyKasih Love My Neighbourhood’ bagi Parlimen Petra Jaya di sini, pada Sabtu.


Sebelum ini, media melaporkan permintaan Sarawak untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu bertujuan menjadikannya sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri yang akan dikawal selia oleh pihak berkuasa pelabuhan pusat.
Beliau berkata penukaran status pelabuhan untuk dikembalikan kepada Sarawak adalah bersesuaian dengan perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak yang meletakkan pelabuhan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.


Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata beliau akan mengadakan lawatan kerja selama lima hari ke Kenya dari 3 hingga 7 Julai memandangkan negara itu menjadi antara pintu masuk Malaysia untuk mengembangkan pengeksportan minyak sawit ke benua Afrika.


“Kenya berpotensi menjadi titik kemasukan sebab berdekatan negara itu ialah Tanzania dan sebagainya. Jika lihat pada 2022 eksport minyak sawit ke Kenya adalah 1.2 juta tan, satu jumlah yang agak besar,” katanya. -Bernama

https://www.thesundaily.my/cerita/fadillah-isu-ambil-alih-pelabuhan-bintulu-dibincang-dalam-mesyuarat-ma63-julai-ini-DF11146072

Sumber : The Sun Daily

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) berjaya memadankan 88 pengeksport produk berasaskan kayu Malaysia dengan pembeli asing dari 23 negara dan menjana nilai eksport RM147 juta.

Prestasi itu dicatatkan daripada 773 mesyuarat perniagaan yang diadakan sempena Ekspo Kayu Malaysia (MWE) 2023 pada 19 Jun, 2023.

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, Matrade dan MTC menjelaskan, produk yang diperoleh pembeli asing termasuk papan lapis, papan gentian ketumpatan sederhana (MDF), venir, pintu kayu, lantai kayu dan produk perabot.

Eksport kayu dan produk kayu Malaysia pada 2022 meningkat sebanyak 10.6 peratus kepada RM25.21 bilion sekali gus menjadi hasil tertinggi yang direkodkan oleh industri kayu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jelas kedua-dua pihak.

"Produk berasaskan kayu yang paling utama dieksport dari Malaysia ialah perabot kayu, papan lapis, kayu gergaji, papan gentian dan kayu tanggam.

"Destinasi eksport utama termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan China," jelasnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pemecutan Eksport) Matrade, Sharimahton Mat Saleh berkata, kerjasama antara Matrade dan MTC menunjukkan perkongsian strategik yang kukuh dalam mempercepat dan melonjakkan eksport untuk peserta industri kayu Malaysia.

"Semua pengeksport Malaysia digesa memanfaatkan inisiatif eksport Matrade untuk mereka kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MTC, Zainal Abidin Abdullah berkata, pihaknya teguh dalam komitmen untuk memupuk pertumbuhan industri kayu-kayan Malaysia.

"Matrade dan MTC akan terus menyediakan platform dan inisiatif bernilai untuk syarikat Malaysia memperluaskan peluang eksport dan mengukuhkan kehadiran global mereka," katanya dalam kenyataan yang sama.

Syarikat Malaysia yang berminat untuk menyertai program Matrade boleh menghubungi agensi itu menerusi e-mel kepada atau layari saluran media sosial atau laman web Matrade www.matrade.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Layari www.mtc.com.my atau e-mel kepada untuk maklumat lanjut mengenai program, inisiatif dan perkhidmatan sokongan MTC. – BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/matrade-mtc-teraju-sesi-padanan-perniagaan-catat-nilai-eksport-rm147-juta-425255?amp=1

Sumber : Astro Awani

SEREMBAN: Bantuan keseluruhan sebanyak RM12.34 juta yang disalurkan Pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) melalui program pembangunan di Negeri Sembilan dapat mengembangkan perniagaan dan pendapatan pekebun kecil serta usahawan desa.


Keprihatinan Risda itu selaras dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk memperkasa ekonomi masyarakat di luar bandar.


Bantuan yang disalurkan bermula Januari hingga Jun tahun ini merangkumi projek tanam semula sebanyak RM5.14 juta, prasarana asas pertanian (RM1.12 juta), agromakanan (RM1.03 juta) dan aktiviti ekonomi tambahan (RM1.26 juta).


Seorang pekebun kecil, Azman Salam, 68, dari Lenggeng berkata, inisiatif itu banyak membantu peserta pekebun kecil Risda dari segi pembangunan dan menanam semula getah.


“Risda membantu dalam program tanam semula getah tua yang tidak ekonomi kepada benih getah baharu yang boleh mengeluarkan hasil tinggi.


“Selain berkebun, Risda membantu aktiviti ekonomi tambahan kepada usahawan desa untuk menambah pendapatan seperti anak saya sendiri yang mengusahakan perniagaan membuat kuih sepit. Aktiviti ekonomi lain penduduk adalah membuat kuih bahulu, kedai jahitan dan bengkel kereta turut dibantu,” katanya selepas majlis Sentuhan Kasih Desa, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Nilai di sini, semalam.


Majlis berkenaan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.


Terdahulu, dia yang merupakan wakil penerima bantuan keseluruhan sebanyak RM12,339,101.62 Program Pembangunan Risda di Negeri Sembilan menerima replika cek yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri.


Dalam pada itu, seorang penternak ikan air tawar, Muhammad Arif Mohd. Yasin, 30, dari Rembau berkata, dia pertama kali menerima bantuan agromakanan daripada Risda merangkumi bekalan peralatan perikanan dan makanan ikan.


“Dalam situasi sekarang makanan ikan sangat mahal. Dengan bantuan ini saya dapat mengurangkan kos selain menyuntik semangat untuk mengembangkan ternakan ikan air tawar di Negeri Sembilan,” katanya.


Seorang pengusaha bertih jagung dari Nilai, Firzah Puasa, 37, pula berkata, pengeluaran produknya mampu meningkat sehingga tiga kali ganda melalui bantuan geran mesin oleh Risda di bawah program aktiviti ekonomi tambahan.


“Mesin industri elektrik ini boleh mengeluarkan hasil bertih jagung sebanyak tiga tan metrik sebulan berbanding satu tan metrik sebulan sebelum ini.
“Saya berharap dengan bantuan mesin bertih jagung daripada Risda ini dapat mengembangkan produk pengeluaran dan mencapai hasrat menembusi pasaran di Brunei, Singapura dan Indonesia,” katanya. – UTUSAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/06/bantuan-tanam-semula-getah-sedia-manfaat-jangka-panjang/

Sumber : Utusan