Rompin: Projek biogas diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui kilang sawit Risda adalah langkah strategik bagi menangani masalah pembuangan sisa sawit yang menimbulkan kesan negatif kepada alam sekitar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek itu membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan bakar semulajadi dan menuju kestabilan negara untuk mencapai rendah karbon menjelang 2040.
Menurutnya, ia juga sejajar dengan inisiatif pembangunan KKDW untuk mengubah sisa industri kepada pendapatan bagi mengembangkan ekonomi komuniti luar bandar.
Katanya, pada masa sama projek biogas turut memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat negara 40 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035.
"Melalui kerjasama Risda dan Alliance Concord Green Sdn Bhd, projek biogas ini dijangka menjana sekitar 14.8 kilowatt- jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun yang membantu menjana kestabilan tenaga elektrik kepada 3,000 keluarga luar bandar.
Projek ini turut membantu memelihara alam sekitar dengan pengurangan sekitar 72,000 tan karbon dioksida setiap tahun yang mampu mengurangkan kos operasi kilang dan memberi impak positif kepada pekebun kecil di bawah Risda," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada majlis perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Risda , Loji Biogas Ulu Keratong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Risda Datuk Dr Noraini Ahmad.
Ahmad Zahid berkata, projek ini juga bakal membuka peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui institusi pendidikan tempatan.
Menurutnya, kolaborasi berkenaan juga akan membuka peluang penerokaan dan perkembangan teknologi hijau yang lebih cerah serta membawa manfaat lebih besar untuk pembangunan luar bandar.
Katanya, projek biogas ini adalah satu inisiatif pembangunan di luar bandar untuk membawa kesejahteraan ekonomi, inovasi dan teknologi kepada negara.
"Dalam usaha berterusan ke arah ekonomi hijau dan pembangunan mapan, projek ini bukan sahaja memelihara alam sekitar tetapi turut membawa manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan masyarakat.
"Dianggarkan operasi pembangunan projek biogas ini akan mengambil masa selama tiga tahun dengan keupayaan untuk beroperasi secara optimum selama 21 tahun.
"Ini bermakna, kesan berantai yang boleh kita lihat adalah wujudnya pelbagai perusahaan kecil dan sederhana (SME) di kawasan-kawasan yang terlibat antaranya, sektor pembekalan untuk bahan binaan, perkhidmatan logistik, perusahaan makanan dan minuman, homestay dan banyak lagi," katanya.
KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang berusaha memastikan kalangan peniaga getah menggunakan aplikasi RRIMniaga secara konsisten, selaras dengan dasar kerajaan melestarikan industri getah selain mempunyai pangkalan data komprehensif ke arah kebolehkesanan.
RRIMniaga adalah aplikasi telefon pintar dibangunkan oleh LGM bagi kegunaan peniaga getah berlesen dengan agensi itu untuk melaksanakan urus niaga komoditi itu secara dalam talian.
Dalam kenyataan hari ini, LGM berkata data RRIMniaga akan membolehkan bantuan-bantuan kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) disalurkan terus ke akaun bank pekebun kecil tanpa perlu membuat permohonan secara manual.
Sehubungan itu, LGM menegaskan bahawa ia memandang serius keingkaran peniaga getah berlesen terbabit menggunakan RRIMniaga yang boleh membantutkan usaha kerajaan menyalurkan bantuan segera berkenaan.
"LGM akan mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk membatalkan lesen mana-mana peniaga getah yang masih gagal mematuhi syarat lesen yang telah ditetapkan.
"Peniaga getah berlesen dengan LGM telah diwajibkan mengguna pakai aplikasi RRIMniaga untuk merekod urus niaga getah berkuatkuasa pada 1 Jan, 2021. Kegagalan peniaga menggunakan RRIMniaga itu akan mengakibatkan pekebun kecil tidak menerima insentif-insentif ini," katanya.
Malah, LGM berkata sebanyak 19 premis peniaga getah berlesen yang terbukti gagal berbuat demikian, telah dikompaun dalam 'OPS Patuh RRIMniaga' di beberapa negeri bagi tempoh Januari hingga 15 Ogos, 2023.
Tindakan penguatkuasaan tersebut selaras dengan peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan (6)(2) iaitu "pemegang lesen hendaklah mematuhi syarat yang dikenakan ke atas suatu lesen"
Jika sabit kesalahan, pemegang lesen tersebut boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya, kata LGM. -- BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual mesra bersama felonya Muhamad Firdaus Ali (dua kanan) serta Dayang Nur Syazwanie Abang Redzuan (kiri) ditemani Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Penyerahan Felo Perdana 2023 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 OGOS 2023.
KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menjangkakan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini didorong oleh pengeluaran tanaman sawit yang lebih tinggi pada musim puncak sepanjang tempoh berkenaan.
Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, berkata trend tanaman akan lebih banyak pada separuh kedua 2023 yang sudah dapat dilihat terdapat peningkatan jumlah tanaman pada bulan ini dan akan dapat melihat lebih banyak pada bulan September, Oktober dan November ini.
Katanya, ini akan diterjemahkan kepada hasil dan keuntungan yang lebih baik kepada kumpulan, namun ia tetap tertakluk kepada harga MSM ketika itu. "Tambahan kami juga telah menerima sejumlah lengkap kumpulan pekerja yang memenuhi keperluan kami di Semenanjung Malaysia yang mana mampu membawa keuntungan kepada kumpulan menuju ke hadapan. "Namun untuk ladang di Sabah dan Sarawak yang mewakili 26 peratus daripada keseluruhan kawasan ladang kami di Malaysia masih berdepan kekurangan tenaga kerja ketika ini dan berharap ia akan dapat diatasi sebelum musim puncak pada September, Oktober ini.
"Jadi secara keseluruhannya, kami mengunjurkan prestasi yang lebih baik untuk SDP pada separuh kedua 2023 daripada separuh pertama tahun ini," katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi kewangan suku kedua SDP secara maya, hari ini.
SDP merekodkan keuntungan bersih RM380 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023, menguncup ketara sebanyak 53 peratus berbanding RM812 juta pada suku sama tahun lalu. Pendapatan syarikat perladangan itu turut menyusut 23 peratus kepada RM4.31 bilion pada suku dikaji daripada RM5.59 bilion tahun sebelumnya. Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 3.25 sen, yang akan dibayar pada 17 November ini.
Mengulas mengenai kemerosotan suku dikaji, Mohamad Helmy berkata, ia adalah disebabkan terutamanya oleh purata harga direalisasikan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih rendah, yang merosot daripada tahap puncak pada tahun sebelumnya. Katanya, ia diburukkan lagi oleh perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi, terutamanya daripada harga baja yang lebih tinggi dan kos buruh, khususnya dalam Malaysia di mana kumpulan sedang memulihkan operasinya.
"Pada suku kedua 23, harga direalisasikan MSM susut 28 peratus tahun ke tahun kepada purata RM3,765 setiap tan metrik (MT), berbanding RM5,213 setiap MT yang direkodkan dalam tempoh yang sama sebelumnya. "Sementara itu, purata harga direalisasikan PK merosot sebanyak 47 peratus tahun ke tahun kepada RM1,767 setiap MT daripada RM3,339 setiap MT pada suku kedua 2022 dipengaruhi oleh penurunan permintaan dalam industri kimia oleo. "Dalam tempoh suku kedua 2023, pengeluaran keseluruhan buah tandan segar (BTS) kumpulan menurun sedikit sebanyak dua peratus yoy terutamanya disebabkan oleh pengurangan sebanyak enam peratus dalam pengeluaran BTS kumpulan di Indonesia," katanya.
Beliau menambah, pengurangan itu disebabkan oleh program penanaman semula kumpulan yang dipercepatkan di Indonesia untuk menangani kawasan kelapa sawit yang kurang hasil dan tua dengan penanaman baharu yang menghasilkan hasil lebih tinggi.
KULAI – Johor mempunyai potensi untuk menjadi hab pemasaran bagi produk lada negara disebabkan lokasinya yang dekat dengan Singapura selain pengeluar terbesar produk itu di semenanjung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah pekebun lada di semenanjung yang berdaftar dengan Lembaga Lada Malaysia (MPB) adalah seramai 294 orang dengan keluasan tanaman seluas 92 hektar.
“Daripada jumlah itu, Johor mempunyai bilangan pekebun lada paling ramai di semenanjung iaitu seramai 155 pekebun dengan keluasan tanaman 38 hektar.
“(Johor boleh menjadi hab lada), Boleh, kenapa tidak boleh. Faktor yang menarik di Johor ini adalah lokasinya yang berdekatan dengan Singapura. Jadi itu boleh menjadi platform atau batu loncatan untuk memasarkan produk ini di peringkat antarabangsa.
“Tetapi kita mahu fokus agar produk hiliran lada ini dihasilkan di Johor sendiri, kemudian boleh dieksport. Kita tidak mahu hantar lada ke Singapura kemudian ia jadi jenama republik itu, biarlah ia kekal jenama Malaysia,” katanya ketika hadir menyempurnakan Majlis Pemerkasaan Penggiat Industri Lada yang diadakan di Senai, di sini hari ini.
Sementara itu, Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komuniti turut memberitahu, Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar dunia selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia.
Tambah beliau lagi, kerajaan turut mengambil inisiatif menyemak semula nilai bantuan kepada pekebun kecil tanaman lada untuk meningkatkan keuntungan yang diperoleh mereka. “Antaranya adalah dengan meningkatkan bantuan Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada RM46,000 setiap hektar berbanding RM26,000 sebelum ini, manakala kadar bagi Skim Tanaman Lada Matang (STLM) pula ditingkatkan daripada RM13,000 setiap hektar kepada RM25,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE