Jata

TEKS UCAPAN


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

PADA


MAJLIS PERASMIAN
KELUARGA MALAYSIA: MINGGU AGRIKOMODITI 2021
PUTRAJAYA


27 OKTOBER 2021


Bismillahirrahmanirrahim


Terima kasih saudara dan saudari pengacara majlis.


Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi


Yang Berhormat Datuk Willie Anak Mongin
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi


Yang Berbahagia Datuk Ravi Muthayah
Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Pengerusi-pengerusi Majlis di bawah KPPK


Ketua-ketua Pengarah Agensi


Pegawai-pegawai Kanan Kementerian


YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Rakan-rakan Media, dan
Tuan-tuan dan Puan-puan para hadirin yang dihormati sekalian

Segala puji dan syukur kepada Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan rahmatnya kita dapat bersama-sama di Majlis Perasmian Keluarga Malaysia: Minggu Agrikomoditi tahun 2021 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.


2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan merakamkan sekalung penghargaan serta tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang telah berusaha merealisasikan Majlis Perasmian Minggu Agrikomoditi 2021 yang pada asalnya dirancang pada hari Isnin, tetapi terpaksa ditukar kepada hari Rabu kerana saya baru saja pulang dari  Jakarta dan perlu menjalani kuarantin kendiri.


3. Dalam kesibukan jadual tugasan harian saya, saya tetap berusaha untuk hadir juga merasmikan program ini kerana program ini sangat signifikan kepada kementerian ini dan selaras dengan program Keluarga Malaysia yang baru sahaja dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri di Kuching, Sarawak pada 23 Oktober 2021.


4. Program ini mengenengahkan semangat ciri-ciri Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam kalangan kita semua yang terlibat di sepanjang Minggu Agrikomoditi ini, sama ada secara langsung atau pun tidak langsung. Ini termasuklah juga penglibatan pekebun kecil, pelajar sekolah, para belia, usahawan, orang awam sehinggalah ke peringkat pemain industri dalam program-program yang diaturkan.


OBJEKTIF PROGRAM


Tuan-tuan dan Puan puan,

5. Tujuan penganjuran Program Minggu Agrikomoditi 2021 adalah untuk mengenengahkan sumbangan sektor agrikomoditi dalam pembangunan negara serta berkongsi perkembangan terkini berkaitan inisiatif, teknologi, serta hasil R&D&C dalam pembangunan industri huluan dan hiliran di sektor agrikomoditi. Pengisian aktiviti dalam Minggu Agrikomoditi yang telah disusun selama 5 hari ini melibatkan penyertaan semua agensi serta majlis di bawah KPPK yang merangkumi subsektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada serta kenaf.


PENGISIAN PROGRAM


6. Program Minggu Agrikomoditi ini disasarkan kepada semua peringkat masyarakat dengan pelbagai pengisian menarik. Antara pengisian program yang telah diatur sepanjang minggu ini adalah merangkumi sesi demonstrasi dan bengkel, webinar, program pembangunan usahawan, pameran maya, kuiz secara on-line dan banyak lagi.


7. Justeru itu, penganjuran program ini juga diharapkan dapat menarik minat masyarakat terutamanya golongan belia untuk menceburi bidang kerjaya dan keusahawanan berasaskan agrikomoditi. Secara tidak langsung, ia dapat memberi pendedahan kepada golongan belia dan seterusnya dapat mendorong mereka untuk mengikuti latihan dalam sektor agrikomoditi.


8. Pada hari ini, saya dimaklumkan terdapat 3 pelancaran projek atau proram yang akan saya sempurnakan iaitu;

(a) Produk Single-Origin Coklat Berkhasiat oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM);


(b) My Sawit Day oleh Malaysian Palm Oil Council (MPOC); dan

(c) TimbeReality oleh Malaysian Timber Council (MTC).


Setibanya saya di perkarangan hotel tadi, saya juga telah melancarkan kenderaan baru Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) iaitu sebuah bas yang mempunyai komponen yang diperbuat daripada gentian kenaf.


PENCAPAIAN SEKTOR AGRIKOMODITI


Tuan-tuan dan Puan-puan,


9. Ramai yang menganggap pekerjaan di sektor agrikomoditi terutamanya di sektor perladangan sebagai pekerjaan 3D (Dirty, Difficult & Dangerous). Namun, hakikat sebenarnya ialah sektor ini berupaya untuk menjana pendapatan yang lumayan dan juga berpotensi untuk terus berkembang. Di kala kita berdepan dengan pandemik COVID-19, sektor agrikomoditi terus menjadi penyumbang ke-2 terbesar kepada pendapatan eksport negara.


10. Pada tahun 2020, sektor agrikomoditi telah menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM152 bilion. Sehingga Ogos 2021 sahaja, nilai eksport untuk sektor agrikomoditi telah pun mencapai RM137.4 bilion. Di bawah subsektor sawit, nilai eksport sawit telah menyumbang sebanyak RM72.8 billion kepada negara pada tahun 2020 dan sehingga Ogos 2021
sahaja, subsektor ini telah mencatatkan sebanyak RM63.7 billion.


INDUSTRI PERKAYUAN DAN PERABOT


11. Pada awal bulan Oktober yang lalu, saya berpeluang melihat secara lebih dekat industri perkayuan dan perabot sewaktu lawatan kerja rasmi ke Muar, Johor. Daerah Muar telah disytihar sebagai Bandar Perabot Malaysia yang menjadi lokasi kepada 700 syarikat pengusaha perabot. Sewaktu lawatan tersebut, saya telah dibawa ke kilang perabot yang dahulunya perusahaan ini diusahakan secara kecil-kecilan sebagai family business dan beroperasi di belakang rumah sahaja. Kini, generasi ke-3 kepada usahawan perabot ini telah mempunyai rantaian kilang yang
besar dan nilai eksport perabot dari Muar sahaja adalah hampir RM7 bilion setahun.


12. Saya juga telah meminta pihak industri perabot Muar bersama MTIB dan MTC menjadi mentor untuk membantu serta membimbing usahawan Bumiputera, mengembangkan industri perabot supaya terus maju dan mewujudkan lebih banyak keusahawanan melalui program Certified Timber and Credible Suppliers – CTCS. Dengan yang demikian, ia dapat
mengurangkan jurang ketidaksamaan dan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.


INDUSTRI KOKO


13. Semasa di Johor juga, saya telah mengadakan lawatan rasmi ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang merupakan hab logistik strategik dalam zon perdagangan bebas di Johor serta berpotensi untuk menjadi hab perdagangan koko. Di PTP saya turut di bawa ke sebuah syarikat yang dahulunya, iaitu pada tahun 1980an, syarikat ini bermula sebagai kilang pemproses biji koko basah yang dikeringkan sebelum dieksport ke luar negara. Kini syarikat tersebut telah berkembang sebagai salah satu pengeluar ramuan koko utama di rantau ini dengan jumlah kapasiti
pemprosesan sebanyak 180,000 metrik tan koko setiap tahun dan turut beroperasi di Amerika Syarikat, Indonesia, China, Switzerland dan Estonia. Industri koko telah menyumbang sebanyak RM6.2 bilion kepada pendapatan eksport negara pada tahun 2020 dan sehingga Ogos 2021 sahaja, pendapatan eksport koko telah pun mencecah RM4.5 bilion.


INDUSTRI GETAH


14. Dalam rangka lawatan kerja saya ke utara tanah air baru-baru ini, saya telah bertandang ke negeri Kedah dan Perlis untuk meninjau potensi industri getah dan kenaf di kedua-dua negeri tersebut. Semasa di Baling,Kedah, saya berpeluang bertemu dengan para pekebun kecil getah dan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh para pekebun kecil. Pekebun kecil adalah golongan yang ’fragile’ dan mudah terkesan jika harga getah turun di bawah harga lantai. Oleh yang demikian, saya telah meminta supaya pihak kementerian meneliti cadangan meningkatkan harga lantai daripada RM2.50 kepada RM3.50 per kilogram. Di samping itu, kerajaan menggalakkan mewujudkan kluster kelompok pekebun kecil melalui projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET), ia dapat membantu pendapatan para pekebun kerana harga getah yang dijual secara krib mempunyai nilai harga lebih tinggi.


INDUSTRI KENAF


15. Di Jitra, Kedah saya telah bertemu dengan pengusaha-pengusaha ladang kluster bijih benih kenaf. Saya berpeluang melihat sendiri demonstrasi pemprosesan benih, proses penerimaan benih dan ujian percambahan kenaf. Di Perlis pula, saya amat teruja serta bangga ketika bertemu dengan seorang usahawan wanita yang bergiat aktif dengan industri kenaf dan beliau bersama rakan-rakan usahawan telah melabur sebanyak RM20 juta bagi meningkatkan hasil kenaf di pasaran. Saya turut meninjau sebuah ladang kenaf seluas 200 hektar yang diuruskan LKTN menerusi sokongan Kerajaan Perlis. Melalui LKTN, sesiapa saja yang mempunyai 1 hektar tanah layak mengusahakan kenaf dengan diberi pelbagai insentif berupa bantuan baja, teknologi dan kewangan.


16. Berdasarkan hasil lawatan kerja saya ke setiap industri dan angkaangka yang saya sebutkan tadi, jelas menunjukkan bahawa sektor agrikomoditi adalah merupakan tulang belakang di mana sektor ini bukan sahaja berupaya meningkatkan pendapatan negara bahkan juga turut mempunyai peranan besar dalam pembangunan sosio ekonomi negara.
Bagi tujuan ini, KPPK dengan kerjasama setiap agensi akan terus memberi fokus untuk memantapkan lagi usaha-usaha pembangunan dan kemajuan sektor agrikomoditi agar ia dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.


PENUTUP


17. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua hadirin kerana dapat meluangkan masa menghadiri perasmianprogram pada pagi ini. Saya juga berharap agar penganjuran MyKomoditi 2021 ini akan dapat diteruskan sebagai acara tahunan Kementerian serta dapat dianjurkan juga di negeri-negeri yang lain. Saya amat yakin, berkat
sokongan semua pihak di sektor agrikomoditi, kita akan mampu menyumbang dengan lebih banyak lagi dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab komoditi utama dunia.

18. Dengan kata-kata tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahin dengan sukacitanya merasmikan program Keluarga Malaysia: Minggu Agrikomoditi 2021.


Sekian, terima kasih.