JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
IPOSC 2022 SEBAGAI PLATFORM MENENTANG KEMPEN FITNAH
ANTI-SAWIT BLOK BARAT


1. Persidangan Kelestarian Minyak Sawit Antarabangsa Ke-7 2022 (IPOSC 2022), yang bakal diadakan pada 13 September 2022 akan menjadi platform yang penting untuk Malaysia menyangkal kempen fitnah blok Barat terhadap komoditi emas negara.


2. Persidangan yang diadakan setiap dua tahun sekali bertemakan "Mengalih Pematuhan Kemampanan kepada Pengawasan Kemampanan” pada tahun ini akan menyaksikan para pakar terkemuka berkongsi pandangan tentang perkembangan terkini dan cadangan penyelesaian untuk cabaran kemampanan semasa.


3. IPOSC telah bermula sejak tahun 2008 dan persidangan ke-7 ini akan diadakan di Kuala Lumpur, selepas persidangan terakhir yang diadakan secara dalam talian pada 2020 akibat pandemik COVID19. Persidangan yang merupakan sebahagian daripada usaha agresif Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui kempen "Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit" ini akan menentang maklumat salah dan palsu mengenai minyak emas Malaysia.


4. IPOSC 2022 bertujuan untuk menjadi platform mengemas kini perkembangan yang relevan dan baru dalam isu kemampanan dalam industri sawit kepada pihak berkepentingan mengenai. Ia merupakan inisiatif dalam mengemas kini maklumat semasa industri minyak sawit Malaysia kepada pihak berkepentingan global sebagai maklum balas terhadap kebimbangan mereka dalam isu kemampanan. Ia termasuk isu-isu karbon sifar bersih dan usaha penyahkarbonan, pembiayaan hijau dan peluang ‘Environmental, Social, and Governance’ (ESG), serta perundangan antarabangsa berkaitan penebangan hutan yang akan memberi kesan kepada komoditi seperti minyak sawit.


5. Industri minyak sawit Malaysia kini berada di barisan hadapan inisiatif kemampanan, yang merangkumi pensijilan kemampanan, pelaporan kemampanan dan tadbir urus ESG. Malaysia ingin terus meletakkan industri minyak sawitnya sebagai peneraju dalam kemampanan dan penglibatan ESG.


6. Antara topik yang bakal dibincangkan dalam IPOSC 2022 adalah peluang dan kekangan dalam isu sifar bersih dan penyahkarbonan dalam industri minyak sawit, selaras dengan komitmen global untuk mencapai neutraliti karbon seawal 2050.


7. Inisiatif-inisiatif untuk menangani halangan dalam perdagangan global dan pemecut kemampanan dalam sektor kewangan, pengguna dan biofuel juga akan dibincangkan merangkumi
peranan pembiayaan hijau, pelaburan ESG dan pensijilan biofuel berisiko rendah ‘Indirect Land Use Change’ (ILUC).


8. Satu lagi topik perbincangan adalah impak perundangan berkaitan penebangan hutan terhadap potensi industri minyak sawit yang meneliti implikasi peraturan baharu di negara maju, bertujuan untuk membendung penggunaan dan import komoditi yang dikaitkan dengan penebangan hutan, serta peranan Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang baru dalam menangani isu ini.


9. Secara konsisten, kajian telah menunjukkan bahawa minyak sawit lebih mesra alam berbanding dengan tanaman minyak lain. Sebagai contoh, minyak sawit adalah sinki karbon yang lebih cekap dan penggunaan baja juga kurang selian menghasilkan lebih banyak minyak untuk sehektar berbanding dengan ‘rapeseed’, kacang soya dan bunga matahari.


10. KPPK yakin persidangan ini akan melonjakkan status Malaysia sebagai pemimpin global dalam pengurusan mampan industri minyak sawit dan seterusnya membantu menyangkal dakwaan tidak berasas dari Barat. Industri minyak sawit Malaysia bukan  penyebab kerosakan ekologi, dan ini adalah fakta.

YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
8 SEPTEMBER 2022