KENYATAAN MEDIA
BAJET 2023: SEKTOR AGRIKOMODITI NEGARA TERUS
DIPERKUKUH DEMI KEMAKMURAN BERSAMA
1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, atas
pembentangan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia,Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat hari ini.
2. Kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas peruntukan bagi memacu kelestarian industri Agrikomoditi negara. Komitmen KPPK tidak berbelah bahagi dan bersedia melaksanakan program, inisiatif dan polisi ke arah kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi, dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.
3. Bajet 2023 turut memperlihatkan bahawa Kerajaan mengambil pendekatan responsif, bertanggungjawab dan reformis dalam memenuhi keperluan rakyat dan perniagaan, serta memacu
pertumbuhan sosioekonomi yang mampan. Pembaharuan ekonomi yang ditekankan dalam Bajet 2023 ini menyasarkan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat yang lebih besar, melalui peluang pekerjaan dan pendapatan lebih baik, kehidupan lebih sejahtera dan peluang sosioekonomi yang inklusif dan mampan.
4. Pada tahun 2021, sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak 6.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi nilai eksport sebanyak RM209.5 bilion. Kejayaan ini membuktikan sektor Agrikomoditi mampu untuk terus berdaya saing dalam menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi negara. Menerusi Bajet 2023, sebanyak RM495.9 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) merangkumi RM241 juta untuk perbelanjaan mengurus Kementerian dan RM254.8 juta perbelanjaan pembangunan.
5. Walaupun terdapat pengurangan sebanyak RM176 juta atau 26% berbanding peruntukan pada tahun lepas, Kementerian selaku peneraju sektor Agrikomoditi, komited untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sekali gus menjadi penebat kepada ketidaktentuan ekonomi yang dijangka bakal berlaku pada tahun 2023.
6. Bajet 2023 memberi fokus kepada pembangunan sektor Agrikomoditi yang lebih bersasar terutamanya melibatkan perkaraperkara berikut:
(i) Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama dengan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah
melalui koperasi;
(ii) RM315 juta untuk Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil bagi tujuan menggantikan pokok getah tua yang tidak lagi berhasil untuk manfaat 387,000 pekebun kecil;
(iii) RM40 juta untuk Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu seperti tanaman makanan jangka pendek;
(iv) RM70 juta untuk Program Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi terus menambah baik tahap kelestarian dan menggalakkan kitaran semula bahan sisa sawit; dan
(v) Penyaluran Semula Hasil Levi Tambahan bagi menyokong majikan membiayai inisiatif automasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
7. Tahun 2023 dijangka akan lebih mencabar berikutan ramalan inflasi yang bakal melanda dunia, namun KPPK bertekad untuk mendepaninya demi membangunkan industri Agrikomoditi;
menjamin kemampanan industri; produktiviti melalui penyelidikan; pembangunan, pengkomersilan dan inovasi; penjanaan nilai; pembangunan pasaran; dan keterangkuman dalam
memperluaskan dan mengimbangi kekayaan secara saksama.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
7 OKTOBER 2022