BEIJING: Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ke China selama seminggu bermula 12 November lalu, membuahkan hasil memberangsangkan apabila negara itu memberi komitmen untuk menjalin kerjasama lebih erat, terutama berkaitan bidang pertanian dan komoditi minyak sawit.
Lebih bermakna lagi, lawatan beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ke Shanghai dan Beijing itu dimuktamadkan dengan komitmen negara Tembok Besar berkenaan untuk meningkatkan jumlah import sawit kepada 3.4 juta tan pada tahun depan berbanding kira-kira 3.14 juta tan pada masa ini.
Rasionalnya, komitmen China ini penting kerana selain mempunyai pasaran dari segi populasi kira-kira 1.4 bilion penduduk, Beijing juga berperanan penting sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lalu.
Pada 2022, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia ke China menyumbang sebanyak 12.8 peratus daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa yang bernilai RM26.46 bilion - peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2021.
Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke China pada tahun yang sama adalah sebanyak RM8.44 bilion.
"Saya kira ini satu misi yang amat berjaya. Walaupun kita mempunyai jadual yang padat tetapi ia amat bermakna dengan perbincangan produktif selain respons mereka yang sebegitu positif.
"Apa sahaja yang kita bincang dan kita kemukakan, mereka menyambutnya dengan baik dan komited untuk meningkatkan perdagangan dengan Malaysia," kata Fadillah kepada media Malaysia pada akhir lawatan berkenaan.
Lawatan sulung beliau juga bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif di antara Malaysia dan China manakala tahun depan menyaksikan kedua-dua negara ini menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.
Di Shanghai, beliau melancarkan plak Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Kelapa Sawit MPOB (PORTSIM) yang menerima pengiktirafan akreditasi makmal daripada China iaitu China National Accreditation Services (CNAS) dan China Inspection Body and Laboratory Mandatory Approval (CMA).
Ini disusuli dengan pertemuan bersama 62 pemegang taruh China pada sesi Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tertinggi dengan topik perbincangan termasuk strategi meningkatkan kerjasama dengan China, khususnya aplikasi minyak sawit dalam rantaian nilai.
Fadillah turut menyaksikan penganugerahan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada Grand Oils and Fats (Dongguan) Co Ltd, kilang penapisan pertama di luar Malaysia yang diperakui dengan MSPO.
Selain itu, beliau menghadiri mesyuarat dua hala bersama Naib Premier Ding Xuexiang dan Liu Guozhong selain Menteri Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Yu Jianhua serta menghadiri masjlis makan malam dihoskan oleh Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Tang Renjian.
Beliau juga memanfaatkan kesempatan berada di sana dengan menyantuni kalangan diaspora dan penuntut Malaysia di Shanghai dan Beijing.
Tokotrienol Malaysia bakal tembusi pasaran meluas di China
Menyentuh produk sawit, Fadillah berkata kedua-dua kerajaan akan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu perdagangan yang melibatkan tokotrienol sawit (vitamin e) Malaysia ke negara itu selain menggalakkan kerjasama institut-institut penyelidikan mengenai aplikasi teknologi terkini dalam industri komoditi.
Malah, beliau berkata China juga mengalu-alukan MSPO Malaysia yang akan membantu kedua-dua negara mencapai sasaran matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Selain itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPK) dan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China akan berbincang dan dijadual memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) bagi mewujudkan mekanisme dua hala pada tahun hadapan.
"Kita telah bersetuju untuk merangka MOU itu yang diharap dapat dimeterai dalam tempoh empat bulan bersempena ulang tahun ke- 50 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara," kata beliau.
Kekangan EUDR berlanjutan, KPK beralih ke pasaran lain
Menjelaskan selanjutnya, Fadillah berkata sekatan daripada Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) menyebabkan Malaysia tidak dapat membuka ladang-ladang baharu mulai 2020.
Berikutan itu, Malaysia perlu menumpukan usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran minyak sawit daripada ladang sedia ada bagi memenuhi keperluan dalam negara, meningkatkan eksport selain memperluas pasaran minyak sawit ke negara lain seperti China.
"Turkiye misalnya adalah antara negara yang menjadi tumpuan selain menyasarkan untuk meningkatkan pasaran ke India, Mesir, negara Arab lain serta di benua Afrika," katanya.
Fadillah bagaimanapun menegaskan bagi manfaat jangka panjang, Malaysia tidak boleh hanya menumpukan kepada satu-satu segmen komoditi, sebaliknya turut membabitkan keseluruhan rantaian nilai agrikomoditi.
BEIJING - Eksport minyak sawit dan berkaitan dengan minyak sawit Malaysia ke China dijangka meningkat tahun ini atau kekal berada pada paras tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Tahun lepas, eksport minyak sawit dan produk berkaitan minyak sawit dari Malaysia ke China mencecah AS$3.72 bilion atau RM14.86 bilion, jumlah besar ini membentuk 11.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport di seluruh dunia iaitu berjumlah RM130.25 bilion.
"Terdapat banyak pasaran yang belum kita tembusi di China. Justeru, kita perlu terus mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China," katanya selepas mengadakan dua pertemuan dua hala dengan Menteri Pentadbiran Am dan Kastam China Yu Jianhua dan Naib Premier China Liu Guozhong di sini pada Khamis.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, lawatannya ke China adalah susulan daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Mac tahun ini.
Semasa lawatan itu, Anwar bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping untuk menandakan lawatan sulungnya ke China sejak memegang jawatan perdana menteri pada November 2022.
Mengenai import minyak sawit, Fadillah berkata, China komited untuk meningkatkan lagi jumlah import minyak sawit dan produk hiliran mengandungi minyak sawit dari Malaysia yang merupakan pengeluar minyak sayuran kedua terbesar di dunia.
Beliau berkata, China merancang untuk meningkatkan bukan sahaja import minyak sawit tetapi juga derivatif termasuk tokotrienol, ia merupakan vitamin E berasaskan minyak sawit.
''China juga mahu melihat bagaimana kita boleh meningkatkan kerjasama daripada segi penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit di negara ini,'' kata Fadillah.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan eksport buah segar ke China.
"Kami telah mengeksport nangka ke Nanning tahun ini dan mereka berminat untuk meningkatkan penghantaran buah-buahan lain termasuk durian,” katanya.
Fadillah dijadual bertemu Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar, Tang Renjian esok.
Beliau dalam lawatan rasmi sulungnya ke China dari 12 hingga 19 November. - Bernama
BEIJING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala pada bahagian kedua lawatan rasminya ke China.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi kini dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke China bermula 12 hingga 19 Nov yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan kapasiti komoditi, terutamanya dalam mempromosikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.
Beliau dijangka bertemu dengan Naib Premier China Ding Xuexiang dan Liu Guozhong serta Menteri Pentadbiran Am dan Kastam China Yu Jianhua.
Fadillah juga dijadual menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Tang Renjian, menghadiri sesi pertemuan dengan pelajar Malaysia di Beijing dan mengambil bahagian dalam sesi penglibatan bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia.
Beliau juga dijangka bertemu dengan diaspora Malaysia di Beijing selepas menyantuni diaspora Malaysia di Shanghai pada 12 Nov lepas.
Terdahulu ketika di Shanghai pada Selasa, Fadillah menyaksikan majlis penganugerahan sijil MSPO untuk syarikat China, Grand Oils and Fats (Dongguan) Co Ltd.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lepas.
Pada 2022, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia ke China menyumbang sebanyak 12.8 peratus daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa, dengan nilai RM26.46 bilion, peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2021.
Delegasi Malaysia akan berlepas dari Beijing ke Kuala Lumpur pada 19 Nov.
SHANGHAI: Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sentiasa mendapat pengiktirafan global dan dianggap setanding dengan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Bagi Malaysia, MSPO adalah lebih menyeluruh, merangkumi lebih besar perspektifnya kalau dibandingkan dengan RSPO," katanya kepada media selepas majlis penganugerahan sijil MSPO kepada syarikat China, Grand Oils and Fats (Dongguan) Co Ltd di sini, hari ini.
Fadillah berkata, India adalah antara yang telah mengiktiraf persijilan itu yang mana negara itu adalah pengimport utama minyak sawit Malaysia selain China, Turkiye, Kenya dan Jepun.
Standard MSPO adalah piawaian pensijilan kebangsaan Malaysia dan dibangunkan dengan input daripada pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit.
Skim pensijilan itu yang kali pertama dilancarkan pada November 2013, dilaksanakan secara rasmi atas dasar sukarela pada Januari 2015 dan pelaksanaannya telah ditambah baik dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, pensijilan itu telah disemak semula tahun lalu dengan piawaian yang lebih ketat, termasuk tarikh akhir penebangan hutan pada 31 Disember 2019, yang memenuhi tarikh akhir Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EU).
Lebih banyak semakan dibuat terhadap pengenalpastian pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan rancangan pemantauan pengurangannya, pengenalan panduan baharu mengenai persetujuan bebas, terdahulu dan termaklum (FPIC) dan perlindungan pembela hak asasi manusia serta pemberi maklumat.
Sementara itu, Fadillah berkata, lawatannya ke Shanghai lebih kepada mempromosikan minyak sawit Malaysia ke China dan hari ini beliau turut terbabit dalam sesi interaksi meja bulat bersama pemain industri dari China dan juga rakyat Malaysia yang mempunyai syarikat di negara itu.
Menurutnya, kira-kira 100 peserta terbabit dalam sesi interaksi tersebut dan beliau mendengar pelbagai pandangan dan juga cadangan bagaimana Malaysia dapat meningkatkan kerjasama dengan China serta meningkatkan penggunaan minyak sawit dan bagaimana perdagangan dua hala itu dapat dipermudahkan.
"Bukan saja dari segi minyak sawit tetapi keseluruhan rantaian pengeluaran minyak sawit daripada penghasilan benih sehinggalah kepada penghasilan produk hiliran daripada sawit itu sendiri," katanya.
Fadillah berada di sini sempena lawatan rasmi sulungnya ke China selama tujuh hari bermula 12 November.