Miri: Sejumlah 661,844.12 hektar atau 81.10 peratus kawasan kebun kecil persendirian sawit di seluruh negara sudah dipersijilkan menerusi Skim Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 31 Mei lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi kategori pekebun kecil tersusun di bawah Rancangan Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (FELDA),Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Lembaga Kemajuan Tanah
Sarawak (SLDB) pula, sejumlah 665,535.51 hektar atau 99.65 peratus keluasan bertanam sawit sudah menerima pensijilan itu.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, MSPO yang diwajibkan terhadap semua pemain industri sejak tahun 2020 antara langkah penting bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi dalam memastikan minyak sawit dapat diterima di seluruh dunia.
"Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa minyak sawit ini tidak baik untuk kesihatan, namun tohmahan itu terjawab melalui kajian sains yang jelas menunjukkan minyak sawit tinggi kandungan khasiat dan sesuai digunakan dalam pelbagai masakan dan produk.
"Kemudian ada juga pihak yang mengatakan tanaman sawit mengancam habitat sesetengah haiwan, orang utan misalnya,namun terbukti juga bahawa tiada perkara seperti itu berlaku dan terkini kita berhadapan pula dengan cabaran Kesatuan Eropah (EU) yang memperkenalkan satu peraturan baharu mengenai produk bebas penebangan hutan terhadap import komoditi terpilih termasuk sawit," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Konsultasi FGV Holdings Berhad Bersama Pekebun Kecil Persendirian dan Pembekal Negeri Sarawak di Hotel Pullman Miri Waterfront, hari ini. Fadillah berkata, pensijilan MSPO yang diperkenalkan sejak tahun 2013 merangkumi tiga prinsip utama yang menjadi tunjang industri sawit.
"Kita berpegang kepada prinsip MSPO iaitu keseimbangan antara keperluan manusia, kelestarian alam sekitar dan juga penjanaan keuntungan.
"Terima kasih kepada semua pemain industri yang bersama-sama dengan kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) danMajlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dalam menjayakan persijilan MSPO ini," katanya.
Mengenai program konsultasi anjuran FGV itu, Fadillah berkata, ia berupaya membantu industri sawit mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dengan penerapan amalan perladangan sawit yang baik dan komunikasi yang berkesan di setiap rantaian nilainya.
"Saya percaya, peserta program konsultasi ini mendapat pelbagai input penting dan menterjemahkannya di dalam amalan pertanian yang baik di kebun sawit masing-masing, selaras dengan tema kita pada hari ini Pekebun Kecil PendukungKelestarian.
"Selain membantu meningkatkan kefahaman dalam amalan kelestarian industri sawit, saya juga ingin berterima kasih kepada FGV kerana turut memainkan peranannya di dalam program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar," katanya.
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menjalin kerjasama dengan pihak antarabangsa, khususnya saintis Eropah untuk mengesahkan kualiti dan kemampanan penghasilan minyak sawit Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata langkah itu penting bagi memberi keyakinan kepada Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit Malaysia dan mengatasi diskriminasi Eropah terhadap produk komoditi negara.
Sekiranya jalinan kerjasama dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) itu berkata, beliau yakin kerajaan dapat meyakinkan Eropah untuk meneliti semula pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), yang menindas sektor agrikomoditi dan pekebun kecil di Malaysia.
"Perundingan dengan EU ketika ini ialah untuk mereka menerima pakai sijil yang dibangunkan di Malaysia sebab ianya memenuhi kriteria yang ditetapkan di peringkat dunia, termasuk Eropah.
"Tapi kita kena sedar, dalam konteks dunia ialah persaingan. Di EU, mereka meletakkan seolah-olah apa yang diperkenalkan (EUDR) adalah untuk memenuhi keperluan alam sekitar.
"Tapi pada masa sama kita sedar ada pelobi, iaitu pesaing (dalam industri agrokomoditi). yang melihat mereka tidak mampu untuk bersaing dengan minyak sawit yang sebenarnya lebih produktif, sihat dan lebih mesra alam.
"Jadi kita lihat apa yang perlu dilakukan ialah menjalin kerjasama, khususnya dalam R&D, di mana kita perlukan saintis Eropah sendiri mengesahkan minyak sawit kita adalah sihat dan apa yang kita lakukan adalah mesra alam sekitar," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang bertanyakan langkah yang sedang dilaksanakan bagi memastikan minyak dan produk sawit negara diterima dunia.
Sementara itu menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai), Fadillah berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Alam Sekitar di bawah Suruhanjaya EU, Florika Fink-Hooijer pada 28 Jun ini, bagi membincangkan isu pelaksanaan EUDR.
Beliau berkata, Fink-Hooijer bertanggungjawab meneliti dan merangka penyediaan EUDR secara keseluruhan.
"Dalam pertemuan di Putrajaya itu nanti, saya akan menegaskan lagi pendirian-pendirian yang Malaysia bawa semasa di Brussels, Belgium selain menjelaskan pandangan negara ini secara khusus terhadap pelaksanaan EUDR," katanya mengulas hasil lawatan kerja ke Eropah dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit serta bantuan segera penoreh dalam menangani musim panas dan penyakit daun yang menjejaskan hasil susu getah.
Selain itu, Fadillah juga menyifatkan Misi Bersama Malaysia dan Indonesia ke EU sebagai berjaya dalam menyampaikan kebimbangan negara pengeluar sawit berkenaan mengenai pelaksanaan EUDR secara kolektif melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Pada masa sama, katanya, respons positif yang diterima daripada misi tersebut juga diharap dapat meleraikan kebimbangan Malaysia dan Indonesia terhadap pelaksanaan EUDR yang dikhuatiri boleh menjejaskan sektor sawit kedua-dua negara.
Sehubungan itu, Fadillah berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus mengadakan libat urus bersama pihak-pihak berkaitan menerusi pelbagai platform bersesuaian supaya mesej yang konsisten dapat disampaikan kepada pihak EU demi mempertahankan industri komoditi negara.
"Ini juga (demi memastikan) kelangsungan hidup mereka yang terkesan, terutama pekebun kecil agar sejajar dengan aspirasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kesejahteraan untuk semua," katanya.
KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino yang berlaku ketika ini dijangka melonjakkan harga minyak sawit mentah (MSM) ke paras lebih tinggi ekoran bekalan yang terhad. Bursa Digital Research dalam satu nota penyelidikan berkata, harga diunjurkan positif untuk MSM kerana El Nino akan mengurangkan hasil buah sawit segar dan mengurangkan pengeluaran dalam beberapa bulan akan datang. Ia berkata, faktor lain yang mampu memberi kesan kepada harga MSM adalah peningkatan mandat campuran biodiesel di Indonesia kepada 35 peratus daripada 30 peratus, selain konflik berterusan Russia dan Ukraine. "Ini adalah faktor menyokong untuk harga bagi sektor perladangan," katanya. Bursa Digital Research berkata, pengeluaran MSM dilihat merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Katanya, hujan dan penggunaan baja yang rendah telah menjejaskan hasil buah tandan segar (FFB), menyebabkan pengeluaran MSM menjadi lebih rendah. Pengeluaran MSM, katanya telah berkurangan sebanyak 18 peratus tahun ke tahun pada April 2023. El Nino adalah fenomena iklim yang dicirikan oleh pemanasan tidak normal di Lautan Pasifik yang boleh menjejaskan produktiviti minyak sawit dengan ketara kerana tanaman kelapa sawit adalah sensitif terhadap kelembapan dan memerlukan jumlah hujan yang mencukupi. Tempoh kemarau yang berpanjangan boleh menyebabkan pembungaan berkurangan dan pengeluaran buah terjejas, sekali gus memberi kesan kepada hasil tanaman. Bursa Digital Research berkata, El Nino yang berlaku di Asia Tenggara memberi impak kepada perladangan terutamanya Malaysia dan Indonesia sebagai pengeluar minyak sawit utama. "Ketersediaan air yang berkurangan memberi tekanan kepada pokok dan menghalang keupayaan menghasilkan tandan buah yang sihat, seterusnya menurunkan hasil keseluruhan MSM. "Oleh itu, pengeluaran MSM cenderung menurun ketika El Nino, sekali gus memgurangkan bekalan dan inventori," katanya.' Firma penyelidikan pasaran itu menambah, kenaikan harga MSM yang disebabkan oleh gangguan memberikan kelebihan kepada pelbagai pihak berkepentingan. "Pengeluar dan syarikat sawit yang beroperasi dalam industri perladangan boleh mendapat manfaat daripada peningkatan keuntungan hasil harga MSM lebih tinggi. Ini boleh memberikan implikasi positif kepada prestasi kewangan dan pelaburan mereka dalam amalan lestari," katanya. Hong Leong Investment Bank Research dalam satu nota penyelidikan baru-baru ini berkata bahawa fenomena El Nino ada mempunyai impak terhadap produktiviti perladangan sawit, dengan tahap terjejas akan bergantung kepada sama ada musim kemarau menjadi lebih buruk. Firma penyelidikan itu berkata, keadaan semasa mungkin menyebabkan hasil yang lebih rendah dengan kegagalan menghasilkan buah segar, pendebungaan terhenti selain fasa bunga jantan yang lebih panjang, bergantung kepada tahap dan tempoh masa proses terbabit berlaku.
KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM), yang mana merosot lebih 30 peratus setakat ini bagi 2023 kepada sekitar lebih RM4,000 satu tan, dilihat terus berdepan tekanan jualan, demikian kata penganalisis.
Ia berikutan prospek eksport yang lemah ke negara pengimport utama seperti India dan China. Permintaan untuk produk minyak sawit oleh pembeli global juga menjadi lemah pada April 2023 berikutan MSM kehilangan daya saing harga berbanding beberapa minyak pesaingnya seperti minyak kacang soya, rapeseed dan bunga matahari.
TA Securities dalam nota penyelidikannya berkata, pasaran dijangka tidak begitu optimistik mengenai permintaan minyak sawit memandangkan Mei dan Jun secara tradisinya adalah luar musim bagi penggunaan.
Ia berkata, risiko makro dan jangkaan kesan ekonomi global serta kadar faedah yang tinggi akan memberi kesan yang kuat terhadap harga komoditi.
"Setakat ini bagi 2023, purata harga MSM menyusut 36 peratus kepada RM4,063 satu tan. Harga MSM terus berdepan tekanan jualan berikutan tinjauan eksport yang lemah ke negara import utama," katanya dalam nota penyelidikannya.
Affin Hwang Investment Bank berkata, harga purata MSM Malaysia dalam empat bulan 2023 berada pada sekitar RM4,026.50 satu tan berbanding RM6,249.50 satu tan dalam tempoh sama pada 2022.
Ia berkata, harga MSM lemah pada minggu terakhir April 2023 tetapi kekal kukuh berbanding dengan minyak sayuran lain, berikutan sekatan eksport Indonesia.
Katanya, Kementerian Perdagangan Indonesia mengumumkan bahawa mulai 1 Mei 2023, akan ada perubahan kepada dasar obligasi pasaran domestik (DMO).
Jelasnya, perubahan itu merangkumi menurunkan sasaran minyak masak domestik daripada 450,000 tan kepada 300,000 tan sebulan; mengetatkan nisbah eksport DMO daripada 1:6 hingga 1:4; meningkatkan pelbagai insentif minyak masak bungkus dan pelepasan permit eksport yang digantung lebih awal dalam tempoh sembilan bulan akan datang.
"Kami percaya langkah untuk mengetatkan nisbah eksport DMO akan mengetatkan eksport Indonesia dalam tempoh terdekat, tetapi bergantung kepada seberapa cepat permit eksport yang digantung sebelum ini dikeluarkan, ini akan menambah bekalan eksport.
"Kesan bersih kepada harga dalam jangka pendek mungkin terhad memandangkan permintaan semasa yang perlahan dan kejatuhan harga minyak sayuran pesaing," katanya.
Affin Hwang Investment Bank berkata, bagi musim 2023, pihaknya masih menjangkakan peningkatan bekalan minyak sayuran dalam pasaran berpotensi memberi tekanan kepada harga.
Ia juga percaya kemelesetan global yang semakin hampir berpotensi mengekang penggunaan dalam banyak pasaran, tetapi ia juga mungkin sebahagiannya dikurangkan dengan peningkatan permintaan daripada industri biodiesel dan sentimen El Nino untuk separuh kedua 2023.
"Secara keseluruhannya, terdapat banyak ketidakpastian dan penentu harga yang perlu diberi perhatian.
"Dalam laporan ini, kami tidak membuat sebarang perubahan pada andaian purata harga jualan MSM kami sebanyak RM3,100 satu tan hingga RM3,200 satu tan untuk 2023," katanya.
KLANG - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenal pasti permasalahan kualiti sumber air di Sungai Serdang, Kapar berpunca daripada sisa arang batu dan pembuangan sisa minyak sawit secara haram.
Pada Rabu, LUAS menerima maklumat daripada orang awam berkenaan permasalahan kualiti sumber air yang terjejas di sungai berkenaan
Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, disyaki terdapat sisa arang batu dari premis stesen janakuasa elektrik yang mengalir ke dalam parit kawasan kampung dan memasuki Sungai Serdang.
Menurutnya, aliran sisa arang batu tersebut berpunca daripada kebocoran di premis stesen janakuasa terlibat.
"Pemantauan LUAS di lokasi mendapati kerja pembaikan dan pembersihan sisa arang telah dilakukan oleh pemilik stesen dan tiada aliran yang tercemar dikesan.
"Siasatan LUAS turut menemukan aliran berwarna putih. Ia berpunca daripada pembuangan sisa minyak sawit yang disyaki telah dibuang secara haram oleh individu tidak dikenal pasti menggunakan sebuah lori tangki," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Loy Sian berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) sedang menyemak status pemilik tanah, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berkaitan sisa yang dibuang secara haram bagi tujuan tindakan penguatkuasaan.
"Insiden tidak memberi kesan kepada bekalan air memandangkan tiada LRA (Loji Rawatan Air) berada di kawasan Sungai Serdang.
"Bagaimanapun, LUAS sentiasa peka dan pro aktif untuk memastikan sumber air negeri terutamanya sungai sentiasa terpelihara dan diambil tindakan segera," katanya.