BERITA SAWIT 2023

PUTRAJAYA: Minyak masak terpakai berupaya diproses semula menjadi produk baharu yang bernilai tinggi di samping mampu membuka peluang kepada penjanaan pendapatan tambahan kepada isi rumah.


Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia susulan minyak masak terpakai dapat dijadikan sebagai salah satu sumber bahan mentah utama untuk menghasilkan biobahan api penerbangan lestari atau bahan api penerbangan mampan (SAF).


‘’Disebabkan itu Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai ini bukan sahaja mampu menyahut aspirasi matlamat kelestarian dan memberi nilai tambah kepada rantaian bekalan industri sawit, malah akan memberi impak positif kepada harga minyak sawit dan seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil,’’ katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama-sama PETRONAS di Stesen Petronas Putrajaya 1, Presint 9 di sini, hari ini.


Mengulas lanjut Fadillah berkata, minyak masak yang dipakai untuk menggoreng berulang kali tidak disarankan untuk terus digunakan kerana ia boleh memudaratkan kesihatan.


Justeru katanya, minyak masak terpakai tersebut perlu diuruskan dengan baik dan tidak sewajarnya dibuang ke dalam singki atau dituang ke dalam longkang atau dibuang ke dalam tong sampah kerana akan menyebabkan berlakunya insiden paip tersumbat yang akhirnya memerlukan kos tinggi untuk dibaik pulih.


Berhubung Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen PETRONAS, Fadillah memaklumkan ia merupakan usaha meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar sekali gus berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah serta mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG).

 

https://suarasarawak.my/minyak-masak-terpakai-berupaya-diproses-semula-jadi-produk-baharu-yang-bernilai-tinggi/

 

Sumber : Suara Sarawak

 

Putrajaya: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Petronas melaksanakan inisiatif mengumpul minyak masak terpakai di stesen Petronas untuk dijadikan satu sumber bahan mentah utama bagi menghasilkan biobahan api penerbangan lestari (SAF).


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang melancarkan inisiatif berkenaan hari ini berkata buat permulaan, pusat pengumpulan bagi program pengumpulan minyak masak terpakai itu dilaksanakan di stesen Petronas 1, Presint 9 di sini, stesen Petronas Subang Bestari dan stesen Petronas Kota Kemuning 1, Shah Alam.


"Ia kemudiannya akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat, ke stesen-stesen Petronas yang terpilih," kata beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, ketika berucap melancarkan program berkenaan di sini.


Beliau berkata sisa minyak masak terpakai boleh dibawa dan dijual di stesen minyak terlibat dengan setiap penjualan dibuat dengan mata kredit yang dimasukkan menerusi aplikasi SETEL, dan boleh ditebus di mana-mana Stesen Petronas atau Kedai Mesra.


Katanya inisiatif itu merupakan langkah proaktif Petronas sebagai persediaan memenuhi tuntutan Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA) yang dibangunkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi tujuan mengurangkan jejak karbon dan memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon bagi sektor penerbangan antarabangsa.


"Fasa rintis CORSIA bermula pada 2021, manakala fasa satu bermula pada tahun depan, dengan penyertaan oleh negara-negara anggota adalah secara sukarela termasuk Malaysia," katanya.


Bermula tahun 2027, penggunaan SAF adalah mandatori bagi semua negara anggota ICAO.


Fadillah berkata inisiatif berkenaan juga bertujuan untuk menyahut aspirasi matlamat kelestarian dan memberi nilai tambah kepada rantaian bekalan industri sawit yang akan memberi impak positif kepada harga minyak sawit.


"Kerajaan komited membangunkan industri berkaitan kelapa sawit dalam usaha menambah baik kehidupan pengusaha dan pekebun kecil serta rakyat di negara ini," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata pengumpulan minyak masak terpakai juga mampu menjadi sumber pendapatan sampingan isi rumah.


"Jadikan amalan kitar semula minyak masak terpakai sebagai salah satu langkah bijak dalam menguruskan sisa, yang sebenarnya berupaya diproses semula menjadi produk baharu yang bernilai tinggi dan seterusnya membuka peluang kepada penjanaan pendapatan tambahan kepada isi rumah," katanya.

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/07/989062/kumpul-minyak-masak-terpakai-untuk-biobahan-api-penerbangan

Sumber : Harian Metro

 

PUTRAJAYA: Kerajaan komited membangunkan industri sawit termasuk melalui pengumpulan minyak masak terpakai sebagai sumber pendapatan tambahan isi rumah, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.


Timbalan Perdana Menteri berkata, biarpun berdepan pelbagai cabaran, matlamat itu hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan tindakan bersama semua pihak daripada pembekal, pemain industri, pengguna, kerajaan sehingga ke syarikat petroleum seperti PETRONAS.


"Untuk makluman semua, pengumpulan minyak masak terpakai ini bukan sahaja semata-mata bagi menguruskan sisa ini dengan baik tetapi juga bagi mengembangkan potensi pemprosesan semula minyak masak terpakai kepada biobahan api penerbangan.


"Program pengumpulan minyak masak terpakai ini juga menjadi langkah proaktif PETRONAS sebagai persediaan untuk mengkomersialkan biobahan api penerbangan yang lestari (SAF) bagi memenuhi tuntutan 'Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation' (CORSIA)," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di sini, hari ini.


Fadillah berkata, program terbabit adalah usahasama antara PETRONAS dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar dan pada masa sama berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah.


Katanya, ia juga berupaya mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca.


"Sebagai kerajaan yang prihatin, kami sentiasa berusaha membantu pengusaha dan pekebun kecil untuk meningkatkan produktiviti mereka, selain menyediakan platform kepada mereka meneroka peluang dalam sektor hiliran.


"Atas dasar inilah, KPK bersama-sama PETRONAS melaksanakan inisiatif untuk mengumpul minyak masak terpakai dan menjadikannya sebagai sumber bahan mentah utama untuk menghasilkan SAF," katanya.


Justeru, beliau menyeru kepada seluruh rakyat untuk menjadikan amalan kitar semula minyak masak terpakai sebagai langkah bijak dalam menguruskan sisa, yang sebenarnya berupaya diproses semula menjadi produk baharu bernilai tinggi dan seterusnya membuka peluang kepada penjanaan pendapatan tambahan kepada isi rumah.


Sebagai permulaan, pusat pengumpulan minyak akan bermula di Stesen PETRONAS 1, Presint 9, Putrajaya; Stesen PETRONAS Subang Bestari dan Stesen PETRONAS Kota Kemuning 1, Shah Alam.


Pusat pengumpulan ini seterusnya akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat ke stesen PETRONAS yang terpilih.


Orang ramai yang mempunyai sisa minyak masak terpakai, boleh membawa dan menjualnya di stesen minyak berkenaan.


Minyak masak terpakai terbabit kemudian akan ditimbang dengan setiap penjualan akan dibayar melalui mata kredit yang dimasukkan menerusi aplikasi SETEL.


Mata kredit berkenaan kemudiannya boleh ditebus untuk sebarang pembelian di Stesen PETRONAS atau mana-mana Kedai Mesra.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1128042/minyak-masak-terpakai-sumber-pendapatan-tambahan

Sumber : Berita Harian

 

KUALA LUMPUR: Usaha dan komitmen semasa Malaysia terhadap penebangan hutan sedang menuju ke arah yang positif, menurut kajian Global Forest Watch yang berpangkalan di Washington.


Laporan itu menunjukkan bahawa Malaysia dan negara jiran Indonesia telah menunjukkan pengurangan ketara dalam aspek penebangan hutan.


Paling penting, penemuan kajian itu juga menyokong hujah bahawa Eropah dan pelobi anti-minyak sawit secara tidak adil mendiskriminasi industri minyak sawit Malaysia dan Indonesia walaupun data dan fakta menggambarkan gambaran yang berbeza.
Walaupun kedua-dua negara adalah pembekal minyak sawit terbesar di dunia, banyak kerajaan Malaysia dan Indonesia telah lama mendesak untuk industri minyak sawit yang lebih mampan.


Sejak 2017, penebangan hutan di kedua-dua negara berada dalam aliran menurun, dengan pengembangan ladang kelapa sawit berlaku di atas tanah yang sebelum ini digunakan untuk tanaman lain.


Satu daripada sebab utama trend penurunan kehilangan hutan ialah perbadanan kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia komited kepada dasar 'Tiada Penebangan Hutan, Gambut dan Eksploitasi' atau NDPE.


Pada asasnya, NDPE bertujuan untuk mencegah penebangan hutan baharu dan pembangunan tanah gambut bagi melindungi flora dan fauna, serta kepentingan komuniti orang asli melalui kerjasama dan pembabitan.


Walaupun komitmen terhadap NDPE telah menjadi faktor utama dalam membalikkan arah aliran kehilangan hutan, usaha lain seperti penubuhan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), juga menerima pujian yang sewajarnya.
Ditubuhkan pada 2015, MSPO menetapkan piawaian untuk minyak sawit mampan di Malaysia.


Piawaian ini terpakai bukan sahaja kepada syarikat tetapi lebih 300,000 pekebun kecil di seluruh negara.


Pensijilan MSPO melibatkan pengauditan yang rapi terhadap piawaian, keperluan kebolehkesanan rantaian bekalan dan prosedur untuk mengendalikan aduan.


Sejak 2020, pensijilan MSPO untuk ladang kelapa sawit telah diwajibkan.


Walaupun terdapat perubahan dalam kerajaan di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, komitmen terhadap perlindungan hutan hujan yang lebih meluas dan kemampanan minyak sawit telah menjadi keutamaan yang berterusan.


Sejak 2018, had kawasan ladang telah diwujudkan, manakala pindaan kepada Akta Perhutanan Negara telah meningkatkan penalti bagi pembalakan haram.


Pelbagai langkah penebangan hutan dan kemampanan yang digubal oleh kerajaan Malaysia, yang pada 1992 berikrar untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada tanah akan kekal di bawah litupan hutan, nampaknya telah membuahkan hasil.


Malah, Global Forest Watch sebelum ini melaporkan kehilangan hutan utama di Malaysia menurun hampir 70% antara 2014 dan 2020, dan menurut Institut Sumber Dunia (WRI), 2020 merupakan tahun keempat berturut-turut penebangan hutan sawit menurun.


Laporan terbaru dari 2022 ini sepatutnya meredakan kebimbangan para pejuang dan aktivis alam sekitar, kerana ia menunjukkan bahawa kerja keras industri minyak sawit Malaysia dan kerajaan benar-benar mula membuahkan hasil dalam membalikkan penebangan hutan.


Penyelidikan itu juga mencadangkan Kesatuan Eropah (EU) hidup pada masa lalu dengan perundangan peraturan bebas penebangan hutan (EUDR) Kesatuan Eropahnya, khususnya berkaitan Malaysia dan Indonesia.


Laporan oleh Global Forest Watch - platform dalam talian yang membolehkan pemantauan hampir masa nyata hutan - juga menunjukkan bahawa pada tahun 2022, hutan sebesar 11 padang bola sepak di seluruh dunia telah hilang setiap minit untuk pembukaan tanah untuk aktiviti pertanian dan pertanian.


Kebanyakan penebangan hutan berlaku di Brazil disebabkan peningkatan aktiviti penternakan soya dan lembu.


Bagaimanapun, ia percaya bahawa perkembangan di Malaysia menawarkan harapan bahawa trend ini dapat diterbalikkan.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/07/1127740/komitmen-malaysia-terhadap-penebangan-hutan-amat-positif

Sumber : Berita Harian

ROMPIN – Pekebun kecil sawit seluruh negara mengalami kerugian RM100 juta setahun ‘diserang’ ulat bungkus yang menjejaskan pengeluaran dan produktiviti pokok sawit antara 15 hingga 20 peratus.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan kajian dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kira-kira 30,000 hektar ladang kelapa sawit milik pekebun kecil komoditi itu berdepan ancaman serangan serangga perosak terbabit.


Sehubungan itu katanya, kerajaan menerusi MPOB memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk tempoh lima tahun bagi pelaksanaan kawalan ulat bungkus secara bersepadu.


“Kerajaan melalui MPOB berusaha sedaya upaya untuk mengawal serangan serangga perosak tanaman sawit daripada terus merebak. Saya dimaklumkan MPOB sudah membangunkan kaedah kawalan ulat bungkus melalui sistem kawalan perosak bersepadu (IPM).


“Teknik IPM melibatkan pelbagai kaedah kawalan seperti semburan udara atau darat menggunakan biopestisid berasaskan Bacillus thuringiensis (Bt), pemasangan perangkap feromon semulajadi dan penanaman tanaman bermanfaat untuk meningkatkan populasi serangga bermanfaat di ladang-ladang sawit bagi mengawal pembiakan ulat bungkus.


“Melalui peruntukan disediakan kerajaan, MPOB sudah menjalankan inisiatif kawalan semburan udara menggunakan dron semenjak 2017. Bermula tahun ini, buat pertama kalinya, MPOB memperkenalkan kaedah semburan udara produk Bt untuk kawalan ulat bungkus menggunakan helikopter,”katanya hari ini.


Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Penggunaan Helikopter bagi Kawalan Bersepadu Serangga Perosak Ulat Bungkus dan Pecah Tanah Kilang Sawit Pintar di Pusat Latihan Sawit Malaysia (Plasma) MPOB di sini hari ini.


Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pemantauan dan bancian populasi ulat bungkus secara berterusan di ladang sawit adalah penting dalam memastikan populasi serangga perosak itu dapat dikawal.


Katanya, MPOB akan terus melakukan pemantauan dan kawalan ulat bungkus terutama di ladang-ladang milik pekebun kecil persendirian.


“MPOB juga bersedia memberi khidmat nasihat serta tunjuk ajar kepada pihak estet dan pekebun kecil sawit dalam menangani serangan ulat bungkus termasuk pemantauan dan langkah-langkah kawalan pembiakan,” katanya.


Menurutnya, beliau dimaklumkan usaha kerajaan melalui MPOB dalam menangani ancaman ulat bungkus berjaya mengurangkan populasi serangga itu di ladang sawit.


“Melalui bancian terkini di Johor, serangan ulat bungkus melibatkan 19,000 hektar kawasan tanaman sawit telah berkurangan kepada 4,000 hektar pada tahun ini. Di Perak, ancaman ulat bungkus juga telah berjaya dikurangkan dengan penurunan populasi ulat bungkus melebihi 95 peratus,” katanya.


Sementara itu, industri sawit negara yang berusia lebih seabad sejak mula ditanam secara komersial pada 1917 terus berdepan pelbagai cabaran yang boleh menggugat kemajuan dan pertumbuhan secara mampan.


Antaranya cabaran ialah serangan perosak tanaman sawit khususnya ulat bungkus yang merosakan pokok sawit matang diusahakan syarikat perladangan dan pekebun kecil.


“Memandangkan ancaman serius serangan ulat bungkus yang menggugat sektor perladangan sawit, ulat bungkus diwartakan sebagai makhluk perosak berbahaya. Impak serangan ulat bungkus kepada pokok sawit telah menjejaskan pengeluaran hasil sawit dan pendapatan pengusaha ladang,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

 

https://www.kosmo.com.my/2023/06/26/pekebun-kecil-sawit-rugi-rm100-juta-setahun-diserang-ulat-bungkus/

Sumber : Kosmo