JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenal pasti sebuah premis yang menjalankan aktiviti menyimpan dan memproses hampas kelapa sawit (SPO) berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan Sekolah Agama Sungai Tiram, yang disyaki mungkin menjadi punca pencemaran sisa kimia di Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, kelmarin.
Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata JAS sudah menjalankan siasatan ke lokasi kejadian dan mengenal pasti premis itu.
Bagaimanapun, katanya, ketika siasatan dijalankan, premis tidak menjalankan aktiviti pemanasan SPO.
"Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MBPG) sudah mengeluarkan Notis Menghenti Operasi bermula 1 Ogos kepada premis itu yang beroperasi tanpa lesen daripada MBPG dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) .
"JAS sudah menjalankan pengawasan kualiti udara bersama Pasukan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan mendapati kualiti udara di kawasan berkenaan kini berada pada paras baik.
"JAS juga menjalankan pemantauan berkala menggunakan dron di sekitar lokasi aduan dan mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan serta tiada tapak pelupusan haram dikesan.
"Pemantauan di SK Sungai Tiram dan Sekolah Agama Sungai Tiram yang dijalankan JAS, bomba dan MBPG juga mendapati tiada sebarang bau busuk dikesan di sekitar kawasan sekolah selepas insiden kelmarin," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin SK Sungai Tiram di Ulu Tiram, di sini, dilaporkan mengalami simptom pening dan muntah berikutan pencemaran sisa kimia, dipercayai dibuang di sungai berhampiran.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II, Mohd Salleh Mohamed, berkata seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dan sebuah jentera HAZMAT daripada BBP Larkin dengan dikejarkan ke tempat kejadian.
JAS yang dilaporkan membuat penilaian di lokasi iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, mendapati terdapat peningkatan bacaan 'methyl mercaptan' di kawasan itu.
HAZMAT dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tangki 'ibc' mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran, menyebabkan pencemaran sisa kimia di situ.
Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata, pemantauan kualiti air Sungai Tiram turut dijalankan JAS bersama MBPG dengan bacaan menunjukkan tahap kualiti air adalah normal.
"Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca yang berpotensi menyebabkan pencemaran bau di kawasan itu termasuk daripada premis yang menjalankan aktiviti menyimpan dan memproses SPO berdekatan dua sekolah berkenaan.
"Tindakan tegas mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (AKAS,1974) akan dikenakan ke atas premis yang melakukan pencemaran.
"JAS meminta orang awam melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke aduan_k [AT] doe [DOT] gov [DOT] my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2023/08/1135472/jas-syak-premis-proses-kelapa-sawit-punca-pencemaran-sisa-kimia
Sumber : Berita Harian
KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka diniagakan dalam lingkungan RM3,700 hingga RM4,200 satu tan menjelang separuh kedua 2023, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Timbalan Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Pasarannya, Mohd Izham Hassan memberitahu sejak dua minggu lalu, harga MSM telah menunjukkan trend peningkatan.
"Lonjakan harga itu didorong oleh kebimbangan terhadap pengurangan bekalan minyak sawit, selepas pengeluaran minyak sawit Malaysia pada separuh pertama 2023 menurun kira-kira tiga peratus berbanding tempoh yang sama semasa 2022," katanya pada webinar Forum Pasaran Digital yang dihoskan oleh MPOC, hari ini.
MPOC juga mengunjurkan harga MSM mungkin diniagakan melebihi RM4,300 satu tan dalam jangka panjang sehingga 2024 berikutan ketidaktentuan pasaran semasa, termasuk keadaan minyak bunga matahari yang tidak menentu di rantau Laut Hitam dan pengeluaran minyak sawit Malaysia yang kekal di bawah jangkaan.
Mohd Izham ketika mengulas mengenai prospek permintaan meramalkan India dan China akan mengimport gabungan nilai sebanyak 16.5 juta tan menjelang Disember 2023.
"Kedua-dua negara, yang secara kolektif mengimport sejumlah 15 juta tan sawit pada 2022, akan terus menjadi dua pengimport terbesar minyak sawit," katanya.
Katanya lagi, rantau ASEAN, Timur Tengah serta Afrika Utara juga akan mengalami permintaan yang lebih tinggi bagi minyak sawit berikutan pengeluaran domestik yang tidak mencukupi dan harga minyak sawit yang kompetitif.
"Sementara itu, Sub-Sahara Afrika (SSA) menunjukkan potensi pertumbuhan yang ketara bagi minyak sawit, dengan rantau ini mengimport 3.5 juta tan pada 2022, diterajui oleh negara-negara seperti Kenya, Tanzania, Togo, Mozambique dan Nigeria," katanya.
Walaupun terdapat tinjauan ini, beliau menyatakan penggunaan perkapita minyak dan lemak di rantau SSA akan kekal rendah.
"Bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi yang bertambah baik dan peningkatan pendapatan per kapita, penggunaan dijangka bertambah," katanya.
-BERNAMA
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/08/1134628/minyak-sawit-boleh-cecah-rm4200-satu-tan
Sumber : Berita Harian
KUALA LUMPUR: Iran sedang meneroka kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) minyak sawit, bertujuan mengatasi cabaran dan memanfaatkan potensi besar yang wujud bagi kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Pengarah (R&D) MPOB, Dr Zainab Idris, berkata MPOB dan Kementerian Pertanian Iran turut berusaha untuk meneroka inisiatif penyelidikan dan pembangunan bersama mengenai sektor sawit.
Baru-baru ini, delegasi dari Iran yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Presiden Pertubuhan Penyelidikan, Pendidikan & Pengembangan Pertanian (AREEO), Dr Mojtaba Khayam Nekouei telah mengadakan kunjungan rasmi ke ibu pejabat MPOB.
Dalam kunjungan itu, Mojtaba menyatakan minat Iran untuk memeterai dua memorandum persefahaman dengan MPOB dalam bidang R&D minyak sawit secepat mungkin. Menurut MPOB, delegasi Iran turut menyambut baik cadangan kerjasama penyelidikan yang diutarakan olehnya dalam bidang kajian pemakanan minyak sawit.
"Kajian seperti ini dilihat sebagai langkah proaktif kedua-dua negara dalam meningkatkan imej sawit Malaysia dan seterusnya dapat mengubah persepsi negatif terhadap minyak sawit dalam kalangan masyarakat Iran," kata Zainab. MPOB telah mengadakan perbincangan awal dengan institusi penyelidikan Iran seperti National Nutrition and Food Technology Research (NNFTRI) dan Universiti Sains Perubatan Tehran (TUMS).
Zainab berkata, pertemuan itu merupakan peluang keemasan untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan meletakkan asas bagi kerjasama berpanjangan antara kedua-dua negara. "MPOB bersetuju untuk meneroka kemungkinan berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dengan Iran dan kami berharap dapat belajar daripada pandangan dan pengalaman unik negara tersebut dalam sektor pertanian melalui ikatan memorandum persefahaman," katanya. Iran adalah pengimport bersih minyak dan lemak, dan pengeluaran tempatannya mencukupi untuk hanya 29.1 peratus daripada jumlah keperluannya manakala pada 2022, ia menggunakan 2.09 juta tan minyak dan lemak untuk kegunaan domestik.
"Negara itu adalah antara pengimport penting minyak sawit Malaysia dan juga rakan dagangan utama Malaysia. Jumlah eksport produk sawit Malaysia ke Iran pada 2022 ialah 492,688 tan, meningkat 13.6 peratus daripada tahun sebelumnya, dengan nilai RM2.79 bilion.
"Produk utama berasaskan sawit Malaysia yang dieksport ke negara tersebut pada tahun lepas ialah olein sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), minyak sawit RBD, bahan gantian lemak koko dan minyak masak," katanya.
Bagi enam bulan pertama 2023, jumlah eksport produk sawit Malaysia ke Iran meningkat 53 peratus kepada 185,946 tan berbanding dengan jumlah bagi tempoh yang sama tahun lalu.
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/07/1131248/iran-teroka-kerjasama-rd-sawitdengan-mpob
sumber : Berita Harian
Namun industri sedang berubah. Satu kajian penting baru-baru ini dikeluarkan oleh Global Forest Watch, iaitu sebuat platform atas talian yang menyediakan data dan cara untuk memantau hutan, mendedahkan bahawa kawasan hutan tropika sebesar Switzerland telah hilang tahun lalu apabila kehilangan pokok yang berleluasa. Laporan itu berkata, hutan sebesar 11 padang bola sepak hilang setiap minit pada 2022, dengan Brazil mendominasi ekoran peningkatan dalam pertanian soya dan lembu.
Walau bagaimanapun, pengurangan mendadak dalam kehilangan hutan di Malaysia dan Indonesia menunjukkan bahawa pembalikan arah aliran ini boleh dicapai.
Di kedua-dua negara, syarikat kelapa sawit nampaknya sedang mengambil tindakan, dengan kira-kira 83 peratus daripada kapasiti penapisan minyak sawit kini beroperasi tanpa penebangan hutan, tiada tanah gambut dan tiada komitmen kepada eksploitasi.
Berita ini sepatutnya meredakan kebimbangan para pejuang dan aktivis alam sekitar, kerana ia menunjukkan bahawa kerja keras industri minyak kelapa sawit Malaysia dan kerajaan benar-benar mula membuahkan hasil dalam membalikkan penebangan hutan.
Kita patut meraikan berita ini, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Kadar penebangan hutan di Malaysia telah menunjukkan arah aliran yang lebih rendah untuk beberapa ketika. Global Forest Watch sebelum ini melaporkan bahawa kehilangan hutan utama Malaysia menurun sehingga 70 peratus antara 2014 hingga 2020 dan menurut WRI, tahun 2020 adalah tahun ke empat berturut-turut penebangan hutan akibat tanaman kelapa sawit mencatatkan penurunan.
Dengan undang-undang penebangan hutan penting yang diluluskan oleh Parlimen Eropah pada April lalu yang mengharamkan import komoditi ke Kesatuan Eropah (EU) bagi produk yang dikaitkan dengan pemusnahan hutan, oleh itu tidak hairanlah Malaysia telah menyelar EU kerana amalan diskriminasi.
Data penebangan hutan baru-baru ini daripada Global Forest Watch menggambarkan EU masih hidup pada masa lalu.
Sebelum undang-undang baharu tersebut diluluskan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pada Januari lepas bahawa Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk menghentikan eksport minyak sawit ke EU tetapi sejak undang-undang itu diluluskan, Fadillah telah bekerja keras untuk meredakan kebimbangan pihak berkepentingan dalam industri minyak kelapa sawit.
Antaranya, lawatan ke UK awal bulan ini untuk melobi pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam garis panduan yang wajar bagi memastikan komoditi yang lestari memasuki negara, merundingkan penghapusan tarif minyak sawit Malaysia daripada 12 peratus kepada sifar apabila UK masuk ke dalam CPTPP, bertemu dengan Ketua Pengarah Alam Sekitar Suruhanjaya Eropah, Florika Fink-Hooijer pada 28 Jun untuk mengkaji semula penguatkuasaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) dan isu lain yang berkaitan dengan industri minyak sawit.
Pengiktirafan pensijilan MSPO oleh UK adalah penting kerana ia menunjukkan kredibiliti minyak kelapa sawit Malaysia. Pensijilan ini memberi manfaat kepada petani dalam beberapa cara, selain untuk menghasilkan minyak sawit yang lebih “mampan”.
MSPO mempunyai matlamat yang sama seperti RSPO, tetapi ia jauh lebih murah untuk keahlian pekebun kecil berbanding RSPO, yang ditujukan kepada entiti korporat yang lebih besar yang lebih berkemampuan. Kerana itu, MSPO meliputi 96% industri minyak sawit Malaysia, termasuk pekebun kecil.
Petani juga perlu tahu bahawa pensijilan ini memberi mereka akses kepada pasaran premium yang boleh meningkatkan keuntungan mereka dengan margin yang besar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah membincangkan perkara ini dengan panjang lebar dengan jiran kita, Indonesia, yang merupakan pengeksport minyak sawit terbesar dunia. Memetik “satu suara” dalam mempertahankan pengeluaran minyak kelapa sawit, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Anwar menyatakan komitmen mereka dalam melindungi kepentingan pemain industri besar dan kecil pada satu sidang media bersama semasa lawatan Jokowi ke Malaysia awal bulan ini.
Usaha seperti ini daripada kerajaan perpaduan harus diiktiraf dan disokong oleh semua pihak berkepentingan daripada industri sawit.
Larangan EU terhadap import produk berkaitan penebangan hutan ditetapkan berkuat kuasa pada 2026 dan menuntut produk tidak boleh dikaitkan dengan hasil yang ditanam di atas tanah yang ditebang selepas tahun 2020. Syarikat perlu mengesahkan “bukti hijau” produk mereka melalui kenyataan pembuktian.
Dengan minyak kelapa sawit terdapat di mana-mana dalam kira-kira separuh rak barangan pasar raya, firma besar dan kecil akan menghadapi tugas besar untuk mengemukakan bukti sistem rantaian bekalan yang lestari.
Industri utama membeli daripada pemproses dan peniaga bukannya daripada pemilik ladang. Ladang boleh diperakui sebagai lestari, dan minyak yang dihasilkan boleh dihantar secara berasingan tetapi kos untuk mengasingkan bekalan dalam skala besar akan menjadi terlalu tinggi.
Sama seperti empangan hidroelektrik yang membekalkan grid nasional, syarikat elektrik hanya boleh menunjukkan jumlah tenaga boleh diperbaharui yang diperoleh, sebelum ia dicampur dengan yang lain. Oleh itu, minyak kelapa sawit mampan juga boleh dijual pada harga premium, tetapi ia akan menjadi sukar untuk dikekalkan dalam pasaran komoditi kerana minyak sawit mampan dan tidak mampan adalah sama.
Inilah sebab mengapa Fadillah dan Indonesia, yang diwakili oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Dr Airlangga Hartarto, pada mesyuarat di Brussels, Belgium, menggesa EU untuk melibatkan diri dengan negara pengeluar minyak sawit di peringkat kerja dan teknikal dalam melaksanakan peraturan baharu itu.
Menyedari bahawa kemampanan adalah jalan menuju ke hadapan, Fadillah turut memberi amaran awal bahawa EU akan melaksanakan lebih banyak peraturan hijau seperti cadangan Arahan Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat, Peraturan Melarang Produk Dibuat dengan Buruh Paksa dan Arahan Tuntutan Hijau sebagai sebahagian daripada sasaran tenaga boleh diperbaharui EU menjelang 2030.
Bagaimana pihak berkepentingan minyak sawit mendekati masalah rumit ini akan memberi keutamaan kepada pengeluar pertanian lain. – UTUSAN
Sumber : Utusan
Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mengalami tindak balas spontan yang menaik susulan pembatalan laluan bijirin Russia-Ukraine, demikian menurut RHB Investment Bank.
Bank pelaburan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan jangkaan reaksi yang positif harga minyak bijirin dan minyak sayuran disebabkan pembatalan laluan berkenaan.
"Kami menekankan bahawa sebarang kekurangan bekalan hanya akan dilihat pada September, sementara Ukraine semakin kurang bergantung pada laluan ini untuk menghantar produknya keluar sejak kebelakangan ini.
"Tambahan lagi, pembeli menambah stok minyak bunga matahari dalam beberapa minggu ini bagi mengambil kira kemungkinan ini, maka paras stok di negara import adalah tinggi," kata bank pelaburan itu dalam satu nota kajian yang disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah.
Russia memutuskan untuk menghentikan Perjanjian Bijiran Laut Hitam yang mula dimeterai pada Julai 2022, beberapa jam sebelum ia tamat tempoh.
Perjanjian yang diperantarakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berulang kali dilanjutkan untuk beberapa tempoh yang pendek, ketika Russia semakin tidak puas hati dengan sekatan yang dikatakannya membataskan eksport bijirin dan baja dari negara itu pada tahap penuh.
Russia mungkin ubah fikiran RHB Investment Bank berkata, Russia bagaimanapun masih berkemungkinan akan mengubah fikirannya, seperti yang berlaku pada Oktober 2022, terutama kerana negara itu bakal rugi apabila perjanjian ini dibatalkan.
"Biji bunga matahari dari Russia dan Ukraine merangkumi 45 peratus daripada keluaran biji bunga matahari dunia. Kami tekankan bahawa kenaikan harga selepas pengumuman perang Russia-Ukraine sebelum ini menyebabkan inventori dikumpul secara bertimbun, lantas mengakibatkan permintaan yang lemah selama beberapa bulan apabila pengimport berusaha untuk menurunkan paras stok yang tinggi," katanya.
Bank pelaburan itu juga percaya terdapat masa untuk isu laluan bijirin terbabit diselesaikan sebelum sebarang kesan buruk benar-benar terjadi pada bekalan keseluruhan minyak biji dan minyak sayuran, kerana kitaran tanaman seterusnya untuk penuaian di Russia dan Ukraine hanya bermula pada September.
"Perlu diambil maklum bahawa sebanyak 25 juta hingga 30 juta tan biji bunga matahari dikeluarkan setiap tahun oleh Russia dan Ukraine, atau sekitar 45 peratus daripada jumlah keluaran biji bunga matahari dunia.
"Tambahan pula, Ukraine tidak lagi begitu bergantung pada laluan bijirin. Menurut UkrAgroconsult, sejak Mac 2023, lebih banyak tanaman dihantar ke luar negara melalui pelabuhan sungai, laluan kereta api, dan jalan raya berbanding melalui laluan bijirin dan hanya kira-kira sejuta tan dihantar melalui laluan ini pada Mei (berbanding dua juta tan melalui pelabuhan sungai).
"Oleh itu, kebergantungan pada laluan ini sudah berkurang dengan ketara," katanya.
RHB Investment Bank mengekalkan unjuran harga purata MSM pada RM3,900 satu tan pada masa ini, namun ia sedang menyemak semula andaian harga untuk 2024.
Pilihan utama saham bank pelaburan itu dalam sektor perladangan ialah Kuala Lumpur Kepong, IOI Corp, dan Wilmar International.
Sumber : Berita Harian
Pelawat Hari Ini : 302 | Pelawat Bulan : 921