BERITA SAWIT 2023

PUTRAJAYA - Kerajaan memberi fokus kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu milik untuk industri perladangan dan komoditi bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia merupakan antara fokus kerajaan ke arah automasi dan mekanisasi dalam bidang perladangan, dengan mempertimbangkan kemampuan golongan sasar beradaptasi dengan teknologi itu.

"Kita sudah menggunakan teknologi dron untuk penyemburan baja dan racun, tapi untuk kaedah penuaian kita masih menghadap cabaran, jadi kita fokus untuk bangunkan robot dengan kemajuan AI yang akan mengenal pasti buah-buah yang cukup matang untuk dipetik dan mungkin juga proses 'prunning’ (pemangkasan).

"Sekarang sudah banyak syarikat-syarikat besar berkaitan sudah menggunakan teknologi ini dan mendapat manfaat dari segi insentif cukai,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Pensijilan Minyak Sawit (MPOCC) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), di sini hari ini.

Fadillah berkata, penggunaan teknologi AI akan mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing dan buruh kasar dalam industri perladangan dan komoditi.

Beliau berkata,penggunaan AI dengan kos operasi berpatutan akan membantu pengusaha kebun yang sudah berumur dan kurang berada di lapangan untuk mengeluarkan hasil.

Mengenai kerjasama antara MPOCC dan HDC, Fadillah berkata, ia bertujuan untuk saling bertukar maklumat serta meneroka peluang dan inisiatif baharu berkaitan kemampanan dalam industri minyak sawit dan ekosistem halal.

Pada 2022, katanya, nilai eksport halal Malaysia mencecah RM59.4 bilion iaitu 4.7 peratus atau RM2.8 bilion adalah produk berasaskan sawit.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/630240/berita/nasional/pembangunan-ai-mampu-milik-bantu-pekebun-kecil---fadillah

 

Sumber : Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM70 juta untuk kempen menangani anti minyak sawit akan meningkatkan lagi tahap kemampanan industri minyak sawit, sekali gus menekankan kepentingan menyokong dan mengekalkan usaha kempen tersebut, menurut Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Joseph Tek Choon Yee bagaimanapun berkata persatuan menantikan butiran mengenai insentif cukai untuk mekanisasi dan automasi menggunakan dron dan kenderaan pandu sendiri untuk sektor komoditi tersebut yang merangkumi inisiatif praktikal meliputi operasi huluan.

"MPOA turut menghargai inisiatif sukuk biodiversiti RM1 bilion yang bertujuan untuk meneroka kredit karbon dan potongan cukai untuk aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan, dengan tumpuan kepada penanaman pokok yang akan memberi manfaat kepada penggiat kelapa sawit daripada inisiatif ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

MPOA turut menyuarakan kebimbangan terhadap hasrat yang tidak dipenuhi untuk levi keuntungan luar biasa (WPL) yang tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan hari ini.

Sebelum ini, MPOA telah menggesa kerajaan untuk meneliti cukai jualan negeri apabila kadar levi semasa secara tidak seimbang membebankan penanam kelapa sawit, justeru mengembalikan semula kadar WPL untuk Sabah dan Sarawak kepada 1.5 peratus daripada 3.0 peratus pada masa ini dalam Belanjawan 2024.

Berdasarkan kenaikan kos pengeluaran, MPOA turut memohon kepada kerajaan mengenai semakan semula ambang harga WPL sebanyak RM500 satu tan minyak sawit mentah (MSM) daripada RM3,000 kepada RM3,500 satu tan MSM untuk penanam Semenanjung Malaysia dan daripada RM3,500 kepada RM4,000 satu tan MSM untuk penanam Sabah dan Sarawak.

Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam kenyataan berkata pengumuman kerajaan untuk meningkatkan paras harga pengaktifan insentif pengeluaran getah kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta akan meningkatkan permohonan tanam semula dan perusahaan kebun-kebun getah matang kembali aktif pada 2024.

"RISDA amat menghargai inisiatif kerajaan dalam memberikan peruntukan sebanyak RM90 juta kepada RISDA dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang mereka.

"Langkah ini akan membolehkan kepelbagaian pendapatan pekebun kecil dan tidak hanya bergantung kepada sumber getah semata-mata," kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya peruntukan sebanyak RM100 juta dan RM70 juta untuk memperkasa industri sawit melalui program tanam semula dan kelestarian akan memperkasakan lagi penglibatan syarikat-syarikat di bawah RISDA yang bergiat aktif dalam bidang industri sawit negara.

Beliau berkata pihak RISDA juga amat berbangga dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembangunan kaedah penggunaan gas stimulan yang dapat meningkatkan pengeluaran getah.

Melalui peruntukan sebanyak RM10 juta untuk projek rintis ini, katanya ia bakal memberikan nilai tambah kepada inovasi industri getah negara.

Beliau berkata secara keseluruhannya, peruntukan sebanyak RM2.4 bilion kepada FELDA, FELCRA dan RISDA adalah langkah proaktif yang akan memberi manfaat besar kepada pekebun kecil dalam meningkatkan aktiviti agrikomoditi dan sosioekonomi. – BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/10/1164957/belanjawan-2024-peruntukan-kempen-tangani-anti-sawit-ditingkatkan

 

Sumber : Berita Harian

KUALA TERENGGANU - Sebuah syarikat kilang kelapa sawit didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana melepaskan air buangan atau efluen melebihi had ditetapkan.

Hakim Nooriah Osman menjatuhi hukuman denda itu selepas wakil syarikat mengaku bersalah melepaskan efluen dengan kandungan melebihi had ditetapkan di bawah Syarat Jadual Pematuhan Lesen dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127).

Kesalahan di bawah Seksyen 16 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 itu didakwa dilakukan pada 26 September 2022 di sebuah kilang kelapa sawit yang beroperasi di daerah Dungun.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa melepaskan efluen melebihi had-had bagi parameter Oksigen Biokimia yang diperlukan (BOD), tiga hari, 30 Celcius (°C) yang mempunyai kepekatan sebanyak 162 miligram per liter melebihi had ditetapkan iaitu 100 mg/l dan Pepejal Terampai (SS) yang mempunyai kepekatan 488 mg/L melebihi had ditetapkan iaitu 400 mg/l.

Sementara itu, di Kemaman, sebuah premis di Kampung Bukit Kuing, Mukim Banggul didenda RM12,000 atas dakwaan menjadikan premis sebagai kemudahan pemerolehan kembali luar tapak tanpa lesen oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Hakim Mahkamah Sesyen Kemaman, Wan Suhaila Mohd menjatuhi hukuman itu selepas pemiliknya mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut pada 27 September lalu.

Mengkut pertuduhan, pihak syarikat telah menjadikan premis berkenaan sebagai kemudahan pemerolehan kembali luar tapak tanpa terlebih dahulu memegang suatu lesen di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman denda maksimum tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Sementara itu, Pengarah JAS Terengganu, Ramli Abd. Rahman dalam kenyataan pada Khamis berkata, kemudahan pemerolehan kembali luar tapak buangan terjadual hanya boleh diuruskan di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja.

Katanya, ia bagi mengelakkan isu-isu pencemaran daripada aktiviti pemprosesan tanpa mengikut prosedur yang betul dan tidak menggunakan alat kawalan pencemaran yang sesuai.

Jelas beliau, ia juga bagi mengelakkan pelupusan haram buangan atau sisa yang tidak boleh dikitar semula ke atas tanah, longkang, sungai dan sebagainya.

Ramli turut menasihati orang ramai supaya melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar kepada pihak berkuasa.

"Laporan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k [AT] doe [DOT] gov [DOT] my atau melalui portal e-aduan JAS," katanya.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/282553/berita/semasa/kilang-sawit-didenda-rm12000-lepaskan-efluen-lebih-had

 

Sumber : Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka melangkaui RM4,000 satu tan pada 2024 berikutan pengesahan impak daripada kejadian El Nino, demikian menurut RHB Investment Bank.

Bank pelaburan itu berkata untuk sepanjang baki tahun 2023, ia tidak menjangka harga MSM akan melebihi paras RM4,000 satu tan.

"Namun, pada 2024, kami menjangka harga MSM akan berada dalam lingkungan lebih tinggi berbanding paras semasa menjadi RM4,000 hingga RM4,500 satu tan, apabila kesan daripada El Nino mula menjejaskan produktiviti pada separuh kedua tahun depan," katanya dalam nota penyelidikan yang disediakan oleh pengalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah.

RHB Investment Bank berkata, andaian kes asas bagi paras harga sedemikian adalah El Nino yang sederhana dan penyelesaian bagi masalah koridor bijirin sebelum akhir Oktober, iaitu apabila tempoh penuaian untuk tanaman bunga matahari Russia dan Ukraine tamat.

"Kami andaikan bahawa Russia dan Ukraine dapat mencari jalan untuk mengeksport barangan bijirin dan minyak biji mereka meskipun tanpa koridor bijirin berkenaan. Sekiranya dua andaian ini terbukti salah, kami perlu mengkaji semula andaian harga kami," katanya.

RHB Investment Bank berkata, diskaun antara MSM dan minyak kacang soya (SBO) menguncup sedikit baru-baru ini kepada AS$543 satu tan daripada AS$650 satu tan bulan lalu, lantas sekali lagi menjadikan MSM kurang menarik berbanding minyak-minyak yang berdaya saing.

Sementara itu, katanya paras stok minyak sawit di negara-negara pengimport utama kini melepasi paras stok sebelum ini, sekali gus memberi kurang insentif untuk kegiatan penambahan stok, memandangkan permintaan sedunia yang rapuh.

"Hal ini pula disebabkan oleh sentimen ekonomi yang lemah. Tambahan pula, persaingan antara minyak sawit Malaysia dan Indonesia masih sengit, sekali gus menyebabkan Malaysia kehilangan bahagian pasarannya," katanya.

Bank pelaburan itu menambah, permintaan asas daripada mandat biodiesel Indonesia tetap kukuh, manakala perbezaan minyak sawit minyak gas (POGO) yang positif buat masa ini menjadikan biodiesel satu pilihan yang munasabah dari segi kewangan.

"Hal ini mungkin mendorong semula permintaan bukan keperluan sebanyak 2.5 juta hingga tiga juta tan," katanya.

RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham dalam sektor perladangan dengan pilihan utama adalah IOI Corp, Ta Ann, Sarawak Oil Palms dan Golden Agri.

Ia berkata, harga MSM lebih tinggi pada 2024 akan bermakna syarikat perladangan tulen akan dilihat secara lebih positif berbanding syarikat-syarikat bersepadu, yang lebih sensitif terhadap pergerakan harga.

"Pelabur disarankan untuk mengambil strategi perdagangan positif dan taktikal, berdasarkan pengesahan kejadian El Nino dan risiko geopolitik yang mungkin semakin tegang berkaitan perang Russia-Ukraine

dan juga koridor bijirin," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/10/1160947/minyak-sawit-boleh-cecah-rm4000-satu-tan-semula

 

Sumber : Berita Harian

Minyak-sawit.jpg

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa  MPOB (PIPOC 2023) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 hingga 9 November ini.

PIPOC 2023 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mengumpulkan lebih 100 penceramah terkenal dan 2,000 peserta dari seluruh dunia.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, PIPOC 2023 akan melibatkan empat persidangan serentak membincangkan topik penting seperti kemampanan, keselamatan makanan dan penambahan nilai.

“PIPOC 2023 adalah kongres yang menyedia maklumat, perkongsian idea dan perbincangan mendalam oleh penceramah mengenai isu semasa dan prospek industri sawit.

“PIPOC sekali lagi akan menjadi menjadi kongres minyak sawit yang bermaklumat, menggugah pemikiran dan memberi inspirasi,” kata Ahmad Parveez.

Kongres yang bertemakan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience’ menyediakan platform untuk interaksi, peluang rangkaian dan perbincangan mendalam mengenai pelbagai aspek industri sawit.

Ia meliputi perkembangan dasar terkini kepada cabaran dan prospek industri itu.

Kongres itu juga turut menampilkan pameran perdagangan dengan lebih 400 reruai yang akan memaparkan kemajuan baharu industri, teknologi terkini, peralatan dan produk berkaitan industri sawit.

“Justeru, peserta akan mendapat peluang berharga untuk belajar, berkongsi pengetahuan mereka dan meneroka kemajuan terkini dalam industri sawit,” kata Ahmad Parveez.

Pakar minyak sawit terkemuka dunia akan memberikan pandangan, berkongsi pengalaman dan menyumbang kepada perbincangan dinamik mengenai trend, cabaran, peluang dan teknologi terkini dalam industri sawit pada masa ini.

Penceramah termasuk Tan Sri Dr. Yusof Basiron dari DIBIZ Global, Malaysia yang akan menyampaikan pembentangan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience‘ semasa Kuliah Henri Fauconnier.

PIPOC 2023 juga menampilkan Thomas Mielke dari Oil World, Jerman yang akan berkongsi perspektif mengenai bekalan minyak sayuran global, permintaan dan tinjauan harga.

Datuk Mohamad Helmy Othman Basha pula akan menyelami industri sawit melalui pembentanngan “Membina Ketahanan dalam Dunia VUCA.

Kongress itu juga akan merangkumi aktiviti menarik termasuk lawatan teknikal ke ladang sawit, kilang minyak sawit, kilang penapisan dan kemudahan penyelidikan & pembangunan untuk para peserta. – MalaysiaGazette