BERITA SAWIT 2023

MALAYSIA menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memperluas produk nilai tambah berasaskan minyak sawit untuk syarikat di China mengeksportnya ke wilayah Muslim di negara itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, setakat ini terdapat beberapa produk yang sedang dikomersialkan di China hasil daripada usaha Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit MPOB (PORTSIM).

"Setakat ini, kita amat berpuas hati dengan apa dihasilkan dan seterusnya kita perlu lihat bagaimana kita boleh perluaskan lagi penghasilan produk yang dapat dihasilkan dari PORTSIM yang sesuai dengan cita rasa dan kesesuaian pasaran di China.

"PORTSIM berjaya memberikan solusi dan membantu pihak industri menggantikan kaedah pengeluaran mereka dengan menggunakan minyak sawit," katanya kepada media selepas lawatan beliau ke PORTSIM, di sini, kelmarin.

Fadillah berkata, sebelum ini syarikat di negara tersebut menggunakan bahan lain bagi penghasilan produk mereka tetapi kini bagi memenuhi permintaan pasaran lebih besar mereka menggantikannya dengan menggunakan minyak sawit yang diiktiraf halal.

Seterusnya, katanya, institut penyelidikan itu juga sedang meneliti produk kesihatan berasaskan tanaman serba boleh, tokotrienol.

"Kita juga akan berjumpa dengan menteri pertanian di sini untuk pengiktirafan dari segi standard pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kita dengan produk pertanian mereka," katanya.

PORTSIM yang ditubuhkan pada 2005 ialah cawangan MPOB di China dan bertujuan untuk membangun, mengembangkan dan memajukan pasaran minyak sawit Malaysia di China serta menyediakan sokongan teknikal dan khidmat nasihat untuk perusahaan berkaitan.

Fadillah sedang dalam rangka lawatan sulung rasminya ke China dari 12-19 November untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan kapasiti dalam bidang komoditi, terutamanya dalam mempromosikan pensijilan MSPO di peringkat global. - Bernama

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/11/1030329/mpob-perluas-produk-berasaskan-minyak-sawit-untuk-syarikat-di-china#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro

SHANGHAI: Kementerian Perladangan dan Komoditi yakin eksport minyak sawit dan produk-produk berkaitan minyak sawit Malaysia ke China akan terus meningkat tahun ini, dengan permintaan yang lebih tinggi terutamanya daripada sektor oleokimia dan makanan haiwan yang berkembang pesat di republik itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dengan China, negara itu secara proaktif meneroka cara-cara inovatif bagi memaksimumkan nilai dan fleksibiliti minyak sawit dan meluaskan jangkauannya ke pelbagai pasaran.

"Perdagangan ini mencerminkan intipati perkongsian kita, saling menghormati, persefahaman dan visi bersama untuk masa depan yang mampan dan makmur. Seperti yang diingatkan oleh satu pepatah Cina yang terkenal: 'Sebatang pokok tidak menjadikannya hutan; satu tali gitar tidak boleh menghasilkan muzik'.

"Ini (pepatah) secara indah merangkum semangat kerjasama dan pertumbuhan bersama yang dialami oleh kedua-dua negara ini. Sama seperti mencipta muzik dengan lebih daripada satu tali, kesinambungan dan kejayaan perdagangan minyak sawit ini terletak pada usaha bersama dan hubungan harmoni di antara kami," katanya dalam ucaptama di mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tinggi bersama Pemegang Taruh Utama Minyak Sawit di sini, hari ini.

Fadillah memberitahu tahun lalu sahaja, eksport minyak sawit dan produk-produk berkaitan minyak sawit dari Malaysia ke China mencecah AS$3.72 bilion atau RM14.86 bilion.

Jumlah yang besar itu membentuk 11.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia bagi derivatif sawit di seluruh dunia, yang bersamaan dengan RM130.25 bilion.

Beliau menekankan bahawa perdagangan dua hala adalah kerjasama menang-menang kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua negara iaitu China dan Malaysia dan ini termasuklah institusi kewangan, syarikat logistik dan industri lain yang mempunyai kesan gandaan.

"Kita tidak seharusnya mengabaikan peluang pekerjaan yang dijana oleh sektor langsung dan tidak langsung berkaitan perdagangan minyak sawit. Dalam hal ini, kita mesti terus mencari jalan untuk menambah baik perdagangan minyak sawit, yang menguntungkan kedua-dua negara.

"Ini termasuklah inisiatif untuk memacu pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang bertujuan memperkenalkan rangkaian produk berasaskan sawit baharu ke pasaran global," katanya sambil menambah ia termasuk produk-produk nutraseutikal dan farmaseutikal berasaskan sawit yang inovatif, dan minyak sawit merah yang terkenal dengan pelbagai manfaat kesihatan," katanya.

Fadillah dalam lawatan rasmi sulungnya ke China dari 12 hingga 19 November untuk mengukuhkan kerjasama dalam R&D serta pembinaan kapasiti dalam sektor komoditi, terutamanya dalam mempromosikan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/11/1176902/eksport-minyak-produk-sawit-malaysia-ke-china-diyakini-terus

 

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke China sejak pelantikannya pada 2 Disember 2022.

Lawatan Fadillah ke Beijing dan Shanghai dari 12 hingga 19 November akan mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan kapasiti dalam bidang komoditi, khususnya dalam mempromosikan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di peringkat global.

"Tahun ini, Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif manakala pada 2024, kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik.

"Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai program dan aktiviti sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik ini," menurut Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini.

Semasa lawatan di Beijing, Fadillah dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang dan mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri China, Liu Guozhong.

"Pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama," katanya.

Semasa di Shanghai, Fadillah akan menerima kunjungan hormat daripada Datuk Bandar Shanghai, Gong Zheng dan menghadiri mesyuarat meja bulat peringkat tinggi dengan pemegang taruh utama dan pemimpin industri minyak sawit.

Fadillah juga akan mengambil peluang ini untuk menyantuni diaspora Malaysia di Beijing dan Shanghai.

Beliau akan diiringi oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 14 tahun lalu.

Pada 2022, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia ke China menyumbang sebanyak 12.8 peratus daripada jumlah eksport komoditi pertanian Malaysia di pasaran antarabangsa, dengan nilai RM26.46 bilion, peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding 2021.

Nilai eksport produk berasaskan sawit ke China pada 2022 adalah RM16.41 bilion manakala nilai eksport minyak sawit Malaysia ke China pada tahun yang sama adalah sebanyak RM8.44 bilion.– BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1175836/fadillah-adakan-lawatan-rasmi-pertama-ke-china-dari-12-19-november

 

Sumber : Berita Harian

 

KUALA LUMPUR: Perolehan sektor perladangan dijangka lebih kukuh pada suku ketiga berikutan keluaran tandan buah segar (FFB) lebih tinggi dan harga stabil.

RHB Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata, meskipun musim kemuncak mungkin sudah berakhir kepada syarikat perladangan Indonesia, namun syarikat Malaysia mungkin masih akan mencatat pengeluaran lebih tinggi sekurang-kurangnya selama satu hingga dua bulan lagi tahun ini.

"Syarikat perladangan tulen terus menjadi penerima manfaat daripada peningkatan harga yang dijangka berlaku mulai suku kedua tahun hadapan sebaik sahaja fenomena El Nino menjejaskan produktiviti tanaman. Kami kekalkan saranan 'neutral' untuk sektor ini," kata bank pelaburan itu menerusi nota yang disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah.

RHB Investment Bank berkata, pengeluaran FFB kebiasaannya lebih tinggi suku ke suku disebabkan puncak musim pengeluaran, sedangkan harga MSM mendatar.

"Di Malaysia, pengeluaran FFB untuk syarikat yang kami liputi meningkat pada kadar purata 24.8 peratus suku ke suku pada suku keempat, manakala harga MSM semasa menguncup satu peratus pada suku ketiga.

"Di Indonesia, pengeluaran FFB suku ketiga 2023 untuk saham (syarikat perladangan sawit) di bawah liputan kami dianggarkan meningkat 18.5 peratus, manakala harga MSM dan cukai bersih bertambah lima peratus," katanya.

RHB Investment Bank berkata, pasaran sepatutnya akan menyaksikan trend pertumbuhan perolehan mendatar tahun ke tahun bagi syarikat perladangan di Malaysia dan Indonesia.

"Di Malaysia, purata keluaran FFB menokok 4.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2023, manakala harga MSM semasa menurun 4.3 peratus. Pengeluaran FFB Indonesia pula diramalkan merosot 4.9 peratus pada suku dikaji, manakala harga MSM bersih naik 1.5 peratus," katanya.

Bagi syarikat perladangan yang memiliki operasi hiliran di Indonesia, bank pelaburan itu menjangkakan margin akan melemah suku ke suku dan tahun ke tahun pada suku ketiga tahun ini disebabkan perbezaan cukai lebih kecil antara barangan huluan dan hiliran yang berharga AS$48 satu tan.

"Sebaliknya, syarikat hiliran Malaysia mungkin memperlihatkan margin lebih baik suku ke suku ekoran persaingan mereda dari Indonesia.

"Kami mengesyorkan pendekatan perdagangan positif secara taktikal. Kami tidak membuat sebarang pindaan pada andaian harga MSM kepada RM3,900 satu tan bagi 2023 dan 2024.

"Kami terus menyukai syarikat perladangan Malaysia berbanding syarikat serantau kerana struktur cukai du Indonesia menyebabkan perolehan syarikat perladangan Indonesia menjadi kurang berdaya saing berbanding syarikat di Malaysia," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/11/1172771/syarikat-perladangan-sawit-dijangka-raih-hasil-lebih-besar

 

Sumber : Berita Harian

Produk minyak sawit diperlukan meluas daripada minyak untuk menggoreng sehinggalah menjadi bahan dalam pembuatan biskut, gincu dan sektor tenaga, namun sawit sering dilabel komoditi kontroversi berbanding pesaingnya, minyak sayuran seperti soya keluaran negara maju.

Pada era 1980-an, sawit dimomokkan sebagai minyak sayuran membahayakan kesihatan manusia dan sebagai peneraju utama dalam pengeluaran sawit, Malaysia ke hadapan menangkis secara saintifik segala serangan Barat yang menguasai media berpengaruh.

Satu demi satu bukti penyelidikan membuktikan minyak sawit tiada isu kesihatan seperti didakwa, malah kajian menunjukkan ia lebih baik berbanding minyak soya, kornola dan lain-lain, lalu membuatkan mereka seakan mati akal.

Tuduhan berkaitan sawit dan kesihatan sudah tidak lagi sekuat dahulu, sebaliknya naratif memburukkan sawit beralih kepada hujah lain, antara paling galak dilaungkan ialah isu menjejaskan alam sekitar. Maka timbul desakan dari Barat mengenai keperluan minyak sawit mampan atau sustainable palm oil.

Dari satu sudut, desakan ini mungkin satu lagi cubaan untuk mewujudkan 'padang permainan tidak adil' dalam usaha melindungi kepentingan mereka yang juga pengeluar minyak sayuran.

Namun, pada masa sama, sekali lagi kita perlu terbuka dan meningkatkan usaha menangkis apa sahaja tohmahan menerusi kerangka dasar dan bukti saintifik, seperti mana ketika menangkis dakwaan sawit membahayakan kesihatan sekitar 1980-an.

Sekali lagi tanggungjawab besar ini terletak pada bahu Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), khusus menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang menerajui KPK selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat pemimpin tepat untuk menjadi jeneral memperjuangkan isu sawit di mata dunia, sekali gus melindungi ekonomi negara.

Menerusi pengalaman luasnya dalam kerajaan, latar belakang sebagai peguam dan juga ahli politik dari Sarawak, antara negeri pengeluar utama sawit di Malaysia, beliau diyakini mampu melakukannya.

Memetik kata-kata bekas Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay dalam satu temu bual media sebelum ini, isu sawit memerlukan diplomasi efektif berterusan daripada kerajaan dan United Kingdom (UK) memahami kepentingan industri sawit kepada ekonomi Malaysia.

Namun, ada perbezaan pandangan perlu diurus dengan Kesatuan Eropah (EU) dan UK, sudah tentu perlu libat urus berterusan dengan penggubal dasar dan pihak berkepentingan di UK dan EU bagi menjelaskan kebimbangan mengenai isu kemampanan industri sawit.

UK beri komitmen iktiraf pensijilan MSPO

Inilah dilakukan Fadillah ketika rundingan di EU dan UK, Mei dan Jun lalu yang menjelaskan dengan tuntas komitmen Malaysia dalam aspek kemampanan. Bukan hanya berkait penanaman sawit, tetapi keseluruhannya kerana kita ada dasar jelas mengenai perlindungan hutan tidak kurang daripada 50 peratus.

Lawatan rasmi Fadillah ke UK dianggap berjaya apabila penggubal dasar di negara itu memberi komitmen untuk mengiktiraf pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam garis panduan terperinci bagi memastikan komoditi memasuki negara itu adalah mampan.

Ahli Parlimen Petrajaya itu juga menjelaskan, ini dicapai dalam pertemuan dengan Menteri Negara bagi Perdagangan Antarabangsa, Nigel Huddleston dan Menteri Negara bagi Pembangunan Antarabangsa, Andrew Mitchell.

"Mereka sangat positif dan memberi komitmen MSPO akan menjadi sebahagian daripada dokumen akan diiktiraf dalam proses ketekunan wajar (due diligence)," katanya seperti dilaporkan.

Penyertaan UK dalam Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang Malaysia antara ahlinya, dijangkakan dalam beberapa bulan ini adalah perjanjian perdagangan pertama Malaysia dengan UK.

Malaysia berunding dengan UK untuk memansuhkan tarif minyak sawit daripada 12 peratus pada masa ini kepada sifar sebaik menyertai pakatan perdagangan itu.

Dalam misi itu juga, Malaysia mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan kerjasama dengan UK untuk memperkenalkan undang-undang mencegah pelabelan negatif produk dari Malaysia.

Menerusi libat urus berterusan Malaysia diketuai Fadillah, Malaysia diyakini mampu menjernihkan segala label diberi Barat. Meskipun keikhlasan Eropah berkait alam sekitar boleh dragui, diplomasi efektif akan mampu memihak Malaysia akhirnya.

Apatah lagi, memetik UK statement on sustainable palm oil: final progress report pada 2017, minyak sawit diakui bukan sahaja murah, tetapi paling efektif.

Meskipun maklum balas EU baru-baru ini tidak sehangat UK, Malaysia pasti akan terus melakukan libat urus bagi menjernihkan apa sahaja dakwaan terhadap produk sawit.

Bulan depan, mesyuarat kedua Petugas Khas Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) akan berlangsung di Malaysia yang akan menentukan garis panduan penebangan hutan dan penanaman semula komoditi di negara ini.

Fadillah sudah tentu sekali lagi memainkan diplomasi efektif bagi meyakinkan EU mengenai keteguhan Malaysia dalam melindungi hutan dan alam sekitar.

Mengambil kira sawit sebagai komoditi efektif jauh mengatasi minyak sayuran lain, termasuk dari segi penggunaan tanah yang enam kali lebih produktif, EU mungkin dikira cuma mencari alasan untuk melindungi kepentingan pengusaha minyak sayuran mereka.

Namun akhirnya, jika dakwaan kemampanan berjaya ditangkis dengan saintifik, mereka juga tidak mampu lagi jual mahal dengan sawit, sekali gus mengiktiraf kesungguhan Malaysia melindungi kemampanan menerusi MSPO.

 

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/11/1172650/diplomasi-efektif-dengan-eu-strategi-malaysia-selesai-isu-sawit

 

Sumber : Berita Harian