KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia melonjak 0.7 peratus kepada 1.73 juta tan pada Julai 2023, berbanding 1.72 juta tan pada bulan sebelumnya.
Dalam laporan prestasi industri terkininya bagi Julai 2023, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata inventori minyak sawit mentah (MSM) merosot 3.6 peratus kepada 884,666 tan bulan lepas daripada 917,382 tan pada Jun.
Stok minyak sawit yang diproses pula naik 4.75 peratus kepada 846,846 tan daripada 802,453 tan sebelumnya.
Pengeluaran MSM meningkat 11.2 peratus kepada 1.61 juta tan pada Julai daripada 1.45 juta tan pada bulan sebelumnya manakala pengeluaran isirung sawit menambah 4.67 peratus kepada 386,815 tan daripada 350,516 tan.
MPOB berkata eksport minyak sawit meningkat sebanyak 15.6 peratus atau 182,187 tan kepada 1.35 juta tan pada Julai daripada 1.17 juta tan sebelum ini manakala eksport oleokimia melonjak 1.9 peratus kepada 228,954 tan.
Eksport biodiesel mengukuh 30 peratus kepada 16,801 tan pada Julai daripada 12,927 tan pada bulan sebelumnya.
Eksport dedak isirung sawit meningkat 46.1 peratus kepada 194,438 tan daripada 133,125 tan sebelum ini dan eksport minyak isirung sawit juga naik 20.8 peratus kepada 77,729 tan daripada 64,325 tan pada Jun.
Import MSM turun 22 peratus kepada 6,608 tan pada Julai manakala jumlah import minyak sawit menyusut 23.2 peratus kepada 103,837 tan berbanding 135,271 tan pada bulan sebelumnya.
– Bernama
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/08/1138573/stok-minyak-sawit-malaysia-meningkat-07-peratus-pada-julai
Sumber : Berita Harian