Rompin: Projek biogas diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui kilang sawit Risda adalah langkah strategik bagi menangani masalah pembuangan sisa sawit yang menimbulkan kesan negatif kepada alam sekitar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek itu membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan bakar semulajadi dan menuju kestabilan negara untuk mencapai rendah karbon menjelang 2040.
Menurutnya, ia juga sejajar dengan inisiatif pembangunan KKDW untuk mengubah sisa industri kepada pendapatan bagi mengembangkan ekonomi komuniti luar bandar.
Katanya, pada masa sama projek biogas turut memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat negara 40 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035.
"Melalui kerjasama Risda dan Alliance Concord Green Sdn Bhd, projek biogas ini dijangka menjana sekitar 14.8 kilowatt- jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun yang membantu menjana kestabilan tenaga elektrik kepada 3,000 keluarga luar bandar.
Projek ini turut membantu memelihara alam sekitar dengan pengurangan sekitar 72,000 tan karbon dioksida setiap tahun yang mampu mengurangkan kos operasi kilang dan memberi impak positif kepada pekebun kecil di bawah Risda," katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian pada majlis perasmian Projek Biogas Kilang Sawit Risda , Loji Biogas Ulu Keratong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Risda Datuk Dr Noraini Ahmad.
Ahmad Zahid berkata, projek ini juga bakal membuka peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui institusi pendidikan tempatan.
Menurutnya, kolaborasi berkenaan juga akan membuka peluang penerokaan dan perkembangan teknologi hijau yang lebih cerah serta membawa manfaat lebih besar untuk pembangunan luar bandar.
Katanya, projek biogas ini adalah satu inisiatif pembangunan di luar bandar untuk membawa kesejahteraan ekonomi, inovasi dan teknologi kepada negara.
"Dalam usaha berterusan ke arah ekonomi hijau dan pembangunan mapan, projek ini bukan sahaja memelihara alam sekitar tetapi turut membawa manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan masyarakat.
"Dianggarkan operasi pembangunan projek biogas ini akan mengambil masa selama tiga tahun dengan keupayaan untuk beroperasi secara optimum selama 21 tahun.
"Ini bermakna, kesan berantai yang boleh kita lihat adalah wujudnya pelbagai perusahaan kecil dan sederhana (SME) di kawasan-kawasan yang terlibat antaranya, sektor pembekalan untuk bahan binaan, perkhidmatan logistik, perusahaan makanan dan minuman, homestay dan banyak lagi," katanya.