Pada 19 Ogos lalu, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menganjurkan sambutan Hari Orang Utan Sedunia bertemakan 'Mereka Juga Warga Malaysia' (The Other Malaysians) bertempat di Zoo Negara.

Sambutan di Zoo Negara ini kesinambungan daripada tajaan MPOGCF berjumlah RM1.1 juta untuk Projek Naik Taraf Pameran Orang Utan Borneo pada tahun lalu.

Acara Fun Walk, Night Camp dan Grow and Glow sempena sambutan itu mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat Malaysia biarpun julung kali dianjurkan MPOGCF yang baharu berusia tiga tahun.

Sambutan luar biasa ini isyarat jelas dan tanda sokongan warga Malaysia kepada usaha pihak tertentu termasuk industri sawit memulihara Orang Utan daripada pupus.

Terdapat tiga spesies Orang Utan iaitu Orang Utan Borneo (Pongo pygmaeus), Orang Utan Sumatran (P abelii) dan Orang Utan Tapanuli (P tapanuliensis).

Ketiga-tiga spesies ini hanya boleh ditemui di Malaysia dan Indonesia, dua negara menguasai 80 peratus pengeluaran minyak sawit global.

Orang Utan Borneo terdapat di Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia manakala Sumatran dan Tapanuli terdapat di bahagian utara wilayah Sumatera, Indonesia.

Orang Utan dan satu lagi spesies haiwan liar hanya terdapat di Borneo iaitu gajah Borneo (Borneo pygmy) mempunyai hubungan signifikan dengan industri sawit khususnya Sabah sebagai pengeluar terbesar minyak sawit.

Populasi Orang Utan Borneo di Sabah dilaporkan stabil sepanjang 15 tahun atau antara 2002 hingga 2017 dengan populasi dianggarkan 11,000 ekor berdasarkan kajian Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada 2019.

Laporan sama juga menyatakan populasi mamalia itu di hutan berdekatan ladang sawit menunjukkan trend penurunan membimbangkan iaitu berkurang 30 peratus dalam tempoh 15 tahun itu.

Gajah Borneo ialah sub-spesies gajah Asia terdapat di Semenanjung dan berdasarkan rekod Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD), populasinya sekitar 1,500 ekor. Dua haiwan ini disenarai kategori kritikal terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Sepanjang 2022, minyak sawit mentah (CPO) dihasilkan Sabah ialah 4.29 juta tan, menjadikan ia kekal sebagai pengeluar utama minyak sawit mentah di Malaysia walaupun keluasan tanaman sawit 1.51 juta hektar di belakang Sarawak.

Sabah juga negeri kaya kepelbagaian flora dan fauna, sekali gus keistimewaan ini menjadi penyumbang utama pengiktirafan Malaysia sebagai antara 12 negara mega kepelbagaian di dunia.

Tidak hairan apabila sektor perladangan sawit di Sabah sering menjadi sasaran kritikan dan serangan 'kumpulan hijau' antarabangsa dan negara Barat dengan label ancaman terbesar Orang Utan dan gajah Borneo.

Produk sawit Malaysia seperti minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit (hiliran) di eksport ke seluruh dunia dan menjadi penyumbang penting Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Industri sawit Malaysia membantu negara ketika pandemik COVID-19 pada 2020 dengan lonjakan nilai eksport berjumlah RM73.25 bilion, RM108.52 bilion pada 2021 dan RM137.89 bilion pada 2022.

Nilai eksport minyak sawit sahaja untuk suku pertama tahun ini berjumlah RM10 bilion berbanding RM9.5 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Eksport minyak sawit menjadi penyumbang kedua terbesar ekonomi Sabah selepas petroleum dengan nilai eksport bernilai RM21.1 bilion pada 2022.

Kepentingannya sebagai pemacu ekonomi dan pembangunan negara menjadikan kerajaan 'sensitif' terhadap usaha memburuk-burukkan industri sawit dengan tuduhan tidak tepat serta maklumat ditokok tambah termasuk mengaitkan Orang Utan dan gajah Borneo.

Justeru, kerajaan memperkenalkan dasar menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai produk lebih hijau dengan keutamaan kepada kelestarian alam sekitar bermula peringkat huluan (penanaman), pertengahan (penapisan) dan hiliran (produk berasaskan sawit).

Kerajaan juga mewujudkan Dasar Tiada Penebangan Hutan, Tanah Gambut dan Eksploitasi (NDPE) dikuat kuasa sejak 2019 bagi menjadikan penanaman sawit lebih mampan.

Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diwajibkan termasuk kepada pekebun kecil bermula 2020 bagi memastikan Industri sawit Malaysia menghasilkan Kelulusan Minyak Sawit Mampan Diasingkan (CSPO) mengikut keperluan pengguna antarabangsa.

Usaha ini terbukti berkesan apabila Institut Sumber Dunia (WIR) dalam laporan terbaharu mengakui sektor perladangan sawit bukan lagi penyebab utama penebangan hutan.

Laporan disiarkan Pemerhati Hutan Global (GFW) itu menyatakan, jumlah kehilangan hutan di Malaysia menunjukkan penurunan drastik sejak 2017 dan kehilangan hutan primer di Malaysia berkurang sebanyak 70 peratus antara 2014 dan 2020. 

Kawalan ketat kerajaan dan sokongan pihak industri sawit kepada usaha pemuliharaan alam sekitar dipercayai mempengaruhi populasi Orang Utan dan gajah Borneo di Sabah.

Mengambil kira kaji selidik terakhir hampir berusia 10 tahun dan keperluan data serta statistik terkini demi kelangsungan industri, MPOGCF mengambil inisiatif menjalankan Survei Populasi Orang Utan dan Gajah Borneo dengan tajaan dana RM2.5 juta.

Kaji selidik populasi Orang Utan akan dijalankan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu HUTAN selama dua tahun (2023 hingga 2025) dengan tajaan dana RM1.3 juta.

Antara kaedah bakal digunakan ialah tinjauan udara menggunakan helikopter bagi mengira sarang Orang Utan di atas pokok khususnya di hutan tebal.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan pula menjalankan Kaji Selidik Populasi Gajah Borneo selama tiga tahun (2023-2026) dengan tajaan dana berjumlah RM1.2 juta.

Pemakaian Kolar Satelit pada gajah adalah kaedah akan diguna pakai dan menjadi cara konvensional dipraktikkan di seluruh dunia.

Pemangku Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud berkata, hasil kaji selidik ini akan diangkat sebagai dokumen rasmi untuk kerajaan memperbetulkan persepsi negatif terhadap industri sawit.

Katanya, hasil kaji selidik juga bagi membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah dan penggiat utama industri sawit menilai semula keberkesanan pemuliharaan serta menambah baik pendekatan alam semula jadi untuk melindungi kepelbagaian bio dan pembangunan ekonomi.

 

https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/09/1154465/industri-sawit-bukan-punca-orang-utan-gajah-borneo-pupus

 

Sumber : Berita Harian