KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM), yang mana merosot lebih 30 peratus setakat ini bagi 2023 kepada sekitar lebih RM4,000 satu tan, dilihat terus berdepan tekanan jualan, demikian kata penganalisis.
Ia berikutan prospek eksport yang lemah ke negara pengimport utama seperti India dan China.
Permintaan untuk produk minyak sawit oleh pembeli global juga menjadi lemah pada April 2023 berikutan MSM kehilangan daya saing harga berbanding beberapa minyak pesaingnya seperti minyak kacang soya, rapeseed dan bunga matahari.
TA Securities dalam nota penyelidikannya berkata, pasaran dijangka tidak begitu optimistik mengenai permintaan minyak sawit memandangkan Mei dan Jun secara tradisinya adalah luar musim bagi penggunaan.
Ia berkata, risiko makro dan jangkaan kesan ekonomi global serta kadar faedah yang tinggi akan memberi kesan yang kuat terhadap harga komoditi.
"Setakat ini bagi 2023, purata harga MSM menyusut 36 peratus kepada RM4,063 satu tan. Harga MSM terus berdepan tekanan jualan berikutan tinjauan eksport yang lemah ke negara import utama," katanya dalam nota penyelidikannya.
Affin Hwang Investment Bank berkata, harga purata MSM Malaysia dalam empat bulan 2023 berada pada sekitar RM4,026.50 satu tan berbanding RM6,249.50 satu tan dalam tempoh sama pada 2022.
Ia berkata, harga MSM lemah pada minggu terakhir April 2023 tetapi kekal kukuh berbanding dengan minyak sayuran lain, berikutan sekatan eksport Indonesia.
Katanya, Kementerian Perdagangan Indonesia mengumumkan bahawa mulai 1 Mei 2023, akan ada perubahan kepada dasar obligasi pasaran domestik (DMO).
Jelasnya, perubahan itu merangkumi menurunkan sasaran minyak masak domestik daripada 450,000 tan kepada 300,000 tan sebulan; mengetatkan nisbah eksport DMO daripada 1:6 hingga 1:4; meningkatkan pelbagai insentif minyak masak bungkus dan pelepasan permit eksport yang digantung lebih awal dalam tempoh sembilan bulan akan datang.
"Kami percaya langkah untuk mengetatkan nisbah eksport DMO akan mengetatkan eksport Indonesia dalam tempoh terdekat, tetapi bergantung kepada seberapa cepat permit eksport yang digantung sebelum ini dikeluarkan, ini akan menambah bekalan eksport.
"Kesan bersih kepada harga dalam jangka pendek mungkin terhad memandangkan permintaan semasa yang perlahan dan kejatuhan harga minyak sayuran pesaing," katanya.
Affin Hwang Investment Bank berkata, bagi musim 2023, pihaknya masih menjangkakan peningkatan bekalan minyak sayuran dalam pasaran berpotensi memberi tekanan kepada harga.
Ia juga percaya kemelesetan global yang semakin hampir berpotensi mengekang penggunaan dalam banyak pasaran, tetapi ia juga mungkin sebahagiannya dikurangkan dengan peningkatan permintaan daripada industri biodiesel dan sentimen El Nino untuk separuh kedua 2023.
"Secara keseluruhannya, terdapat banyak ketidakpastian dan penentu harga yang perlu diberi perhatian.
"Dalam laporan ini, kami tidak membuat sebarang perubahan pada andaian purata harga jualan MSM kami sebanyak RM3,100 satu tan hingga RM3,200 satu tan untuk 2023," katanya.
Sumber : Berita Harian