KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) susut 4.4 peratus pada suku kedua 2023, sekali gus menyaksikan pendapatan syarikat perladangan mungkin berada di bawah jangkaan penganalisis. RHB Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata, perolehan syarikat perladangan di Malaysia dan Indonesia dijangka lebih rendah, meskipun pengeluaran buah tandan segar (FFB) secara amnya lebih tinggi disebabkan harga MSM rendah yang memiliki pengaruh yang cukup besar. "Di Malaysia, pengeluaran FFB untuk syarikat di bawah liputan kami menokok sebanyak purata 4.8 peratus pada suku kedua, namun harga MSM susut 4.4 peratus. "Di Indonesia, kami anggarkan keluaran FFB suku dikaji bagi saham liputan menaik 5.7 peratus berdasarkan trend musim, namun harga MSM bersih selepas cukai, jatuh 5.6 peratus," kata bank pelaburan itu dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah. RHB Investment Bank berkata, bagi asas tahun ke tahun, trend penurunan perolehan yang sama mungkin dilihat memandangkan harga MSM yang lebih rendah.

"Di Malaysia, purata keluaran FFB jatuh kira-kira 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua, manakala harga MSM semasa menjunam 40.5 peratus. Pengeluaran FFB Indonesia dijangka mendatar pada suku kedua dan harga MSM bersih menyusut 22.4 peratus tahun ke tahun. "Kami menjangka syarikat perladangan Malaysia dan Indonesia bakal mencatat perolehan suku ke suku dan tahun ke tahun yang lebih rendah pada suku kedua 2023. "Suku kedua mungkin menjadi satu lagi suku yang mengecewakan buat sektor ini dari segi perolehan, namun kami percaya hal ini tidak diendahkan kerana pelabur menjangka prospek lebih baik pada separuh kedua," katanya. Bank pelaburan itu berkata, bagi syarikat perladangan yang mempunyai operasi hiliran di Indonesia, margin dijangka akan melemah suku ke suku pada suku kedua 2023 akibat perbezaan cukai lebih kecil antara produk huluan dan hiliran.

"Sebaliknya, syarikat hiliran Malaysia mungkin mencatat margin suku ke suku yang lebih baik disebabkan oleh kurangnya persaingan daripada Indonesia," katanya. Stok minyak sawit Malaysia meningkat pada Julai kepada 1.73 juta tan, selepas pengeluaran bertambah 11.2 peratus, manakala eksport bertambah 15.5 peratus. RHB Investment Bank berkata, ia menjangka peningkatan stok secara berperingkat apabila pengeluaran bertambah pada separuh kedua tahun ini, sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penambahan stok. "Keutamaan untuk minyak sawit Indonesia masih berlanjutan. Setakat Jun, pertumbuhan eksport Malaysia ke India dan China, masing-masing susut 11.9 peratus dan meningkat 10.6 peratus tahun ke tahun, manakala jumlah import oleh India dan China masing-masing melonjak 17 peratus dan 96 peratus," katanya. RHB Investment Bank tidak mengubah ramalan harga MSM RM3,900 satu tan bagi 2023 dan 2024. "Kami terus menggemari syarikat Malaysia berbanding syarikat serantau kerana struktur cukai Indonesia dan kenaikan nilai mata wang menyebabkan perolehannya lebih rendah berbanding negara ini," katanya.