KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menjangkakan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua tahun ini didorong oleh pengeluaran tanaman sawit yang lebih tinggi pada musim puncak sepanjang tempoh berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, berkata trend tanaman akan lebih banyak pada separuh kedua 2023 yang sudah dapat dilihat terdapat peningkatan jumlah tanaman pada bulan ini dan akan dapat melihat lebih banyak pada bulan September, Oktober dan November ini.

Katanya, ini akan diterjemahkan kepada hasil dan keuntungan yang lebih baik kepada kumpulan, namun ia tetap tertakluk kepada harga MSM ketika itu. "Tambahan kami juga telah menerima sejumlah lengkap kumpulan pekerja yang memenuhi keperluan kami di Semenanjung Malaysia yang mana mampu membawa keuntungan kepada kumpulan menuju ke hadapan. "Namun untuk ladang di Sabah dan Sarawak yang mewakili 26 peratus daripada keseluruhan kawasan ladang kami di Malaysia masih berdepan kekurangan tenaga kerja ketika ini dan berharap ia akan dapat diatasi sebelum musim puncak pada September, Oktober ini.

"Jadi secara keseluruhannya, kami mengunjurkan prestasi yang lebih baik untuk SDP pada separuh kedua 2023 daripada separuh pertama tahun ini," katanya pada taklimat media mengumumkan prestasi kewangan suku kedua SDP secara maya, hari ini.

SDP merekodkan keuntungan bersih RM380 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023, menguncup ketara sebanyak 53 peratus berbanding RM812 juta pada suku sama tahun lalu. Pendapatan syarikat perladangan itu turut menyusut 23 peratus kepada RM4.31 bilion pada suku dikaji daripada RM5.59 bilion tahun sebelumnya. Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 3.25 sen, yang akan dibayar pada 17 November ini.

Mengulas mengenai kemerosotan suku dikaji, Mohamad Helmy berkata, ia adalah disebabkan terutamanya oleh purata harga direalisasikan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih rendah, yang merosot daripada tahap puncak pada tahun sebelumnya. Katanya, ia diburukkan lagi oleh perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi, terutamanya daripada harga baja yang lebih tinggi dan kos buruh, khususnya dalam Malaysia di mana kumpulan sedang memulihkan operasinya.

"Pada suku kedua 23, harga direalisasikan MSM susut 28 peratus tahun ke tahun kepada purata RM3,765 setiap tan metrik (MT), berbanding RM5,213 setiap MT yang direkodkan dalam tempoh yang sama sebelumnya. "Sementara itu, purata harga direalisasikan PK merosot sebanyak 47 peratus tahun ke tahun kepada RM1,767 setiap MT daripada RM3,339 setiap MT pada suku kedua 2022 dipengaruhi oleh penurunan permintaan dalam industri kimia oleo. "Dalam tempoh suku kedua 2023, pengeluaran keseluruhan buah tandan segar (BTS) kumpulan menurun sedikit sebanyak dua peratus yoy terutamanya disebabkan oleh pengurangan sebanyak enam peratus dalam pengeluaran BTS kumpulan di Indonesia," katanya.

Beliau menambah, pengurangan itu disebabkan oleh program penanaman semula kumpulan yang dipercepatkan di Indonesia untuk menangani kawasan kelapa sawit yang kurang hasil dan tua dengan penanaman baharu yang menghasilkan hasil lebih tinggi.